Pemuda-Pemuda Keresahan

Sebagai seorang pemuda yang masih lagi bersari dengan kepemudaannya, sering sahaja saya ini tertanya-tanya, kepemudaan seseorang itu sebenarnya tertakluk kepada penaklukan apa? 

Ada yang berkata muda-muda itulah puncak segala kegilaan; ada yang ditimpa kegilaan dalam mencari dan menakluk rezeki atau lebihan dagang, atau juga ada yang berkata kegilaan dalam kepemudaan itu adalah kepayang dalam buku-bukunya atau bersimpuh dengan guru-gurunya dalam mencari arak ilmu, atau sahaja mungkin kepemudaan itu adalah usaha penaklukan sebuah entiti kebebasan; bertegang urat marih menjerit menginginkannya daripada sesebuah sosok kezaliman, atau barangkali mungkin sahaja kepemudaan itu adalah anti-penaklukan; pemuda yang kegilaan dalam keengganannya menjadi bebal menurut manusia lain, seperti pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang dipaparkan berontak kepada sebuah kerajaan di  zamannya. 

Jadi soalannya, kita ini pemuda yang gila mencari apa?

Saya senang sekali apabila berhadapan dengan pemuda-pemuda yang kegilaan seperti saya. Resah dan gelisah, mereka inginkan suatu kata penamat kepada ketidaktenteraman jiwa mereka. Mereka tidak menganggap dunia ini sebagai tempat untuk mereka bahagia. Bahkan perkataan dunia (Arab: dunyā) itu menurut bahasa rasmi agama kita, bahasa Arab, adalah satu kalimah yang mencerminkan makna yang terbawah, hasil daripada kata kerja adnā (membawah). Maka mustahil suatu tempat yang berada pada peringkat bawah itu mampu memberi kebahagiaan kepada seseorang itu.

Menanggapi dunia ini seolah-olah segalanya, mencintai kehidupan dan lebih banyak menikmati hidupnya itulah yang menjadikan seseorang itu sebenarnya mati dalam dunia ini. Kerana perbuatannya yang terlampau cintakan dunia itu yang mematikannya, bukan selepas ajalnya, bahkan sewaktu dia itu hidup, dia bahkan telah lama mati dengan keasyikan, atau dihinggapi penyakit yang seperti-seperti dengannya atau apa yang Barat bahasakan; conspicuous leisure.

Jadi bagaimana keresahan pemuda-pemuda yang saya senang bersama dengannya?

Keresahan yang saya maksudkan adalah keresahan dalam mencari makna hidup. Bagaimana mencari akan kehidupan itu menghidupkannya? Bagaimana mungkin bezanya pemuda-pemuda ini dengan para pencinta hidup yang saya khabarkan sebelum ini sedangkan kedua-duanya mencari kehidupan? Ada manusia, semakin gemuk dibajai makanan dan nikmat dunia, sebenarnya tidaklah beruntungkan apa-apa melainkan kebodohan. Itulah golongan pertama. Berbeza dengan mereka adalah golongan kedua, pemuda-pemuda yang saya senangi. Mereka mencari makna kehidupan, bukan sekadar hidup materi.

Mereka inilah nanti yang makin kontang jasmani, tetapi tasik rohaninya.

Maka atas dasar begitulah, pemuda-pemuda ini walaupun kurus kontang, mencari makna hidup, semakin digali kehidupan mereka -waktu hidupnya atau walaupun selepas mati- semakin nyata mereka berisi dengan pemaknaan kehidupan, dan semakin berhasil orang-orang sekalian itu berhasil sesuatu makna daripadanya, berbeza sekali dengan yang gemuk materi, apabila mati yang mereka takuti itu tiba, mereka akan habis bersama dengan tulang-tulang dan daging-daging mereka.

Tidak dikenang orang, diingat manusia.


Biri-Biri Abnormal

Jikalau kita merenung kembali keadaan persekitaran kita, kita semestinya perlu berhenti sejenak. Kita harus menatapi segala yang ada di sekeliling kita ini dengan pandangan yang tajam. Walaupun ada sahaja pujanga-pujangga yang berkata, jika kita melihat sesuatu itu dengan terlampau seni, maka kita sebenarnya terlepas pandang sesuatu yang besar. Apakah benar kiranya timbangan itu? Izinkan saya bertongkah arus. 

Saya sebenarnya merasakan pemerhatian itu perlu. Bukanlah gesaan saya ini mengatakan bahawa kita seharusnya terlampau seni dalam sesetiap perkara, atau kata bahasa Baratnya, "too particular with the details,"  tetapi saya cumanya menggesa akan pemerhatian berkisarkan satu soalan; kita ini sebenarnya hidup dipandu apa? Cuba renung-renungkan sebentar, haiwan misalnya, kehidupan mereka dipandu apa? Mereka makan, minum, mengawan, kemudian mereka kembali mengulanginya. Kita ini bagaimana? Kita sebenarnya kiranya dipandu apa? Tidaklah saya maksudkan wahyu atau kalam Allah dan kata-kata suci berintikan wahyu daripada Nabi Mulia Muhammad, kerana itu bagi saya terlampau tipikal bagi seseorang untuk membincangkannya. Perdebatan mengenai agama mana yang lebih baik ini tidak akan pernah habis. Oleh itu saya ini senang sahaja usulkan, berdirilah kamu kepada apa yang kamu percaya. Namun, apabila saya mengusulkan kepada kalian akan pemerhatian, saya cuma sahaja kiranya mengutarakan keperluan kepada kita untuk berhenti sebentar.

Berhenti daripada dibawa arus hidup ini.

Lihat manusia-manusia sekeliling kita yang asyik dengan perkara yang katanya masyhur di telinga-telinga manusia kini, sebut sahaja apa, gadis ini, lelaki ini, makanan ini, orang ini, orang itu, pendek kata apa sahaja perkara-perkara yang dicanang-canang manusia pada ketika ini. Ada yang mencanangkannya di media sosial, ada yang war-warkannya di kedai kopi. Perhatikan mereka, sepertinya ada suatu esensi yang berada di sebalik apa yang mereka bualkan itu satu makna yang sama. 

Apa kata kita berhenti sebentar?

Gambarkan kawanan biri-biri yang berjalan menuju kepada suatu arah, dan kamu berada dalam kawanan biri-biri itu. Kamu mengembek, berkomunikasi sesama biri-biri yang lain. Jika biri-biri A berhenti untuk meragut pucuk ubi di tepi jalan, maka kamu ikut berhenti. Jika biri-biri A mulai berjalan, maka kamu dan bebiri lain mulai ikut berjalan, Namun sedang kamu asyik berjalan, tiba-tiba saya datang berbisik kepada kamu, "Cuba sahaja berhenti sebentar."

Kamu berhenti.

Dan kawanan biri-biri itu makin jauh daripada kamu. Tidak mengapa, jangan kaget, kamu tidak lagi asyik. Di hadapan kamu, terbentang pelbagai jalan. Dunia saya, saya namakan jalan-jalan itu sebagai pilihan.

Janganlah fatalis mengikut kawanan.

Kamu punya empat kerat tenaga, kerahkannya,

Kamu juga punyai seketul daging putih dalam tengkorakmu yang menamakan dirinya sendiri, perahkannya,

Sekali lagi sudi saya ulangi, jangan fatalis mengikut kawanan.