Warkah dari Imah.

Dia masih terpana. Alam sekelilingnya seolah ikut pana, diam, termangu. Hanya angin pantai yang berdesir halus di telinganya seolah membisikkan sesuatu yang ganjil, "Kau tikam hatinya, kau bius hatinya!"

Dia kemudiannya tersentak, dihayun langkah kakinya yang longlai menuju ke arah lelaki lanjut usia tersebut sedang kudratnya dikumpul sedaya upaya untuk menuturkan beberapa kalimat, "Maafkan Ajim, pakcik!"

********

Dia duduk menghadap tingkap biliknya yang terbuka luas. Kepalanya dibenamkan sekuat hati menerjah angin pantai yang laju bertiup menampar-nampar mukanya. Dia sepertinya gembira bercampur sedih, gembira kerana kerunsingan yang dialaminya beberapa hari yang lepas seakan mati tersadai sebaik sahaja kakinya menjejak pasir-pasir halaman rumahnya yang memutih atau juga sedih kerana pulang ke rumah yang tidak lagi berpenghuni. Berapa tahun, fikirnya. Seingatnya mungkin sepuluh, atau sebelas tahun. Ah, yang penting dia pulang!

Soal malu akan cerita lama itu harus ditutup. Itu harus ditutup. Ya, simbah sahaja sebarang jenis peluntur, agar ia hilang tidak melekat di benak otaknya lagi. Ini kehidupan baru, dia harus pulang. Tempatnya lahir, tempatnya bermain segala macam permainan waktu kecilnya, tempat mula dia mengenal kawan, tempat mana disuruh tunjuk huruf-huruf Quran bermula alif sampai kepada ya, tempat itu juga bersemadi segala macam waris saudaranya, bahkan tempat itu juga maruah dirinya ditelanjangkan!

Dia harus pandai berwatak pemaaf.

Dia harus jiwai watak pemurah.

Rumahnya kosong, rumah peninggalan keluarganya itu tidak lagi berpenghuni. Hanya mengharapkan Pak Usop, jirannya selaku sahabat arwah bapanya itu sahaja yang membersihkannya. Itupun hanya jarang-jarang. Setelah diberitakan kepada Pak Usop akan kepulangannya hari inilah yang membuatkan rumahnya disusun atur kembali dengan bantuan Pak Usop dan anak-anaknya. Khabarnya Pak Usop sekeluarga terhutang budi pada bapanya hinggakan kematian ibu bapanya juga tidak manghalang Pak Usop dari terus berkhidmat kepada rumahnya.

Dia menatap sayu melihat dinding-dinding kayu rumahnya itu yang tidak berwarna, kusam, hapak, baunya. Dipandang contengan-contengan di dinding yang tertera pelbagai kenangan waktu kecilnya itu, waktu beliau masih lagi jauh pada erti cinta seorang wanita ajnabi! Hatinya sebak. Dipandang halaman luar rumahnya yang  dahulunya sarat dengan pelbagai tanaman, ada kunyit, ada serai, ada ulam raja, ada segalanya, kini kontang tanaman. Terbayang arwah ibunya tersenyum memandangnya dari halaman tersebut, sambil di tangannya beberapa helai daun kari. Rindunya kepada yang tiada semakin memuncak. Umpama potongan wayang gambar, kenangan lamanya tertera di hadapan mata hitamnya sedikit demi sedikit. Puas dielak, semakin galak. Dia akur. Tunduk menyerah, dibiarkan sahaja wayang sejarahnya berputar kembali.

Sambil matanya melorot air, jernih, tepat keluar dari soket matanya.

********


"Mu balik kali ning berape lama? Duduklah lame siket, lepas mok mu meninggal, mu dok balik kapong lasung. Baliklah jenguk kubor mok. Deduk bandor nun pun tak dok bende jugok."

Sepertinya Pak Usop mengharap, bermata tajam memandang ke arahnya. Mata Pak Usop itu sekejap tajam, sekejap sayu umpama sebuah bahasa isyarat menandakannya marah dan simpati pada masa yang sama. Dia hanya tersenyum memandang Pak Usop. Kisah hidupnya suatu masa dahulu itu benar diketahui oleh Pak Usop sendiri. Bait ke bait, rangkap ke rangkap, semuanya dalam genggaman Pak Usop mata dan ilmu Pak Usop. Beliau mengetahuinya lebih pada warga masyarakat setempatnya yang lain, yang hanya bergantung kepada khabar dari mulut, itupun sekadar menjengah khabar, tidak bersungguh mengetahui yang tepat. Khabar angin! Itulah sikapnya!

"Jenguklah jugok 'orang tua' tu. Kesianlah ke dia. Dulu masa tu dia tersaloh, dia terlajok."

Dia hanya menyudutkan badannya ke dinding pagar apabila mendengarkan kata Pak Usop itu. Pemaaf itu darah yang jarang mengalir dalam keturunannya. Kalaupun ada, hanya untuk telingkah kecil. Telingkah ini? Mungkin boleh jadi ada darah pemaafnya, mungkin tiada. Hanya yang dia tahu, sepuluh, ah, mungkin sebelas tahun ini, hanya darah amarah. Darah amarah yang laju ligat mengalir. Setahun menjaga ibunya yang jatuh sakit sekaligus penyebab kematiannya dek tamparan hebat fitnah 'orang tua' itu dan sepuluh, ah, mungkin sebelas tahun hidup sepi, terbuang di kotaraya, sambil dikelek bersama bungkusan berisi harta sehelai sepinggang dan juga segunung dendam.

********

Azan Asar berkumandang, sayup didengarinya dari ruang tamu rumah sunyinya itu. Biarlah rumah ini kekal begini. Dia tidak berkehendakkan rumah ini mahupun tanah yang mendokong rumah ini hampir tujuh dekad. Semenjak kematian bapaknya sewaktu dia masih lagi bertatih ke dapur, ibunyalah yang membesarkannya dari kecil. Hanya berupahkan wang siang ikan di sebuah bangsal membuat keropok, hingga kaki ibunya dipenuhi kudis-kudis dan sisik-sisik ikan, namun ibunya masih mampu menyekolahkannya. Anak tunggal, belanjanya tidak seberapa. Ibunya cantik, hitam manis orangnya. Sewaktu dia remaja, ada sahaja yang ingin mengahwini ibunya, namun ibunya tidak berkenan, tidak mahu. Dia selesa jika ibunya berkahwin lagi dan dia beroleh bapa tiri. Tidak mengapa kata hatinya. Namun ibunya tidak berganjak, tidak mahu beralih walau sedikit cintanya terhadap suaminya.

Ibunya cinta benar akan bapaknya. Almari bapaknya sentiasa kemas, bajunya sentiasa bersih, tidak dihinggapi habuk. Lagak ibunya menjaga peninggalan bapaknya seperti arwah masih hidup, Kata ibunya, "Ayoh mung lah teman mok, atah dunia pun dia, akhirat kekgi pun mok nok die jugok." Hatta sehingga hari kematiannya, ibunya tidak pernah lekang bercerita tentang bapanya, baik keramahannya, baik hatinya, mahupun keberaniannya yang ingin menyara keluarga hingga hilang lemas dipukul ombak sewaktu musim tengkujuh!

Dia bangun dari katilnya, duduk sebentar, diseka air mata rindunya kepada arwah ibu bapanya. Beliau akhirnya bangun, melangkah ke arah telaga rumahnya utntuk berwudhuk. Timbanya masih ada di tepi telaga, tersusun bersih hasil jagaan Pak Usop.

"Masa untuk melepaskan rindu pada Yang Tak Akan Mati pula.."

Allahu Akbar!

********

Buat Abang Ajim yang dikasihi,


Cukuplah ketiga kali sudah Imah utuskan surat kepada abang mengharapkan balasan. Imah sememangnya ingin bertekur sujud memohon ampun kepada abang Ajim dan bonda atas kesilapan ayahanda Imah kepada abang Ajim dua beranak. Ampunkan Imah, abang..


Ketahuilah abang, hati Imah ini tidak pernah menaruh rasa benci kepada abang, sepanjang selepas berlakunya kejadian tersebut, tidak pernah Imah tidak sesali walau sedikitpun. Abang Ajim, Imah tidak pernah tahu kesudahannya bakal menjadi begini. Kalaulah Imah jangkakan semua ini dari awal, sudah tentu Imah tidak akan pernah meminta abang masuk melamar Imah dari awal.


Janganlah kiranya abang manaruh rasa dendam terhadap ayahanda, semua ini hanyalah berlaku dek kerana silap Imah sendiri. Apa yang Imah pinta, usahlah abang percaya bulat-bulat khabar angin mengatakan semua ini berlaku kerana darjat. Tiada apa yang berdarjat antara kita wahai abang Ajim yang ku kasehi. Itu hanyalah buah mulut orang yang diusung masyarakat. 


Pinta Imah ini harapnya sudilah abang Ajim penuhi, lupakanlah silap ayahanda kepada abang dua beranak. Ayahanda cumalah ingin memelihara dan menjaga anak gadisnya sahaja. Walaupun pilihannya mencari yang berada itu tidaklah tepat, namun sebagai anak yang lahir dari sulbinya, tidaklah Imah mampu melawan melainkan akur taat padanya sebagai bapa. 


Ketahuilah abang, Imah ini tidak pernah merasa bahagia walau sesaat selepas berlakunya segala macam musibah ini. Sudilah kiranya abang membalas warkah ini, mungkin ini yang terakhir kerana Imah bakal menjadi isteri orang tidak lama lagi.


Imah juga mendoakan semoga bonda abang Ajim kembali sembuh. Usahlah dikenang benar peristiwa itu, kalaulah resah bonda itu berlarutan, bahaya laratnya wahai abang Ajim. Semoga abang Ajim tabah.


Yang mengharap, 
Kasihmu Imah.

Tidak berbalas, sehingga saat tiba surat terakhir Imah ini, ia tidak pernah dibalas. Itulah yang terakhir, dia tidak lagi menerima surat daripada Imah. Dia juga tidak mengambil tahu, apa Imah sudah beranak-pinak, bahagia dengan keluarganya.

Dia melipatnya kembali, rapi dan kemas. Kemudian diselitkannya kembali ke dalam beg duitnya yang kusam itu.

********

Ombak pantai itu dibiarkannya menjamah kakinya, lembut. Buih-buih ombak itu memutih, pekat. Seluarnya basah, lencun, manakala kepalanya masih tepat memandang horizon kaki langit. Terpana, gamam dan diam. Namun otaknya masih ligat berfikir. Kakinya tenggelam sedikit demi sedikit ke dalam pasir pantai yang dijamah ombak. Lemas kesan pasir itu seolah-olah juga menjerut leher dan rongga pernafasannya. Perkhabaran yang sangat meruntun jiwanya yang didengarinya sebentar tadi dari Pok Dir seolah-olah memakunya terus diam, berdiri memandang horizon, dan terus kelu seribu bahasa.

Perkhabaran tentang hal sebenar, hal Imah.

Hal kematiannya sebelum kahwin, dua hari sebelum kahwin, sakit naluri wanitanya, dek rindu pada kasihnya yang terputus, yang ditanggung berbulan-bulan, bahkan suratnya berjilid tiga tidak berbalas walau satu, semua itu umpama pisau, menikam-nikam jasad wanita yang lemah lembut itu hingga tangannya yang dahulu mampu memegang pena memahat kata, kini lemah dan sakit hingga deritanya memakan nyawa!

Imah! Imah! Ampunkan abang!

Dia teresak-esak. Titis air matanya mencurah keluar, hilang diseka ombak. Terbang dan hanyut ke lautan, saksi derita pelbagai kasta.

********


Dari bangsal kayu-kayu dan daun kelapa itu, jelas ternampak sosok tubuh seorang lelaki lanjut usia sedang khusyuk menggulung-gulung daun rokoknya sambil kakinya berlunjur ke arah laut. Kepalanya tidak lagi dipenuhi rambut, yang ada hanyalah kain batik yang dililit kemas menutupi kepalanya. Sosok itu sangat dikenalinya, yang menyambung sisa-sisa hidup selepas kematian anak gadisnya. Sosok itu juga berteleku di hadapan laut, saksi deritanya.

Dia ke hadapan sedikit, kakinya dilangkah perlahan, diatur bersama rasa bersalah. Lelaki tua tersebeut menyedari kehadirannya lantas bangun. Melihatkan wajah orang tua tersebut, dia makin bertambah gamam. Mendekatinya semakin tidak mudah, semakin dekat semakin menebal rasa bersalah. Hatinya makin sayu, makin sebak melihat orang tua itu melibas-libas baju pagoda lusuhnya ke atas pangkin di sebelahnya sambil tersenyum ke arahnya, dan matanya, matanya, berkaca dan berair mengisyaratkannya duduk di sebelahnya!

Dia masih terpana. Alam sekelilingnya seolah ikut pana, diam, termangu. Hanya angin pantai yang berdesir halus di telinganya seolah membisikkan sesuatu yang ganjil, "Kau tikam hatinya, kau bius hatinya!"

Dia kemudiannya tersentak, dihayun langkah kakinya yang longlai menuju ke arah lelaki lanjut usia tersebut sedang kudratnya dikumpul sedaya upaya untuk menuturkan beberapa kalimat, "Maafkan Ajim, pakcik!"

*******
kerana cinta, dua jiwa terpisah
kerana cinta, dua jiwa berubah!
cinta itu...
ganjil wataknya!