Jangan Buat

Di Terengganu
tiga ekor ikan
di tangan nelayan
sedang bertarung nyawa
untuk hidup

Seekor kucing pula
di Kuala Besut
sedang lapar
hulu-hilir
kosong perut

Di tepi belukar
hulu Berang
dua ekor babi
menyondol-nyondol
timun-timun, ubi-ubi
tanaman orang

Seorang manusia
di sudut katilnya; meringkuk
sukar bangkit tidurnya
tak mengerti dia
bagaimana hidup
makankah dia; makan katanya
minumkah dia; hirup airnya
berak pun dia
kencing pun ia
tetapi mati
lebih pesona

Gombak, 2018

Kemodenan dan Penting Diri

Ketika kupu-kupu itu masih terbang bebas sehingga ia jatuh, menggeletik, geliang-geliut bertarung nyawa, mata aku tidak lepas melihatnya. Tangan kananku memegang paip air, hujung paip dihalakan ke arah tangan kiriku, sedang kedua-dua kakiku semakin kebas mencangkung, tetapi mata dan perasaanku meronta-ronta ingin menunggu pengakhiran kupu-kupu itu. Fikiran aku melayang-layang memikirkan awal kehidupan kupu-kupu itu sehinggalah kepada pengakhirannya. Aku biasa dan sering menyelamatkan semut yang aku kira lemas, tidak kira di mana aku melihatnya, di sinki, di dalam tandas, ataupun di jalanan. Bahkan ada kalanya ketika aku di dalam tandas, aku bukakan air sekuat-kuatnya, aku semburi semut-semut malang yang ada di tepi dinding supaya ia jatuh dibawa arus sebelum aku menyelamatkannya kembali daripada lemas. Barangkali tindakan aku itu kerana sikap dan rasa berkuasa yang ada ke atas diri aku ini.  Aku rasa ingin menindas, kemudian aku menyesal dan kembali tidak menindas. Tetapi kupu-kupu ini, aku biarkannya jatuh di dalam lopak air tandas yang aku duduki ini, aku biarkannya berpusar-pusar mengikut air, dalam keadaan kakinya masih lagi menggelepar. Aku tidak apa-apakannya, ia jatuh sendiri selepas ia bebas terbang mengelilingi lampu floresen di atas kepalaku.

***

       Hidup ini sebenarnya ada beberapa peringkat. Peringkat pertama aku katakan bahawa peringkat yang tidak punya apa-apa. Kamu hanyalah manusia lemah yang bergantung kepada seseorang, ibu dan bapa, adik-beradik, dan sebagainya. Ada yang tidak bernasib baik, menjadi bayi, keluar daripada faraj ibunya, ditinggalkan di tepi jalan untuk disantap oleh semut-semut dan lalat-lalat. Ada yang begitu, bahkan aku tidak nafikan. Peringkat kedua adalah peringkat di mana kita itu digelar manusia sebagai kanak-kanak. Kita pada waktu ini bahkan tidak punya apa-apa kepentingan, kita masih disuap ibu bapa, kita masih juga dijaga oleh orang-orang yang kita gelarkan dan harapkan kedewasaan pada mereka. Peringkat remaja, kita masih begitu. Masih mengharapkan ibu bapa. Kita bahkan tidak punya apa-apa daripada segi harta. Kawan-kawan yang dibentuk pada waktu remaja ini kebiasaannya itulah yang akan kekal lama. Mungkin kerana persahabatan itu terjalin tanpa apa-apa keinginan dan hasrat yang tersirat. Ia aku katakan ikhlas. Segalanya berubah selepas daripada peringkat ini, iaitu peringkat dewasa, satu peringkat yang penuh kecelakaan. Satu peringkat yang membunuh jiwa kita daripada bersikap kolektif kepada ananiyyah dan individual yang tinggi. Peringkat ini kita biasanya bersikap aku dan aku. Kita memandang langit, kita seolah-olah membentak-bentak suapaya langit itu melihat kita dan kita katakan kepadanya, aku ini bagaimana? Aku ini mahukan itu, aku ini mahukan ini. Sedang dunia ini sarat dengan manusia, dan ia terus berputar memberatkan dirinya menanggung kegilaan mereka yang pelbagai. 

***

     Kemodenan aku kirakan ia sebagai suatu perkara yang sangat hebat. Kita sebagai manusia bisa saja mendapatkan apa sahaja, bisa sahaja mencipta apa sahaja, yang mana dianggap oleh manusia-manusia pada zaman terdahulu sebagai suatu perkara yang mustahil. Kita mampu terbang di awanan, kita mampu meninggalkan binatang empat kaki sebagai tunggangan, dan bergantung kepada mesin-mesin besi dalam perjalanan. Kita juga ada plastik! Suatu benda yang licin, digesel dan ia berbunyi-bunyi, tidak hancur kecuali dibakar api. Tapi kemodenan ini adalah pedang yang mempunyai dua mata, ia mampu membunuh lawan dan ia juga melukakan tuan. Semakin moden kita, semakin tinggi keperluan dan kehendak hidup kita. Dengan desakan keperluan hidup yang menggila, manusia juga ikut gila. Yang gila itulah biasanya orang-orang dewasa. Katakan apa sahaja, mereka lakukan. Kesemuanya bisa saja disandarkan kepada keperluan hidup. Berniaga, aku contohkan, peniaga moden semakin gila mengaut keuntungan. Kalau di bumi Malaysia ini, aku contohkan kosmetik, manusia gila untuk menjadi cantik, mereka mengkayakan peniaga-peniaga sampah yang menjual barang-barangan kosmetik yang tidak ada keputusan tetap dalam hasilnya. Testimonial, kesemuanya berjaya mencapai hasil. Realituinya apabila dipakai, ada sahaja daripada kalangan pelanggan itu tidak berpuas hati, tidak mendapat hasil seperti testimonial dipaparkan.

"Oh, ada orang yang menjadi, ada orang yang tak menjadi!"

"Oh, mungkin kulit cik tidak sesuai!"

     Ini semua alasan-alasan manusia celaka. Manusia yang beralasankan menolong orang, membantu orang, tetapi sebenarnya mengkayakan poketnya sendiri. Jikalau begitu, kenapa tidak dikhabarkan pada promosi daripada awal bahawa ia sesuai untuk sebahagian kulit dan tidak pada sebahagian yang lain? Kenapa dipaparkan testimonial-testimonial yang berjaya sahaja? Aku tidak salahkan mereka, aku juga tidak membenci mereka, bahkan aku hanya mencatit apa yang aku nampak. Para pembeli, aku tidak faham untuk apa mereka gila sekali ingin dilihat cantik? Apa dunia ini perlu kepada cantik? Apa kamu tidak punya daging putih di dalam tengkorakmu yang setiap hari bekerja untuk membolehkan kamu berfikir? Kita ini akan melalui peringkat keemasan, kita bahkan akan digelar orang tua, dan kita mampus selepasnya. Berhentilah mengkayakan manusia-manusia celaka ini, gunakan duitmu, kayakan manusia-manusia miskin di sekelilingmu.

Membangunkan manusia sekeliling, tidakkah ia lebih murni.

***

     Keperluan dan kehendak ini aku kira ada pada sesiapa, bahkan ada pada setiap makhluk. Kupu-kupu ingin terbang mengelilingi cahaya, kita pula manusia inginkan pada sesuatu. Berkehendak, berkeperluan. Bezanya, kupu-kupu tidak punyai akal, maka ia berkehendakkan sesuatu sehingga ia tidak sedar apa yang dikehendakinya itu tidak ada apa-apa baginya, bahkan ia mati pula kerananya. Manusia, mereka dikurniakan akal, maka mereka tahu membezakan apa yang dinamakan keperluan dan apa yang dinamakan kehendak. Cuma kemodenan makin merancakkan kegilaan manusia mengumpul kekayaan, mengkayakan harta, menebalkan poket, membanyakkan aset. Baik peniaga mahupun pembeli, kesemuanya berselindung atas nama desakan keperluan hidup. Maka peniaga gila semakin kaya, pembeli gila semakin tamak membeli, mengumpul benda yang tidak ada apa-apa bagi mereka. Mereka semakin penting diri, memikirkan dan menggunakan alasan desakan keperluan hidup, mereka meratah dan menjarah sehabis-habisnya bumi ini sehingga tinggal sisa. Mereka membunuh peluang-peluang yang ada untuk manusia malang selain mereka, kesemuanya dicampur-adukkan sebabnya atas nama desakan keperluan hidup. Sedangkan mereka bukanlah pemakan kosmetik, tetapi pemakan nasi, mereka juga bukan pemakan besi-besi tunggangan, mereka masih pemakan roti. Mereka juga tahu, selain daripada mereka peniaga gila dan pembeli gila, masih ada yang waras akalnya, bersederhana hidupnya yang turut ingin bernafas dalam bumi ini. Tetapi kerana gaya, kerana sombong memikirkan hidup yang tidak mati, mereka ralit menindas. Mereka fikir, menjadi sultan, punyai istana, punyai pemerintahan, kemudian menindas rakyat itu barulah digelar penindas, mereka tidak sedar gaya hidup mereka juga lambang seekor Firaun.

Hidup seperti tidak mati.

***

     Kupu-kupu itu berhenti bergerak, kakinya yang liuk-lentuk tadi mulai kaku, sedang badannya berpusar-pusar mengikut arus air yang jatuh dalam lubang lantai tandas. Kaki aku pula makin mengebas, dan aku mulai sedar daripada lamunan. Maka aku habiskan urusanku sebelum aku bangun mencapai tuala, keluar daripada angan dan harapan kepada dunia yang penuh kecelakaan ini.