Cerita Rezeki

Maaf kerana tidak mengemaskini belog ini. Banyak kerja. Aku malas nak tulis banyak-banyak. Sila baca cerita 'Bedtime Stories bersama Gua' ini jika anda sudi. Selamat membaca.





" Kring! Kring! "

Tidur gua dikejutkan oleh bunyi nada dering telefon bimbit Nokia 3310 gua yang tersadai di atas meja di sebelah katil gua. Walaupun telefon ini sudah buruk, hingga anak saudara gua tidak mampu melihat objek-objek yang tertera di papan kekuncinya, namun gua masih sayangkannya. Tidak sanggup gua melihat telefon ini dibiarkan tidak bertuan.

" Hello? Siapa di sanaaaaa? "

Gua hairan, kenapa ia masih berbunyi, sudah gua tekan punat untuk menjawab panggilan, namun seakan punat itu tidak berfungsi. Apabila gua menilik dengan lebih rapi, baru gua sedar, rupanya ia adalah bunyi alarm. Cis, gua malu dengan diri sendiri.

" Kau nak pergi kerja tak? Ikut bapak kau? "

Lamunan malu gua dikejutkan dengan pertanyaan emak gua yang tercegat di depan pintu bilik gua sambil memegang senduk cap Apple. Seingat gua, periuk cap Apple hanya boleh menggunakan senduk cap Apple juga, tidak boleh selain daripada itu. Informasi ini dibekalkan oleh jiran rumah gua, seorang pengguna tegar periuk cap Apple.

" Entahla mak. Rasa macam malas je."

Gua menjawab dengan berhati-hati, bimbang senduk cap Apple di tangan emak gua terbang ke dahi gua. Walaupun diperbuat daripada plastik, namun jika terkena di atas dahi, dengan izin Allah, ia masih sesuatu yang menyakitkan. Janji gua semalam dengan emak gua untuk mengikut bapak gua ke rumah Pak Awang 'Orang' memungkinkan emak gua melempar senduk itu apabila mendengar jawapan gua tersebut.

" Pergilah ikut, bapak kau dah siap tu, dari tadi dah tunggu engkau. Cepat pergi siap. "

Emak gua tampak tenang sewaktu mengarahkan gua untuk bersiap. Gua semakin takut melihat sikap emak gua yang sememangnya berlainan daripada biasa itu. Jam menunjukkan pukul 8 pagi Pada kebiasaannya, tabiat gua tidur selepas Subuh sentiasa dimarahi oleh emak. Katanya, pendek rezeki jika tidur selepas Subuh.

Setelah mengambil masa termenung di atas katil selama 10 minit, gua akhirnya bangun juga melangkah ke bilik air.

" Ah, bangunlah kali ni, buat apa aku time jam kalau tak bangun? Apa kejadahnya, betul tak Wan Kamaruddin? "

Gua bermonolog dalam hati, membayangkan gua sedang berbual-bual dengan Wan Kamaruddin NTV7 sambil meniru mimik-mimik mukanya di hadapan cermin usang bilik air di rumah gua.

" Cepatlah mandi tu ! Aku dah nak pergi ni! "

Gua terkejut mendengar suara bapak gua yang lantang lagi ganas itu lantas tertelan ubat gigi yang berada di dalam mulut gua. Gua harus pantas.

" Kejap-kejap! "

Setelah bersiap, gua turun ke dapur sekejap, mencari makanan, hajatnya agar dapat mengisi perut untuk melakukan tugas-tugas membaiki atap rumah Pak Awang 'Orang' nanti. Aku tidak pasti mengapa Pak Awang digelar sebagai Pak Awang 'Orang'. Menurut cerita anaknya, beliau digelar sebegitu kerana beliau selalu menggunakan kata ganti diri 'orang'selain daripada aku. Contohnya, orang tak tahu, orang dah makan, dan sebagainya.

" Cari amende? "

Emak gua bertanya sambil menjeling-jeling ke arah gua. Di tangannya masih terlekat senduk cap Apple.

" Makanan la mak, takde makanan ke? "

Emak gua tersenyum-senyum sambil memandang bapak gua. Gua dapat merasakan ada sesuatu fishy sedang berlaku di antara emak dan bapak gua.

" Kan aku dah cakap, jangan tidur lepas Subuh. "

Emak gua menjawab soalan gua dengan masih lagi tersenyum-senyum ke arah bapak gua.

" Emak selalu cakap macam gitu, kenapa pulak? "

Soalan gua dijawab oleh emak gua dengan isyarat tangan yang ditunjukkan ke arah bapak gua yang sedang mengikat tali kasut getahnya di hadapan pintu besar rumah.

" Hari ni emak buat burger tiga bijik, emak satu bijik, bapak engkau satu bijik, engkau satu bijik. "

" Abis mana yang saya punya? ", gua masih kehairanan.

" Bapak engkau telan. "

Gua meraba-raba poket seluar trek gua, mengharapkan ada baki duit belanja gua semalam dan mengharapkan bapak gua sanggup singgah ke kedai Mek Mun dalam perjalanan ke rumah Pak Awang 'Orang' nanti.

" Ni lah maksud pendek rezeki, lain kali jangan tidur lepas Subuh."

Bapak gua sememangnya tidak handal dalam memujuk.

Cerita Bahasa.


Menulis lagi. Memangla. Dah minat aku menulis, kenapa aku tak nak menulis. Bak kata Pak Subky, ingin jadi penulis, hari-hari perlu menulis. Oleh kerana aku ingin jadi penulis, maka setiap hari, aku pasti akan menulis. Tidaklah setiap hari, terasa macam bercakap bohong. Oh, silap, menulis bohong. Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama mencuri. Untuk pengetahuan aku sendiri, jika berbohong,bukan setakat mencuri, merompak dan menyamun pun boleh terjadi. Semua kerana asas berbohong menjadi sebati di dalam gerak tingkah sehari-hari. Bersastera. Cerita kali ini berkisarkan bahasa.

Cerita ini tentang bahasa. Jangan bimbang, otak anda tidak sarat dengan spekulasi politik berkisarkan perjuangan bangsa. Tulisan ini langsung tidak akan mencabar keintelektualan khalayak. Santai dan ringan. 'Bedtime Stories bersama Gua', selamat membaaaaaaaca. Ca, ca, ca, ca. (Jika anda baca 'selamat membaaaaaaaca dengan nada nyanyian, wajar anda gemakan sukukata terakhir perkataan tersebut).

Letih. Gua keletihan. Pinggang sakit, kaki lenguh, mulut busuk, dan tidak lupa, otak lesu. Mengambil upah memotong rumput di kawasan halaman rumah jiran-jiran sememangnya tugas yang mencabar. Walaupun gua seorang yang sukakan cabaran, namun gua tetap keletihan. Tugas gua terpaksa diberhentikan dahulu buat sementara waktu kerana gua ingin berehat sebentar dengan Coca Cola. Chupp! Coca Cola. Menyanyikan lagu iklan air bergas itu di dalam hati sememangnya tabiat gua semenjak gua mengaji Al-Quran di surau Pok Cik Mang 10 tahun yang lepas.

" Baru sekejap dah berhenti? Pemalas betul kamu ni ! "

Tercekik gua mendengarkan kata-kata jiran gua daripada belakang. Sungguh kurang ajar jiran gua tersebut. Jika beliau terlalu rajin, kenapa tidak dipotong sahaja rumput kawasan rumahnya menggunakan tangan, mesin rumput dia sendiri. Sudah tentu beliau tidak mahu, beliau tahu situasi rumput di kawasan rumahnya. Bermacam-macam barang ada di sebalik rumput. Ah,. malas gua nak cerita secara terperinci keadaan rumput di kawasan rumahnya. Anak perempuan sahaja yang cantik, tapi, tapi apa pula. Ya, kebersihan tidak dijaga. Ibarat mencurahkan air ke daun keladi, makin tua makin menjadi. Wah, berpantun.

" Bukan pemalas Pok Wel, saya dah buat 3 rumah dah hari ini, nak berhenti rehat lah sekejap. Minum air. "

Gua menjawab dengan tenang walaupun ikutkan hati, ingin sahaja gua melibas-libas mesin rumput ke arah kain jemuran yang disidai oleh isterinya di tepi pangkin gua berehat ini. Biar koyak habis kesemuanya. Biar berhabis duit beli pakaian baru.

" Kalau dah pemalas tu, pemalas la jugak. Kamu adik beradik sama saja. "

Pok Wel cuba membalas lagi hujah beliau. Kali ini beliau sertakan bersama adik beradik gua di dalam hujahnya. Peluh gua merembes-rembes keluar mendengarkan kenyataan beliau. Jika gua sahaja dikata pemalas, tidak mengapa Pok Wel. Namun jika kau sabitkan bersama adik beradik gua, itu sudah masuk fasa kurang hajar sesama jiran. Dasar mulut Israel, cemuh gua di dalam hati.

"Adik beradik apa pulak ni Pak Wel? Saya seorang je dalam keluarga yang tak dapat belajar tinggi-tinggi, yang lain-lain semua rajin-rajin, dapat masuk universiti. Pemalas apa pulak ni? "

Pak Wel ketawa mendengarkan kenyataan gua. Gua mula berdesing telinga, mulut, hidung dan anggota badan yang lain. Ingin sahaja gua tampar-tampar mulut beliau yang sedang terbahak-bahak ketawa itu. Kolar bajunya mulai basah apabila beliau tidak ketawa berhenti-henti. Air liurnya memang banyak. Dasar mulut Israel, kejian gua makin menjadi-jadi dalam hati.

" Adik engkau yang mana? Sulaiman tu? Setakat masuk universiti ambil kursus Bahasa Arab, tak ada nak dibanggakan sangat lah ! Kah kah kah ! "

Panas, panas, panas betul cuaca hari ini. Ditambah dengan mulut Pak Wel, gua semakin panas. Pak Wel tampaknya tidak puas lagi mengata, beliau terus menambah-nambah hujahnya.

" Kalau adik engkau masuk universiti ambil kursus kejuruteraan, kedoktoran ke, luar negara pula tu, macam anak-anak aku, bolehlah aku nak kagum pun, ini ambil bahasa! Arab pulak tu ! Kah kah kah ! "

Gua mula memikirkan perihal apakah yang lucu sangat di mata Pak Wel ini apabila membicarakan kisah adik gua yang tidak setaraf dengan anaknya, belajar di luar negara, seperti yang digembar-gemburkannya sebentar tadi.

" Apa yang kelakar sangat ambil bahasa Arab, belajar agama ni Pak Wel? Cuba cerita sikit. "

Dengan nada ingin tahu, gua bertanya.

" Yelah, nak belajar bahasa Arab lah, Inggeris lah, bahasa sendiri tak pandai. Sudahlah bahasa Arab tu susah, aku sendiri terkial-kial nak menyebutnya. Ro? Kaf? Apa? Kah kah kah ! "

Gua tersenyum.

" La, patutlah Pak Wel tak tamat-tamat mengaji. "

Dari jauh, gua sempat mengenyit mata ke arah anak gadis Pak Wel yang sedang menyapu sampah di atas beranda rumahnya.