Cerita Mulut.

Pagi indah, gua keluar mencari makan di warung Mak Lijah. Dengar kata nasi dagangnya sedap. Kalau tak sedap pun gua peduli apa, asal gua kenyang. Berbekalkan wang RM5, gua menapak dengan girang.

Sesampainya di warung, gua lihat ramai orang berkerumunkan sebuah meja, khusyuk mendengarkan ceramah daripada salah seorang penduduk kampung gua yang glemer, Pak Rodi namanya.


" Alah, setakat buat rumah macam tu, nak bangga apanya. Aku pun boleh lah! "


Jerkahan Pak Rodi menghingar-bingarkan lagi suasana di warung Mak Lijah. Gua hanya terdiam, hendak kata gua tertarik, haram gua tak tertarik. Gua tahu, Pak Rodi kalau masuk bab bercakap besar, memang beliaulah juaranya. Bercakap besar, mulut busuk, semua itu bidang beliau.

" Kau tengok kereta anak aku tu, bayar bulan pun dah dekat seribu, kalau nak suruh dia buatkan rumah untuk aku sebijik pun senang jelah. "

Gua terus diam, menunggu detik sesuai untuk gua bersuara. Gua ini umpama seekor singa, hanya menyerang apabila tibanya waktu yang sesuai, gua bukan dubuk, musang ataupun rubah. Pak Rodi barulah kera. Itu gua pasti. Melihat lubang hidungnya yang besar itu, gua sering terbayangkan kera-kera di hutan, ditambah mulutnya yang suka menghina dan busuk lagi berpuaka itu.

" Dah lewat ni, aku pun dah nak balik ni, orang rumah tak suka duduk kedai lama-lama, buang masa katanya ! Kah Kah Kah! "

Dalam keadaan mengunyah nasi dagang Mak Lijah, gua tersenyum, memikirkan masa bersuara hampir tiba.

" Lijah, masuk buku ye ! Nanti aku bayar balik !

Arahan Pak Rodi dibalas oleh penyataan gua dengan tenang dan bersahaja.

" Cakap besar nak buat rumah, duit makan tak boleh bayar, besar taik daripada punggung. "

Pak Rodi diam, kemudian diacungkan penumbuk ke arah gua. Gua hampir-hampir tercekik nasi.


Cerita Rezeki

Maaf kerana tidak mengemaskini belog ini. Banyak kerja. Aku malas nak tulis banyak-banyak. Sila baca cerita 'Bedtime Stories bersama Gua' ini jika anda sudi. Selamat membaca.





" Kring! Kring! "

Tidur gua dikejutkan oleh bunyi nada dering telefon bimbit Nokia 3310 gua yang tersadai di atas meja di sebelah katil gua. Walaupun telefon ini sudah buruk, hingga anak saudara gua tidak mampu melihat objek-objek yang tertera di papan kekuncinya, namun gua masih sayangkannya. Tidak sanggup gua melihat telefon ini dibiarkan tidak bertuan.

" Hello? Siapa di sanaaaaa? "

Gua hairan, kenapa ia masih berbunyi, sudah gua tekan punat untuk menjawab panggilan, namun seakan punat itu tidak berfungsi. Apabila gua menilik dengan lebih rapi, baru gua sedar, rupanya ia adalah bunyi alarm. Cis, gua malu dengan diri sendiri.

" Kau nak pergi kerja tak? Ikut bapak kau? "

Lamunan malu gua dikejutkan dengan pertanyaan emak gua yang tercegat di depan pintu bilik gua sambil memegang senduk cap Apple. Seingat gua, periuk cap Apple hanya boleh menggunakan senduk cap Apple juga, tidak boleh selain daripada itu. Informasi ini dibekalkan oleh jiran rumah gua, seorang pengguna tegar periuk cap Apple.

" Entahla mak. Rasa macam malas je."

Gua menjawab dengan berhati-hati, bimbang senduk cap Apple di tangan emak gua terbang ke dahi gua. Walaupun diperbuat daripada plastik, namun jika terkena di atas dahi, dengan izin Allah, ia masih sesuatu yang menyakitkan. Janji gua semalam dengan emak gua untuk mengikut bapak gua ke rumah Pak Awang 'Orang' memungkinkan emak gua melempar senduk itu apabila mendengar jawapan gua tersebut.

" Pergilah ikut, bapak kau dah siap tu, dari tadi dah tunggu engkau. Cepat pergi siap. "

Emak gua tampak tenang sewaktu mengarahkan gua untuk bersiap. Gua semakin takut melihat sikap emak gua yang sememangnya berlainan daripada biasa itu. Jam menunjukkan pukul 8 pagi Pada kebiasaannya, tabiat gua tidur selepas Subuh sentiasa dimarahi oleh emak. Katanya, pendek rezeki jika tidur selepas Subuh.

Setelah mengambil masa termenung di atas katil selama 10 minit, gua akhirnya bangun juga melangkah ke bilik air.

" Ah, bangunlah kali ni, buat apa aku time jam kalau tak bangun? Apa kejadahnya, betul tak Wan Kamaruddin? "

Gua bermonolog dalam hati, membayangkan gua sedang berbual-bual dengan Wan Kamaruddin NTV7 sambil meniru mimik-mimik mukanya di hadapan cermin usang bilik air di rumah gua.

" Cepatlah mandi tu ! Aku dah nak pergi ni! "

Gua terkejut mendengar suara bapak gua yang lantang lagi ganas itu lantas tertelan ubat gigi yang berada di dalam mulut gua. Gua harus pantas.

" Kejap-kejap! "

Setelah bersiap, gua turun ke dapur sekejap, mencari makanan, hajatnya agar dapat mengisi perut untuk melakukan tugas-tugas membaiki atap rumah Pak Awang 'Orang' nanti. Aku tidak pasti mengapa Pak Awang digelar sebagai Pak Awang 'Orang'. Menurut cerita anaknya, beliau digelar sebegitu kerana beliau selalu menggunakan kata ganti diri 'orang'selain daripada aku. Contohnya, orang tak tahu, orang dah makan, dan sebagainya.

" Cari amende? "

Emak gua bertanya sambil menjeling-jeling ke arah gua. Di tangannya masih terlekat senduk cap Apple.

" Makanan la mak, takde makanan ke? "

Emak gua tersenyum-senyum sambil memandang bapak gua. Gua dapat merasakan ada sesuatu fishy sedang berlaku di antara emak dan bapak gua.

" Kan aku dah cakap, jangan tidur lepas Subuh. "

Emak gua menjawab soalan gua dengan masih lagi tersenyum-senyum ke arah bapak gua.

" Emak selalu cakap macam gitu, kenapa pulak? "

Soalan gua dijawab oleh emak gua dengan isyarat tangan yang ditunjukkan ke arah bapak gua yang sedang mengikat tali kasut getahnya di hadapan pintu besar rumah.

" Hari ni emak buat burger tiga bijik, emak satu bijik, bapak engkau satu bijik, engkau satu bijik. "

" Abis mana yang saya punya? ", gua masih kehairanan.

" Bapak engkau telan. "

Gua meraba-raba poket seluar trek gua, mengharapkan ada baki duit belanja gua semalam dan mengharapkan bapak gua sanggup singgah ke kedai Mek Mun dalam perjalanan ke rumah Pak Awang 'Orang' nanti.

" Ni lah maksud pendek rezeki, lain kali jangan tidur lepas Subuh."

Bapak gua sememangnya tidak handal dalam memujuk.