Jangan Buat

Di Terengganu
tiga ekor ikan
di tangan nelayan
sedang bertarung nyawa
untuk hidup

Seekor kucing pula
di Kuala Besut
sedang lapar
hulu-hilir
kosong perut

Di tepi belukar
hulu Berang
dua ekor babi
menyondol-nyondol
timun-timun, ubi-ubi
tanaman orang

Seorang manusia
di sudut katilnya; meringkuk
sukar bangkit tidurnya
tak mengerti dia
bagaimana hidup
makankah dia; makan katanya
minumkah dia; hirup airnya
berak pun dia
kencing pun ia
tetapi mati
lebih pesona

Gombak, 2018

Kemodenan dan Penting Diri

Ketika kupu-kupu itu masih terbang bebas sehingga ia jatuh, menggeletik, geliang-geliut bertarung nyawa, mata aku tidak lepas melihatnya. Tangan kananku memegang paip air, hujung paip dihalakan ke arah tangan kiriku, sedang kedua-dua kakiku semakin kebas mencangkung, tetapi mata dan perasaanku meronta-ronta ingin menunggu pengakhiran kupu-kupu itu. Fikiran aku melayang-layang memikirkan awal kehidupan kupu-kupu itu sehinggalah kepada pengakhirannya. Aku biasa dan sering menyelamatkan semut yang aku kira lemas, tidak kira di mana aku melihatnya, di sinki, di dalam tandas, ataupun di jalanan. Bahkan ada kalanya ketika aku di dalam tandas, aku bukakan air sekuat-kuatnya, aku semburi semut-semut malang yang ada di tepi dinding supaya ia jatuh dibawa arus sebelum aku menyelamatkannya kembali daripada lemas. Barangkali tindakan aku itu kerana sikap dan rasa berkuasa yang ada ke atas diri aku ini.  Aku rasa ingin menindas, kemudian aku menyesal dan kembali tidak menindas. Tetapi kupu-kupu ini, aku biarkannya jatuh di dalam lopak air tandas yang aku duduki ini, aku biarkannya berpusar-pusar mengikut air, dalam keadaan kakinya masih lagi menggelepar. Aku tidak apa-apakannya, ia jatuh sendiri selepas ia bebas terbang mengelilingi lampu floresen di atas kepalaku.

***

       Hidup ini sebenarnya ada beberapa peringkat. Peringkat pertama aku katakan bahawa peringkat yang tidak punya apa-apa. Kamu hanyalah manusia lemah yang bergantung kepada seseorang, ibu dan bapa, adik-beradik, dan sebagainya. Ada yang tidak bernasib baik, menjadi bayi, keluar daripada faraj ibunya, ditinggalkan di tepi jalan untuk disantap oleh semut-semut dan lalat-lalat. Ada yang begitu, bahkan aku tidak nafikan. Peringkat kedua adalah peringkat di mana kita itu digelar manusia sebagai kanak-kanak. Kita pada waktu ini bahkan tidak punya apa-apa kepentingan, kita masih disuap ibu bapa, kita masih juga dijaga oleh orang-orang yang kita gelarkan dan harapkan kedewasaan pada mereka. Peringkat remaja, kita masih begitu. Masih mengharapkan ibu bapa. Kita bahkan tidak punya apa-apa daripada segi harta. Kawan-kawan yang dibentuk pada waktu remaja ini kebiasaannya itulah yang akan kekal lama. Mungkin kerana persahabatan itu terjalin tanpa apa-apa keinginan dan hasrat yang tersirat. Ia aku katakan ikhlas. Segalanya berubah selepas daripada peringkat ini, iaitu peringkat dewasa, satu peringkat yang penuh kecelakaan. Satu peringkat yang membunuh jiwa kita daripada bersikap kolektif kepada ananiyyah dan individual yang tinggi. Peringkat ini kita biasanya bersikap aku dan aku. Kita memandang langit, kita seolah-olah membentak-bentak suapaya langit itu melihat kita dan kita katakan kepadanya, aku ini bagaimana? Aku ini mahukan itu, aku ini mahukan ini. Sedang dunia ini sarat dengan manusia, dan ia terus berputar memberatkan dirinya menanggung kegilaan mereka yang pelbagai. 

***

     Kemodenan aku kirakan ia sebagai suatu perkara yang sangat hebat. Kita sebagai manusia bisa saja mendapatkan apa sahaja, bisa sahaja mencipta apa sahaja, yang mana dianggap oleh manusia-manusia pada zaman terdahulu sebagai suatu perkara yang mustahil. Kita mampu terbang di awanan, kita mampu meninggalkan binatang empat kaki sebagai tunggangan, dan bergantung kepada mesin-mesin besi dalam perjalanan. Kita juga ada plastik! Suatu benda yang licin, digesel dan ia berbunyi-bunyi, tidak hancur kecuali dibakar api. Tapi kemodenan ini adalah pedang yang mempunyai dua mata, ia mampu membunuh lawan dan ia juga melukakan tuan. Semakin moden kita, semakin tinggi keperluan dan kehendak hidup kita. Dengan desakan keperluan hidup yang menggila, manusia juga ikut gila. Yang gila itulah biasanya orang-orang dewasa. Katakan apa sahaja, mereka lakukan. Kesemuanya bisa saja disandarkan kepada keperluan hidup. Berniaga, aku contohkan, peniaga moden semakin gila mengaut keuntungan. Kalau di bumi Malaysia ini, aku contohkan kosmetik, manusia gila untuk menjadi cantik, mereka mengkayakan peniaga-peniaga sampah yang menjual barang-barangan kosmetik yang tidak ada keputusan tetap dalam hasilnya. Testimonial, kesemuanya berjaya mencapai hasil. Realituinya apabila dipakai, ada sahaja daripada kalangan pelanggan itu tidak berpuas hati, tidak mendapat hasil seperti testimonial dipaparkan.

"Oh, ada orang yang menjadi, ada orang yang tak menjadi!"

"Oh, mungkin kulit cik tidak sesuai!"

     Ini semua alasan-alasan manusia celaka. Manusia yang beralasankan menolong orang, membantu orang, tetapi sebenarnya mengkayakan poketnya sendiri. Jikalau begitu, kenapa tidak dikhabarkan pada promosi daripada awal bahawa ia sesuai untuk sebahagian kulit dan tidak pada sebahagian yang lain? Kenapa dipaparkan testimonial-testimonial yang berjaya sahaja? Aku tidak salahkan mereka, aku juga tidak membenci mereka, bahkan aku hanya mencatit apa yang aku nampak. Para pembeli, aku tidak faham untuk apa mereka gila sekali ingin dilihat cantik? Apa dunia ini perlu kepada cantik? Apa kamu tidak punya daging putih di dalam tengkorakmu yang setiap hari bekerja untuk membolehkan kamu berfikir? Kita ini akan melalui peringkat keemasan, kita bahkan akan digelar orang tua, dan kita mampus selepasnya. Berhentilah mengkayakan manusia-manusia celaka ini, gunakan duitmu, kayakan manusia-manusia miskin di sekelilingmu.

Membangunkan manusia sekeliling, tidakkah ia lebih murni.

***

     Keperluan dan kehendak ini aku kira ada pada sesiapa, bahkan ada pada setiap makhluk. Kupu-kupu ingin terbang mengelilingi cahaya, kita pula manusia inginkan pada sesuatu. Berkehendak, berkeperluan. Bezanya, kupu-kupu tidak punyai akal, maka ia berkehendakkan sesuatu sehingga ia tidak sedar apa yang dikehendakinya itu tidak ada apa-apa baginya, bahkan ia mati pula kerananya. Manusia, mereka dikurniakan akal, maka mereka tahu membezakan apa yang dinamakan keperluan dan apa yang dinamakan kehendak. Cuma kemodenan makin merancakkan kegilaan manusia mengumpul kekayaan, mengkayakan harta, menebalkan poket, membanyakkan aset. Baik peniaga mahupun pembeli, kesemuanya berselindung atas nama desakan keperluan hidup. Maka peniaga gila semakin kaya, pembeli gila semakin tamak membeli, mengumpul benda yang tidak ada apa-apa bagi mereka. Mereka semakin penting diri, memikirkan dan menggunakan alasan desakan keperluan hidup, mereka meratah dan menjarah sehabis-habisnya bumi ini sehingga tinggal sisa. Mereka membunuh peluang-peluang yang ada untuk manusia malang selain mereka, kesemuanya dicampur-adukkan sebabnya atas nama desakan keperluan hidup. Sedangkan mereka bukanlah pemakan kosmetik, tetapi pemakan nasi, mereka juga bukan pemakan besi-besi tunggangan, mereka masih pemakan roti. Mereka juga tahu, selain daripada mereka peniaga gila dan pembeli gila, masih ada yang waras akalnya, bersederhana hidupnya yang turut ingin bernafas dalam bumi ini. Tetapi kerana gaya, kerana sombong memikirkan hidup yang tidak mati, mereka ralit menindas. Mereka fikir, menjadi sultan, punyai istana, punyai pemerintahan, kemudian menindas rakyat itu barulah digelar penindas, mereka tidak sedar gaya hidup mereka juga lambang seekor Firaun.

Hidup seperti tidak mati.

***

     Kupu-kupu itu berhenti bergerak, kakinya yang liuk-lentuk tadi mulai kaku, sedang badannya berpusar-pusar mengikut arus air yang jatuh dalam lubang lantai tandas. Kaki aku pula makin mengebas, dan aku mulai sedar daripada lamunan. Maka aku habiskan urusanku sebelum aku bangun mencapai tuala, keluar daripada angan dan harapan kepada dunia yang penuh kecelakaan ini.

Padang Kuning

Peganglah kelopak tulip itu
Lewati juga langkah kakimu
di padang kuning itu.

Rasakan juga benih-benih kecil
pasir-pasir sekeliling
menusuk halus tapak kakimu.

Ramaskan
Serta larikan
Kerahkan kudrat jemarimu,
merasai alam.

Helakan nafasmu
bersama hembusan
padang kuning itu

Biarkannya hening
sebentar
kerana kamu sebelumnya
terlalu khayal
dibuai artifisial.

Muram Durja

Sewaktu saya menulis rentasan kecil daripada kehidupan ini, masyarakat Islam sekeliling saya sedang menyambut Ramadhan, bulan yang diwajibkan amalan berpuasa. Waktu ketika rentasan kecil ini ditulis, waktunya malam sekali. Hujan baru sahaja turun di awal senja tadi. Suasana masih lagi dingin, hening dan sunyi. Namun walaubagaimana sekalipun suasana itu berubah, mungkin daripada dingin malam ini kepada hangat, keadaan saya masih sama. Saya masih lagi muram dan saya merasakan ada sebahagian kecil daripada umat manusia di luar sana selain daripada saya yang ikut muram. Bukanlah muram ini menjadi akhlak keseluruhan kepada kehidupan saya atau cara saya bersama masyarakat dalam berbasa-basi atau representasi diri, tetapi ia hanyalah sebagai satu ciri yang agak dominan dalam hidup saya sehari-harian. Begitu juga bagi sebahagian kecil manusia yang berkarakter sebegini, mereka tidaklah senantiasa muram, cuma mereka; boleh saya katakan, mereka memakai topeng kegembiraan di hadapan manusia lainnya dan apabila mereka kembali bersendirian, mereka meluruhkan keseluruhan topeng tersebut, dan menilik cermin mencari di mana silap kehidupan mereka. 

Mencari di mana punca kemuraman. 

Ada yang berkata, kesunyian itu yang menyebabkan kita muram. Kita tidak ada sesiapa untuk berkongsi dan tidak juga mempunyai bahu untuk bersandar. Seolah-olah dunia ini terlalu luas untuk kita bernafas, kita lemas dalam jutaan manusia lain yang cuba melompat-lompat menggapai udara untuk menggerakkan paru-paru mereka bernafas dan akhirnya, kita merasakan kita ini sebenarnya tidak mampu bertanding mendomba diri kita yang kecil ini untuk melawan manusia-manusia alpha lainnya. Maka dengan sebab itu, kita bisa sahaja menyerah daripada cuba melawan, dan kita akur dengan perjalanan hidup kita. Namun, apabila perjalanan hidup kita tidak mengikut aras kegembiraan kita, kita merasa sedih dan gelisah, dan ditambah dengan kesunyian yang kita ada, kegelisahan dan kesedihan itu tidak mampu kita salurkan kepada siapa-siapa. Kita akhirnya bermuram sendirian. Kemuraman itu kita akhirnya memegangnya sungguh-sungguh, hingga kita merasakan bahawa muram itu adalah kehidupan kita yang sebenar.

Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu.

Pernah juga saya merasa, dalam proses perlawanan kita untuk menggapai apa yang kita hajatkan dalam segerombolan ramai manusia, saya diserang rasa gemuruh. Jantung saya berdetak kencang seolah-olah saya berhadapan dengan seekor raksasa gergasi yang cuba untuk memakan saya sedikit demi sedikit. Tetapi saya selalu dan biasanya tidak ketahuan, apakah representasi fizikal raksasa gergasi yang saya takuti itu secara realitinya. Dan inilah yang mendorong saya untuk berfikir dengan lebih dalam, apakah ketidaktahuan saya itu sendirilah yang menampakkan dirinya sebagai raksasa gergasi atau masih ada entiti-entiti lain seperti nasib, masa depan atau rezeki yang ada dialami oleh saya tanpa saya mengetahui apakah ia itulah representasi kepada raksasa gergasi?

Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu. 

Pernah juga saya dikhabarkan oleh seorang rakan, kemungkinan ketidakupayaan kita menggapai sesuatu yang kita hajatkan berbanding kitaran manusia lain di sekeliling kita itulah yang menyebabkan kita muram. Saya cuba contohkan, ia seperti usaha menggapai entiti-entiti kosong yang dianggap kejayaan untuk dunia kita ini, berpindah daripada satu kejayaan kepada kejayaan lain seperti peralihan abjad daripada A kepada B kepada C dan seterusnya sehingga kepada Z atau bahkan infiniti. Dan bagi rakan saya, kegagalan dalam mencapai usaha ini merupakan puncak utama kepada gunung kemuraman. Namun, bagi saya, kitaran ini dilalui semua manusia, dan saya tidak merasakan ia merupakan masalah atau punca kepada muram kerana tidaklah dikatakan seseorang itu jahat atau bodoh apabila dia cuba untuk memperbaiki nasib kehidupan mereka atau cuba untuk mengangkat strata kehidupan mereka daripada masyarakat marginalis kepada masyarakat aristokratis. Apakah ia salah?

Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu.

Tetapi, ada juga benarnya apa yang dikhabarkan kawan saya ini kerana apabila kita melihat kepada percubaan-percubaan manusia dalam usaha mereka ini, kita biasanya mampu melihat hasilnya biasanya akan terbahagi kepada dua, iaitu gagal dan berjaya. Saya tidaklah cuba menampilkan usaha ini kepada bentuk binari hitam dan putih sahaja, yakni gagal dan berjaya sahaja, saya tahu, di antara dua ini ada sesuatu yang berwarna kelabu campuran hitam dan putih yang saya rasakan berada di antara lipatan gagal dan berjaya. Mungkin boleh kita namakan sebagai sedang-sedang, tidaklah gagal dan tidaklah berjaya. Tetapi, dua bentuk hasil ini merupakan yang paling dominan, kerana dalam seseorang itu berusaha, apabila dia tidak mencapai target yang diinginkan, walaupun mulutnya berkata itu adalah sedang-sedang, atau sudah cukup, dia sebenarnya sudah gagal. Cubalah sahaja kita pusingkan ia bagaimana sekalipun, jika kita tidak mampu membidik tepat kepada sasaran yang kita hajatkan, kita itu sebenarnya gagal. Namun, maafkan saya, saya masih lagi tidak berani mengatakan apa yang saya katakan ini tepat belaka.

Kerana saya tidak tahu dan tidak berminat untuk tahu.

Daripada dua hasil ini, saya simpulkan, ia menjadi punca kepada kemuraman. Jika seseorang itu gagal memperolehi apa yang diinginkan, ada yang menghala kepada kemuraman, ada yang sebahagiannya yang berhati kuat, tidaklah menghalakan dirinya kepada arah muram durja, bahkan menganggapnya sebagai motivasi penguat diri. Itu bagi saya, perkara normal yang tidak perlu diperbahaskan dengan lebih lanjut. Itu juga apa yang diperbahsakan rakan saya. Namun, yang sudi saya bangkitkan sebagai persoalan, atau apa yang biasanya saya hairankan, kenapa masih ada yang sudah memperolehi kejayaan itu masih lagi bersifat muram? Sedangkan jika dibandingkan dirinya dengan yang gagal, dia jauh lagi terkehadapan dan berjaya. Namun masih lagi dia muram dan tidak merasa cukup.

Mungkin ini saya tahu, dan saya berminat untuk tahu. 

Tetapi apa yang saya tahu biarkan lah dalulu kerana barangkali esok dan lusa saya bertemu rentasan-rentasan hidup manusia lain yang sudi membicarakan perihal ini. Biarkan sahaja hari-hari membongkar segala ketidaktahuan saya ini kerana saya sudah malas untuk menulis. Saya ingin baring sebentar bersama ketidaktahuan.

Kerana ketidaktahuan itu kadang-kadang mengangkat kita jauh daripada muram.

Pemuda-Pemuda Keresahan

Sebagai seorang pemuda yang masih lagi bersari dengan kepemudaannya, sering sahaja saya ini tertanya-tanya, kepemudaan seseorang itu sebenarnya tertakluk kepada penaklukan apa? 

Ada yang berkata muda-muda itulah puncak segala kegilaan; ada yang ditimpa kegilaan dalam mencari dan menakluk rezeki atau lebihan dagang, atau juga ada yang berkata kegilaan dalam kepemudaan itu adalah kepayang dalam buku-bukunya atau bersimpuh dengan guru-gurunya dalam mencari arak ilmu, atau sahaja mungkin kepemudaan itu adalah usaha penaklukan sebuah entiti kebebasan; bertegang urat marih menjerit menginginkannya daripada sesebuah sosok kezaliman, atau barangkali mungkin sahaja kepemudaan itu adalah anti-penaklukan; pemuda yang kegilaan dalam keengganannya menjadi bebal menurut manusia lain, seperti pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang dipaparkan berontak kepada sebuah kerajaan di  zamannya. 

Jadi soalannya, kita ini pemuda yang gila mencari apa?

Saya senang sekali apabila berhadapan dengan pemuda-pemuda yang kegilaan seperti saya. Resah dan gelisah, mereka inginkan suatu kata penamat kepada ketidaktenteraman jiwa mereka. Mereka tidak menganggap dunia ini sebagai tempat untuk mereka bahagia. Bahkan perkataan dunia (Arab: dunyā) itu menurut bahasa rasmi agama kita, bahasa Arab, adalah satu kalimah yang mencerminkan makna yang terbawah, hasil daripada kata kerja adnā (membawah). Maka mustahil suatu tempat yang berada pada peringkat bawah itu mampu memberi kebahagiaan kepada seseorang itu.

Menanggapi dunia ini seolah-olah segalanya, mencintai kehidupan dan lebih banyak menikmati hidupnya itulah yang menjadikan seseorang itu sebenarnya mati dalam dunia ini. Kerana perbuatannya yang terlampau cintakan dunia itu yang mematikannya, bukan selepas ajalnya, bahkan sewaktu dia itu hidup, dia bahkan telah lama mati dengan keasyikan, atau dihinggapi penyakit yang seperti-seperti dengannya atau apa yang Barat bahasakan; conspicuous leisure.

Jadi bagaimana keresahan pemuda-pemuda yang saya senang bersama dengannya?

Keresahan yang saya maksudkan adalah keresahan dalam mencari makna hidup. Bagaimana mencari akan kehidupan itu menghidupkannya? Bagaimana mungkin bezanya pemuda-pemuda ini dengan para pencinta hidup yang saya khabarkan sebelum ini sedangkan kedua-duanya mencari kehidupan? Ada manusia, semakin gemuk dibajai makanan dan nikmat dunia, sebenarnya tidaklah beruntungkan apa-apa melainkan kebodohan. Itulah golongan pertama. Berbeza dengan mereka adalah golongan kedua, pemuda-pemuda yang saya senangi. Mereka mencari makna kehidupan, bukan sekadar hidup materi.

Mereka inilah nanti yang makin kontang jasmani, tetapi tasik rohaninya.

Maka atas dasar begitulah, pemuda-pemuda ini walaupun kurus kontang, mencari makna hidup, semakin digali kehidupan mereka -waktu hidupnya atau walaupun selepas mati- semakin nyata mereka berisi dengan pemaknaan kehidupan, dan semakin berhasil orang-orang sekalian itu berhasil sesuatu makna daripadanya, berbeza sekali dengan yang gemuk materi, apabila mati yang mereka takuti itu tiba, mereka akan habis bersama dengan tulang-tulang dan daging-daging mereka.

Tidak dikenang orang, diingat manusia.


Biri-Biri Abnormal

Jikalau kita merenung kembali keadaan persekitaran kita, kita semestinya perlu berhenti sejenak. Kita harus menatapi segala yang ada di sekeliling kita ini dengan pandangan yang tajam. Walaupun ada sahaja pujanga-pujangga yang berkata, jika kita melihat sesuatu itu dengan terlampau seni, maka kita sebenarnya terlepas pandang sesuatu yang besar. Apakah benar kiranya timbangan itu? Izinkan saya bertongkah arus. 

Saya sebenarnya merasakan pemerhatian itu perlu. Bukanlah gesaan saya ini mengatakan bahawa kita seharusnya terlampau seni dalam sesetiap perkara, atau kata bahasa Baratnya, "too particular with the details,"  tetapi saya cumanya menggesa akan pemerhatian berkisarkan satu soalan; kita ini sebenarnya hidup dipandu apa? Cuba renung-renungkan sebentar, haiwan misalnya, kehidupan mereka dipandu apa? Mereka makan, minum, mengawan, kemudian mereka kembali mengulanginya. Kita ini bagaimana? Kita sebenarnya kiranya dipandu apa? Tidaklah saya maksudkan wahyu atau kalam Allah dan kata-kata suci berintikan wahyu daripada Nabi Mulia Muhammad, kerana itu bagi saya terlampau tipikal bagi seseorang untuk membincangkannya. Perdebatan mengenai agama mana yang lebih baik ini tidak akan pernah habis. Oleh itu saya ini senang sahaja usulkan, berdirilah kamu kepada apa yang kamu percaya. Namun, apabila saya mengusulkan kepada kalian akan pemerhatian, saya cuma sahaja kiranya mengutarakan keperluan kepada kita untuk berhenti sebentar.

Berhenti daripada dibawa arus hidup ini.

Lihat manusia-manusia sekeliling kita yang asyik dengan perkara yang katanya masyhur di telinga-telinga manusia kini, sebut sahaja apa, gadis ini, lelaki ini, makanan ini, orang ini, orang itu, pendek kata apa sahaja perkara-perkara yang dicanang-canang manusia pada ketika ini. Ada yang mencanangkannya di media sosial, ada yang war-warkannya di kedai kopi. Perhatikan mereka, sepertinya ada suatu esensi yang berada di sebalik apa yang mereka bualkan itu satu makna yang sama. 

Apa kata kita berhenti sebentar?

Gambarkan kawanan biri-biri yang berjalan menuju kepada suatu arah, dan kamu berada dalam kawanan biri-biri itu. Kamu mengembek, berkomunikasi sesama biri-biri yang lain. Jika biri-biri A berhenti untuk meragut pucuk ubi di tepi jalan, maka kamu ikut berhenti. Jika biri-biri A mulai berjalan, maka kamu dan bebiri lain mulai ikut berjalan, Namun sedang kamu asyik berjalan, tiba-tiba saya datang berbisik kepada kamu, "Cuba sahaja berhenti sebentar."

Kamu berhenti.

Dan kawanan biri-biri itu makin jauh daripada kamu. Tidak mengapa, jangan kaget, kamu tidak lagi asyik. Di hadapan kamu, terbentang pelbagai jalan. Dunia saya, saya namakan jalan-jalan itu sebagai pilihan.

Janganlah fatalis mengikut kawanan.

Kamu punya empat kerat tenaga, kerahkannya,

Kamu juga punyai seketul daging putih dalam tengkorakmu yang menamakan dirinya sendiri, perahkannya,

Sekali lagi sudi saya ulangi, jangan fatalis mengikut kawanan.



Kepak Rindu

Zanariah, cuba sahaja kau bilang pada aku, apa aku ini gila?"

Hening.

Cepatlah bilang sama aku Zanariah, apa aku gila?"

Keliharan beberapa lubang-lubang kecil pasir itu berbuih-buih sejurus ombak meninggalkan pasir. Buih-buih itu tidak bercampur dengan buih yang lahir daripada air laut itu, ia seolah-olah mandiri, seperti udara yang dihembuskan daripada pasir, ia pecah-pecah seiring dengan angin laut bertiup. Mata Zanariah berkaca. Dia masih lagi diam, masih lagi tajam menancap ke arah Zakaria yang melongo di hadapan laut China Selatan itu. 

"Abang, janganlah abang berbuat begini. Apa kata abang pulang."

Zakaria masih lagi mengomel-ngomel keseorangan. Di tangannya terdapat secebis kain berwarna merah jambu. Kadang-kadang dibawa kain itu ke arah hidungnya kemudian dicium puas-puas. Zanariah hanya mengesat air matanya melihat karenah Zakaria itu. Sesekali dia ikut cium kain yang berada di tangan Zakaria itu. Dia masih lagi cuba memujuk Zakaria, mulutnya tidak berhenti menyuruh Zakaria pulang.

"Abang, pulanglah abang. Janganlah jua berbuat begini. Tidak manis dipandang orang," katanya.

Zakaria kadang-kadang tersenyum ke arah Zanariah duduk. Namun senyumannya itu kosong seolah-olah menembusi Zanariah. Kadang-kadang juga senyumannya dilemparkan ke arah tenggara. Ketika matanya diarahkan ke sana, kelihatan beberapa anak muda sedang duduk-duduk berbual di atas sebuah wakaf kayu. Tiga daripadanya berasap memegang rokok, manakala yang berkopiah tunggal dalam kumpulan itu hanya tersenyum-senyum. Barangkali ada cerita lucu dibualkan mereka. Mata mereka kadang-kadang memandang Zakaria.

"Yah, ada orang khabarkan abang ini sudah ditimpa gila! Biar abang khabarkan kembali kepada Yah, abang ini tidak gila! Yah, dengar ini, abang kira mereka itu yang gila!"

Zanariah mengangguk-angguk. Dia hanya mampu melayan karenah orang yang dicintainya itu dengan cara begitu. Diiyakan sahaja apa yang keluar daripada mulutnya itu. Kerana sayang, Zanariah tidak mahu walau sedikit cuba untuk tidak bersetuju.

"Apa rindu itu gila Yah? Kasi tahu sama abang, apa Yah bersetuju rindu itu gila? Apa orang agama yang katanya sakti itu tidak diajar alam akan rindu? Nabi, Yah, Nabi itu juga rindu! Ya'qub Yah, dia rindu! Dia tahu erti rindu!"

Air mata Zanariah makin berguguran. Pipinya yang putih itu merah-merah, kulit di bahagian sisi matanya berkerut-kerut menahan derita jiwanya mendengarkan kata-kata Zakaria. Angin lembut yang menyapu mukanya itu melarikan lagi air matanya jauh menitis ke atas bahunya. Dia hening sebentar. Menunggu lagi kata-kata Zakaria.

"Yah tahu, semalam hari Senin cukup dua tahun Yah. Abang selongkar almari Ibu, abang tahu, Ibu sorokkannya."

Zanariah memandang lagi wajah lelaki kusut itu. Matanya dikejap, dicuba bersabar supaya tidak menangis. Sesekali diseka pipinya dengan telapak tangan kirinya.

"Kain batik Yah, sudah tidak berbau. Ibu basuhkannya, dua tahun abang selitkannya di bawah bantal tidak berbasuh," kali ini Zakaria sebak-sebak.

"Abang tidak mahu pulang! Yang tinggal hanya kain merah jambu ini. Apa mereka bilang aku gila, aku ini benar gila?! Mereka itu bahkan yang gila!"

Zakaria menangis. Kuat esakannya. Esakan rindu. Zanariah turut menangis. Wajah suaminya itu ditatap dalam. 

"Abang, Zanariah ini ada abang. Abang menangislah. Biarkan mereka khabarkan abang gila." Zanariah cuba memujuk suaminya itu, walau dia tahu benar, pujukannya sia-sia.

Zakaria menarik nafas. Tangisannya dihentikan, diseka air mata jantannya. 

"Aku tidak mahu pulang kepada mereka, benarkan aku pulang kepada kau Yah. Aku janji kali ini tidak mabuk-mabuk."

Zanariah menangis, dia mundur daripada Zakaria. Duka hatinya ketika mabuk Zakaria menggila mulai hadir. Dia bangkit dari tempat duduknya, usaha memujuk Zakaria tidak berhasil. Bukannya Zakaria itu mendengar. Kepaknya mula dibuka, dia kini terbang di angkasa. Sambil menangis dia mengebas-ngebas sayapnya, air mata dari pipi kanannya jatuh ke atas lengan Zakaria. 

Zakaria mendongakkan kepalanya ke langit. Dilihat langit cerah, namun lengamnya basah dengan setitik air.

"Apa mungkin benar aku gila ya, Yah? Langit semacam mentertawakanku."



Tidur yang Panjang.

Hari ini saya baru sahaja bangun daripada tidur yang panjang. Tidur saya itu tidaklah melenakan, tidak juga terhad daripada nyaman, ia seperti separuh-separuh. Sebentar lena, sebentar lagi saya setengah jaga. Tetapi ia masih lagi tidur yang panjang.

Sepuluh minit selepas saya terlelap, barangkali, atau mungkin separuh abad setelah saya terlelap, ini masih barangkali jua, ataupun mungkin sahaja beberapa tahun, atau hari, atau dekad? Maaf, saya tidak dapat kirakan kadarnya secara tepat, kerana saya ini, baru sahaja jaga, jaga daripada tidur yang maha panjang. Kesedaran saya masih lagi malap-malap.

Tetapi jika mahu juga dihitungkan, mungkin tempohnya enam tahun selepas saya tertidur, ia, enam tahun, saya dikejutkan dengan keadaan separuh jaga, daripada mimpi-mimpi yang berupa manis keanak-anakan. Dalam mimpi itu, saya menyukai apa yang anak-anak sukai. Sebut sahaja coklat, gula-gula, bahkan segala yang terang-terang serta yang ada bibit-bibit ceria yang anak-anak gilakan, saya turut gilai. Saya merengek jika saya tidak dapatkannya, saya melompat girang jika saya berhasil memilikinya.

Kemudian mimpi saya ini dikejutkan dengan satu hentakan daripada karakter-karakter dewasa dalam mimpi saya, mereka tukuli saya dengan paku persoalan tentang adanya sesuatu yang mereka gelarkan sebagai Tuhan. Kata mereka, Tuhan ini yang menciptakan kita. Beriman, kata mereka lagi, kita harus, ah, kita mesti.

Saya kemudian separuh jaga buat beberapa dekad hasil daripada kejutan ini. Saya kekal mandiri daripada mimpi untuk beberapa dekad ini, atau tahun, atau abad, saya lupa, kerana tidur saya, tidur yang panjang. Atau barangkali ketidaktahuan saya ini kerna bukan saya ini yang menjadi tukang hitung mimpi yang panjang ini.

Walaubagaimanapun, jaga saya itu tidak lama. Jaga saya itu lelap-lelap sebentar. Jaga saya tidak lama. Tidur saya itu yang panjang, dan dalamnya masih lagi ada mimpi baru yang sedang berjalan. Dan akan berjalan. Tidur saya ini, tidur yang panjang. 

Barangkali saya masih lena ketika menuliskan ini. Perkataan ini mungkin mimpi.  Sudah saya katakan, tidur saya ini, tidur yang panjang. Mungkin lain kali saya akan tuliskan mimpi-mimpi saya yang lain yang hadir dalam lena yang panjang ini. Kerana jika saya jaga sepenuhnya, saya mungkin tidak mampu menulia lagi.

Kerana saya kirakan manusia itu tidur, mereka jaga apabila mereka mati.

Doakan saya jaga kembali. Kerana mimpi berbentuk dewasa ini, sukar untuk saya lari daripadanya.

Sekali lagi, doakan saya jaga. Saya bimbang, tidur saya bukan lagi tidur yang panjang.




Antara Babi dan Pipit.

Waktu dinihari begini biasanya Hanna mulai bangun. Dia bukanlah seorang yang tidak suka bangun lewat pagi, cumanya seperti telah diperangkap penggera jasmani, dia mudah terkejut daripada lenanya. Mungkin kerana terbiasa. Atau mungkin dia sudah lali dengan jadual hidupnya. Bingkas bangun, matanya melilau mencari sesuatu.

"Air, mana air kosong. Oh, ada pun."

Tangannya mencapai air kosong yang separuh berisi dalam sebotol bekas tupperware merah jambu di penjuru katilnya. Disuakan muncung botol itu ke mulutnya lalu diteguknya air itu semahu-mahunya. Dia kemudiannya dengan langkah malas mulai bangun daripada katilnya, tangannya mencapai tuala, kakinya dilangkah longlai ke arah bilik air.

Melihat cermin, matanya menancap tajam memandang sesuatu. Kepalanya beroperasi memikirkan sesuatu. Atau mungkin dia menunggu sesuatu. Malas bermenung panjang, tangan kirinya mulai mencapai berus gigi oren yang tersadai di dalam gelas plastik di sudut kiri sinkinya. Baru sahaja ingin diletakkan pasta gigi, perhatiannya beralih apabila dia terasa gatal di lengan kanannya. Matanya berarah ke lengannya tersebut, dilihatnya tangan kanannya yang bertopangkan sinki sebentar tadi mulai menggelupas, kukunya mulai panjang, bibirnya juga mulai mengeras.

"Awalnya. Belum sempat aku gosok gigi."

Baju tidur labuhnya juga mulai mengembang sedikit demi sedikit, sambil kakinya juga mulai runcing, menggelupas, seterusnya menjadi keras bersisik seperti kaki burung. Berus giginya diletakkan kembali. Dia meluru keluar daripada bilik air dan menuju ke arah tingkap. Baju dan seluar dalamnya dilucutkan. Tingkapnya dibuka. Tangannya yang berkepak dan berbulukan pelepah mulai dikibas-kibas.

Hanna kini terapung-apung; terbang di udara. 

Lima minit terbang di udara, Hanna terasa letih lalu mendarat. Wayar elektrik yang diinjaknya itu memberikannya pemandangan yang luas. Apartmen Sri Idaman itu dapat diterokanya luas-luas. Dilihat dari tingkat tiga kelihatan apartmen Pak Cik Hamid, jiran sebelah rumahnya. Isteri mudanya Markonah dilihat dari tingkap biliknya sedang asyik berhias. Cantik, namun bagi Hanna fesyennya agak ketinggalan. 

Matanya kemudian dialihkan ke arah tingkat dua apartmen. Matanya tajam melihat seseorang yang sedang asyik menyikat rambut di hadapan cermin. Hatinya berdebar melihatkan seseorang itu.

"Bam!" Tiba-tiba bunyi kuat itu mengejutkannya. 

"Engkau dah sembahyang ke belum?" 

Emaknya menjerit dari luar mengetuk-ngetuk pintu bilik. Hanna mulai mencebik. Selimut ditarik menutup mukanya. Tangan dan kakinya didepakan kemudian ditutup, berulang-ulang seperti mencuba terbang.

"Kerja hari-hari macam babi. Baik jadi pipit."

Kakinya meraba-raba betisnya. Masih lagi licin, tidak bersisik. Dia membuka selimutnya, matanya tajam merenung kipas siling biliknya. Perlahan-lahan dirasakan keadaan biliknya membesar. Seperti tenggelam, Hanna seperti sedang menuju ke dalam perut bumi. Kipas biliknya kini hanya mampu dilihat dari pandangan atas, seperti tingkap kecil yang hanya menampakkan kipasnya sebagai pemandangan. Kipasnya juga kemudian nya dilihat bersegmen-segmen, begitu juga keadaan biliknya. Diraba-raba badannya, tangannya dirasakan bertambah. Kakiny a juga dirasakan sedemikian. Empat tangan dan empat kaki, pergerakannya dirasakan pantas sekli. Dia mulai merayap turun daripada katil. Mulutnya kering, dia dahagakan benda yang manis. Ingin ke dapur, dia meluru ke arah pintu bilik.

Dari ruang kecil bawah pintu biliknya, matanya menangkap kaki ibunya yng berada di luar, betul- betul di hadapan pintu biliknya. Dia merangkak keluar melalui ruang kecil bawah pintu biliknya. Belum lama dia melangkah, tiba-tiba badannya terasa dihempap sesuatu. Pandangannya dirasakan kabur, namun dalam samar-samar dia mendengar adiknya ketawa merengek. Pandangannya kemudian gelap.

***

Dalam LRT, Hanna melihat manusia berpusu-pusu ingin ke tempat kerja masing-masing. Beg tangannya digenggam kemas. Matanya malas sekali. Manusia di sekelilingnya hanya dilihat sepintas lalu. Manusia baginya semuanya sama, berkepalakan tikus. 

"Hari-hari kerja macam babi."

Dia mengomel lagi. Walaubagaimanapun, omelannya kali ini tidak lama. Sewaktu melalui sebuah kawasan perumahan, dia terpandang seekor anjing sedang berjalan-jalan mundar-mandir. Lama direnungnya anjing tersebut. Matanya dialihkan ke arah lengannya apabila dia merasakan gatal-gatal kembali di anggota badannya tersebut. Lengan baju kurungnya diselak. Hanna melihat tangannya mulai berubah. Bulu lengannya mulai lebat. Mulutnya juga dirasakan bermuncung. Air liurnya meleleh-leleh, menitis ke atas baju kurungnya. Dia kemudiannya menyalak girang. 

"Hari-hari kerja macam babi. Baik jadi anjing."

Dia kemudiannya menyalak sendirian.






Bangsawan Miskin

 Ada seorang penukul gila
mundar-mandir, menyeringai; seluruh kota,
mencari mangsa - si marhaen biasa.
Senjatanya berkembar,
dikelek abadi, ke sana ke mari.
Di tangan kanannya: 'Tukul Harga'
Tangan kirinya pula berpaku aneka.
Pakunya yang bisa: 'Paku Minyak'
Sekali diketuk, marhaen belalak!
Sakitnya - ya- sakitnya amat!
Anehnya pula, masih terlihat;
Sosok-sosok marhaen
berlagak bangsawan!
Dibilangkannya: "Syukuri saja!" "Syukuri saja!"
Walhal kepala; berbenjol-benjol!
Diketuk kepala; masih lagi tolol?
-Bangsawan Miskin, 10 Mei 2013

Conspicuous Leisure

Beranaklah-pinak sekalian raya
tanpa waspada kakinya ini
sedang berjalan; bahkan berlari
menuju ke sana.
Binalah jua segala kota
lagikan Safawi, jirannya Roma
hancur binasa.
Hidup-hiduplah; seperti biasa.
Udah-udahlah,
conspicuous leisure.

Sembang Kedai Mamak 1

Lelaki A: Cut to the chase, dunia ini, dalam dunia ini, apa ada perkara yang selalu kau fikirkan? Aku bosan kita diam tanpa topik.

Lelaki B: Politik, mungkin. Aku merasakan politik adalah suatu benda yang tidak dapat aku endahkan. Barangkali kita akan bercakap mengenainya sehingga kita mati.

Lelaki A: Mungkin. Bapak aku sudah menjangkau umur enam puluh tahun, dia masih petah berbicara mengenai politik. 

Lelaki B: (Ketawa).

Lelaki A: Bagaimana dengan agama?

Lelaki B: Agama?

Lelaki A: Iya, agama.

Lelaki B: Kenapa dengan agama?

Lelaki A: Entah, aku lihat terma Islamis begitu masyhur di kalangan masyarakat kita ini. 

Lelaki B: Apa engkau Islamis?

Lelaki A: Iya, sudah tentu aku Islamis.

Lelaki B: Bagaimana engkau mengukur engkau itu Islamis? Apakah ada kayu ukurnya? (Tersenyum)

Lelaki A: Apa kau mahu jawapan? Senyummu membuatkan aku menyangkakan soalanmu retorikal.

Lelaki B: Apa retorikal itu tidak layak dijawab?

Lelaki A: (Tersenyum) Tenang, biar aku jawab.

Lelaki B: Aku tenang, cuma hari ini agak panas. Mungkin aku menjadi buru-buru.

Lelaki A: Islamis ya. Kayu ukurnya, hmm, shahadah barangkali?

Lelaki B: Apa kamu menyoalku kembali? 

Lelaki A: Tidak, aku yakin, kayu ukurnya yang pertama itu shahadah.

Lelaki B: Seperti muslim?

Lelaki A: Iya, seperti muslim.

Lelaki B: Kalau begitu, apa bezanya muslim dan Islamis?

Lelaki A: Apakah ada beza keduanya?

Lelaki B: Sudah tentu! Apa kau memanggil pinggan itu dengan nama pinggan?

Lelaki A: Benar.

Lelaki B: Bagaimana dengan sudu, apa kau namakannya sudu atau pinggan?

Lelaki A: Sudu.

Lelaki B: Jadi muslim dan Islamis itu berbeza.

Lelaki A: Rasionalnya di mana kawan?

Lelaki B: Iya, namanya berbeza antara satu sama lain. Seperti sudu dan pinggan, mereka diisi esensi berbeza.

Lelaki A: Habis itu, apa itu Islamis?

Lelaki B: Kau tanyakan aku? 

Lelaki A: Iya, apa itu Islamis?

Lelaki B: Entah. 

Lelaki A: Pendapatmu, jangan terlampau kecil kawan.

Lelaki B: Barangkali Islamis itu mereka yang mengangkat nilai Islam.

Lelaki A: Seperti?

Lelaki B: Karen Armstrong.

Lelaki A: Tapi dia bukan Muslim bukan?

Lelaki B: Sudu dan pinggan, sudu dan pinggan.

Lelaki A: (Ketawa). Maaf, aku lupa.

Lelaki B: Muslim atau tidak, dia Islamis. Dia mengangkat nilai yang ada dalam Islam untuk dipersembahkan kepada masyarakat.

Lelaki A: Tetapi sebahagian pendapatnya tidak menyetujui Islam. Islamis, tetapi bukan purist.

Lelaki B: Apa ada Islamis purist? (Ketawa)

Lelaki A: Mereka yang mengucapkan kalimah syahadah, mengangkat nilai Islam dan memperjuangkannya.

Lelaki B: Kalau begitu, kita ini semua Islamis purist.

Lelaki A: Benar.

Lelaki B: Tetapi aku tidak menerimanya.

Lelaki A: Kenapa?

Lelaki B: Kerana cara kita memperjuangkannya, nilai yang diangkat kita, ada bedanya.

Lelaki A: Contoh?

Lelaki B: Engkau partisan?

Lelaki A: Tidak, aku menilai mengikut kacamataku sendiri.

Lelaki B: Apa bagimu kerajaan Islam itu dengan hudud?

Lelaki A: At a certain degree, yes.

Lelaki B: Tetapi ada yang melihatnya tidak.

Lelaki A: Contoh?

Lelaki B: Tadbir urus kerajaan yang baik, ketelusan pemerintah, tanggungjawab sosial, maslahat rakyat, itu pendapat sebahagian yang lain. Kata mereka Islamnya di situ. Apa mereka terkeluar daripada Islamis purist?

Lelaki A: Apa maksudmu kawan?

Lelaki B: Yang aku maksudkan, kita ini ada perbezaannya. Islamis purist menurutmu itu jadinya terdapat perbedaan.

Lelaki A: Perbedaan yang kecil. Mungkin tidak mengapa.

Lelaki B: Kalau begitu, aku tanyakan engkau soalan yang sama, apa Islamis purist dan Muslim itu ada bezanya?

Lelaki A: Sudah tentu.

Lelaki B: Di mana?

Lelaki A: Dari segi penamaan. (Ketawa)

Lelaki B: Apa kata kita perkenalkan diri kita ini sebagai Muslim sahaja. Aku sudah cukup muak dengan Shiah, Sunni, Muktazilah, Brelvi, Salafi, Ashairi, Maturidi, dan sebagainya. Islamis, Islamis purist itu bakal memenuhkan almari.

Lelaki A: Ok, ok. Jangan emosional. (Tersenyum).


Duit dan Kerja.

"Masalah apabila kita ini terlampau memikirkan duit, sedangkan manusia hanya memerlukan apa yang dia perlu. Manusia tidak memerlukan lebih daripada apa yang dia perlukan. Lebih daripada itu, kita gelarkan sahaja ia sebagai kehendak."

Aku kadang-kadang termangu memikirkan kata-kata temanku. Adakalanya hendak sahaja aku biarkan persoalan dilontarkan itu terawang-awang tanpa jawapan. Kerana aku punya pendapatku sendiri. Bagi aku ya benar, lebih daripada keperluan itu dikira kehendak. Namun di zaman yang serba kehendak menjadi keperluan ini, kita kadang-kadang perlu menyusun kembali apa itu kehendak dan apa itu keperluan. 

"Cuba sahaja kita lihat Melayu zaman pra-kolonial, mereka itu hidup cukup-cukup makan sahaja. Mereka bersawah, mereka ke laut, apa yang menjadi hasil untuk hari itu, itulah makan mereka. Itu sebablah mereka digelar malas oleh orang putih, penjajah kita. Sedangkan kehidupan begitu tenang, tidak terikut-ikut dengan harta dunia. Itulah hidup."

Temanku masih lagi bersungguh-sungguh menguatkan hujahnya. Aku kadang-kadang ikut mengangguk mendengarkan hujahnya. Mungkin ada benarnya penyataanya yang tersebut. Tapi tanpa hujah atau data hstorikal yang lengkap, bagi aku, hujahnya masih lagi terapung-apung menjadi cakap-cakap kosong. Atau mungkin sahaja telahan-telahan hatinya yang disangkakannya fakta. Kerana kalau kita kembali kepada zaman dahulu, untuk mengiyakan bahawa kebanyakan orang Melayu itu miskin-miskin, kais pagi makan pagi, merasa cukup dengan apa yang mereka ada, bagaimana kita mahu sangkalkan kenyataan bahawa bangunnya pejuang-pejuang penentang penjajah seperti Dato' Bahaman, Dato Maharaja Lela, Tok Janggut dan sebagainya? Ada di antara mereka bangkit bukan sekadar bangkit atas dasar pejuang rakyat, tetapi bangkit kerana hak-haka ekonomi mereka dirampas oleh penjajah. Ini menandakan orang Melayu kita ini ada ekonominya sendiri, strata kehidupan mereka berbagai-bagai. Ada yang kaya, ada yang miskin.

Itu juga telahan rambangku.

Utopia, benar?

Bagi aku itu utopia. Kita seolah-olah ingin kembali kepada zaman lampau tanpa melihat keadaan masyarakat sekeliling. Kadang-kadang aku terfikir, jika benar telahan atau hujah sahabatku ini, apakah dia tidak berpijak di bumi yang nyata? Maksudku kenapa kita samaratakan keadaan kita pada zaman ini dengan era lampau? Apa aku dan temanku ini bersawah lagi? Zaman kita ini keperluan itu menggila, menyekolahkan anak, berkereta, rumah dan sebagainya. Kalau kita ini masih lagi bersikap carefree seperti Melayu dahulukala, mungkin boleh, tapi aku jamin ia datang dengan gadaian sesuatu. Mungkin gadaian persekolahan anak-anak, atau rumah tidak beratap seperti yang Pharrell wiridkan dalam lagunya Happy; sebuah lagu yang sering aku persoalkan; manusia mana yang sukakan rumahnya tidak beratap? Kegembiraan jenis apakah yang dia rasai?

Kenyataannya ini benar-benar mirip dengan mereka yang berjuang kepada sebuah negara Islam, negara khilafah, negara yang Islamnya menjadi wadah.

Aku tertanya-tanya, model negara manakah yang mirip kepada negara idaman mereka ini? Menjawab persoalan aku ini, antara mereka cuba kembali kepada negara-negara khilafah, Umawiyyah, Abbasiyyah, Uthmaniyyah, Andalusiyyah, Fatimid dan sebagainya. Apa mereka itu hidup pada zaman kita? Apa mereka itu ada parlimen, ada sidang dun, ada nasi lemak, ada roti canai seperti kita? Jangan silap faham, apa yang aku cuba utarakan adalah persoalan budaya, masa dan ruang. Ketiga-tiga benda ini yang ada pada kita sekarang bagiku amat berbeza dengan apa yang ada pada mereka yang hidup pada zaman khilafah-khilafah tersebut. Kita meluru jauh dalam melontarkan jawapan kepada masalah-masalah yang dialami kita ini tanpa melihat kepada persoalan sebenar kepada masalah tersebut bagku adalah, kerja gila. 

Ya, kerja gila.

Tidak dapat tidak, kita perlu berhenti sebentar, dan kita persoalkan, adakah kita ini hidup pada era moden? Jawapannya, ya, benar kita hidup pada era moden. Tidak dapat tidak kita perlu mengakuinya, kita hidup pada era moden. Kita ini Muslim yang hidup pada era moden. Kita tidak boleh kembali kepada strata sosial era lampau, kita perlu hidup pada zaman ini, era ini, kita perlu keluarkan jawapan baru, model negara baru, sistem ekonomi baru yang sesuai dengan zaman ini. Islam bagiku, adalah sebuah agama yang tidak semudah yang kita mahu. Tidak ada Islam yang paling suci. Islam adalah agama yang interpretasinya berbagai-bagai. Terutamanya dalam masalah yang berkaitkan maslahah ummah, masalah untuk menentukan kebaikan manusia. Aku tidak maksudkan perihal usool aqidah, aku maksudkan perkara-perkara furu' atau cabang yang manusia Muslim saban minit perbahaskan.

Itu maksudku.

Islam tidak datang sebagai agama Arab, Islam datang sebagai agama yang membebaskan manusia daripada kebodohan. Sebab itulah Islam Melayu itu berbeza dengan Islam Arab, Islam Afrika berbeza berbeza dengan Islam Kemboja, Islam China berbeza dengan Islam India. Bezanya adalah perbezaan mereka itu tidak pada mengesakan Tuhan, tetapi pada budaya, ruang dan masa mereka. Dan kita ini yang cuma memudahkan Islam dengan menyamakan setiap perkara yang ada pada kita dengan Arab adalah insan yang tersilap.

Atau begitu juga yang memandang manusia yang menghuni keadaan ekonomi kita sekarang ini yang memerlukan duit, bekerja sehingga petang mencarinya sehingga diistilahkan dengan workahlic, gila duit, gila dunia, tidka menikmati hidup sebenar-benarnya sebelum disamakan dengan keadaan ekonomi lampau kita yang bersawah, berkebun suatu masa dahulu bagiku, tidaklah tepat.

Tetapi dunia ini sarat dengan perspektif berbeza.

Maka aku menghormatinya.


Tarzan dan Seluar Segitiganya

Saya sebenarnya semasa kecil dahulu suka melihat filem Tarzan. Zaman saya yang sewaktu itu menonton filem hanya melalui tape VHS, samada cerita Tarzan, Jumanji lakonan Robin Williams yang baru sahaja meninggal baru-baru ini, atau cerita Kesatria Baja Hitam; vigilante berbaju ketat yang suka menaiki motor berkuasa dalam 100-135cc sahaja apabila mengejar penjahat. Yang menganehkan saya, sempat pula dia mengejar. Berbalik pada cerita Tarzan, dia adalah seorang lelaki yang dibesarkan oleh gorilla di dalam hutan, kemudian dia bertemu dengan Jane, masing-masing jatuh hati, bercinta dan seterusnya mereka hidup bahagia sehingga habis filem. Saya lupa samada Tarzan mengikuti Jane hidup di bandar; tempat yang khabarnya manusia bertamadun tinggal atau Jane yang mengikuti Tarzan, hidup di dalam hutan, bercinta; kekal bahagia hingga ke penghujung filem. 

Saya juga turut tidak tahu samada Jane dan Tarzan kekal bahagia sehingga mati, atau sekadar bahagia hingga ke hujung filem; selepas habis filem, beberapa tahun kemudian mereka bercerai atau tidak. Tidak mengapalah, apa yang saya mahu ceritakan, saya semasa kecil dahulu sering terfikir, kalaulah Tarzan ini dibesarkan oleh gorilla, kenapa dia tidak turut telanjang seperti gorilla yang membesarkannya? Siapa yang mengajarkannya memakai seluar kecil berbentuk segitiga itu? Adakah gorilla? Siapa pula yang menjahitnya? Adakah Tarzan pernah melihat orang asli dalam hutan itu memakai seluar, lalu ketika orang asli itu mandi, adakah Tarzan mencuri seluar orang asli itu yang diletakkan di atas batu? 

Dan untuk pengetahuan anda semua, hal ini tidak terhad kepada Tarzan sahaja. 

Saya juga pernah melihat suatu rajah evolusi manusia, daripada homo-sapien kepada manusia. Kebiasaanya rajah ini digambarkan dengan beberapa peringkat, peringkat permulaan biasanya manusia masih lagi berkerangkakan beruk atau kera, tidak berpakaian seperti binatang, hinggalah sampai pada satu peringkat, iya, pasti ada satu peringkat, homo sapien itu (atau apa sahaja yang mereka gelarkan) mulai memakai satu cebisan kain di celah kelangkang mereka, dan saya ini hanya mulai memikirkan sesuatu, siapa yang mengajarkannya menutup alat sulit mereka?
 
Adakah ini fitrah?

Peggy Brock ada menulis tentang ketelanjangan di kalangan orang asli di Australia sebelum kedatangan misionari-misionari Kristian ke sana dalam makalahnya yang bertajuk Nakedness and Clothing in Early Encounters Between Aboriginal People of Central Australia, Missionaries and Anthropologists, khabarnya di kalangan orang asli ada yang memakai pakaian namun pakaian yang dipakai mereka sebenarnya menyebabkan ketidakselesaan di kalangan misionari-misionari Kristian tersebut sekaligus mewujudkan sedikit ketegangan (tension) di kalangan mereka dan misionari. Jadi, kemungkinan daripada itu, apa yang saya dapat simpulkan, mungkin pakaian yang dipakai mereka agak terdedah, menyebabkan misionari-misionari itu merasakan ketegangan dan jika kamu tanyakan saya ketegangan apa tidaklah dapat saya jawabkan soalan tersebut.

Ada juga saya terbaca, khabarnya orang asli Australia ini adalah satu-satunya kaum yang tidak memakai apa-apa dalam menutup tubuh badan mereka. Namun ini tidak menafikan kaum-kaum asli lain yang masih menutup alat sulit mereka dalam berpakaian, seperti kaum asli di Papua New Guinea yang menutup zakar mereka dengan satu alat dipanggil koteka yang disangkutkan di pinggang mereka, atau penduduk kampung Bunlap di Pulau Pantercost yang terletak di Vanuatu dengan kain yang dililit menutupi zakar mereka bagi yang lelaki atau sepasang kain berbentuk skirt bagi wanita. Atau lihat pula lelaki-lelaki Swazi di bahagian Selatan Afrika suatu masa dahulu yang memakai suatu alat yang diperbuat dari kulit; hanya berfungsi untuk menutup zakar mereka dengan membiarkan bahagian lain terdedah. Inilah yang direkodkan oleh Barbara Tyrell dalam bukunya Her African Quest. Mungkin itu jugalah sebab dipaparkan King George, datuk kepada Nullah lakonan Brandon Walters dalam filem Australia itu menutup sebahagian daripada tubuhnya iaitu bahagian depan sahaja dengan meninggalkan punggungnya terdedah kepada angin. Mungkin itu cara mereka berpakaian? Entahlah. Mungkin mereka mempunyai cara tersendiri yang dalam berpakaian. Namun, yang nyata, rata-rata kaum orang asli di atas dunia ini majoritinya menutup alat sulit mereka. Kerana itu adalah fitrah.

Ini seperti yang diceritakan oleh Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al-A'raf, ayat 20 apabila menceritakan bisikan syaitan kepada Adam dan Hawa dalam menghampiri pohon yang menyebabkan terdedahnya apa yang disembunyikan oleh mereka daripada alat kemaluan mereka berdua. Allah menggunakan kalimah 'سَوْآتِهِمَا ' (baca :  sauāti hima). 'Sauāt' ini dalam bahasa Arab dieertikan sebagai alat sulit. Ini kerana ia berasal daripada rumpun kata sāa - yasûu, su', yang bermaksud menjahati, yang mana kata Hamka sepertinya manusia kurang senang atau malu apabila diperlihatkan orang atau memperlihatkan alat sulitnya kepada orang. Maka atas sebab itulah juga kita memanggil 'sauāt' ini sebagai kemaluan.

Kita menjadi kemalu-maluan apabila memperlihatkan kemaluan kita kepada orang lain.

Berbalik kepada cerita Tarzan.

Kadang-kadang saya juga terfikir, mungkin penulis atau pelukis cerita Tarzan itu menggambarkan Tarzan sebagai seorang lelaki yang melalui proses tumbesaran di dalam hutan bersama gorilla memakai seluar kecil berbentuk segitiga itu kerana tuntutan etika masharakat. Mana mungkin ingin disiarkan Tarzan bertelanjang bulat sedangkan filem itu filem kanak-kanak? Pelukisnya sendiri pun pastilah tidak ingin melukis alat sulit lelaki secara teliti dan disiarkan secara umum? Mungkin betul teori saya ini, mungkin juga tidak.Kerana kalau kita fikirkan secara jelas, tidaklah mungkin seorang manusia itu mampu menutup alat sulit mereka dalam keadaan ibu bapa gorillanya tidak memakai apa-apa; hanya ditutupi dengan kelebatan bulu mereka.

Namun adakah pakaian sedemikian diterima kalau dipakai di khalayak ramai? Separuh bogel ini masih lagi berpakaian, bukan?

Bagi saya ini, saya sama sekali tidak kisah anda mahu separuh bogel di mana- mana, atau di kawasan yang boleh memakai pakaian separuh bogel. Di pantai contohnya, mahu berbikini, berbikinilah. Atau jika anda mahu telanjang terus tanpa seurat benang, pergilah ke naked beach yang berdekatan. Secara jujurnya, bagi saya ini, jika anda adakan parti atau pesta bogel secara tertutup, tidaklah ada hak manusia lain untuk menghalang anda kerana yang hadir ke pesta anda itupun kesemuanya merelakan suasana perbogelan sesama mereka.

Tapi jika anda separuh atau sempurna bogel di tengah kota, saya tidak setuju.

Kerana kota itu kota untuk semua, bukan hanya untuk yang suka melihat orang separuh bogel macam anda. Benda ini tidak perlu masuk hak asasi, demokrasi, hak anda bebas bertingkah laku, rumit perbahasannya. Kalau anda katakan anda ada hak untuk separuh bogel di tengah kota, saya juga ada hak tidak membenarkan anda separuh bogel, kerana saya sakit hati melihatnya, saya sakit hati anak-anak saya melihatnya. Oleh sebab itu, saya berhak melempang awak. Tetapi awak pula mungkin mengatakan, apa hak saya melempang awak? See? Kalaulah perbentukan hak ini secara rambang, randomness, alam semesta yang terbentuk daripada random event, sepertinya tidak ada substansi terhadap hak itu. Siapa yang menetapkan kayu ukur sesuatu hak? Itu adalah punca permasalahan. Maka, saya simpulkan ini semua perbincangan yang tidak bertebing.

Saya ini berlatarkan agama saya Islam, dan saya merasakan separuh bogel di tengah kota itu menyalahi hak saya sebagai seorang penganut Islam yang menekankan etika dan moral dalam berpakaian. Sudah tentu anda tahu perkara ini bukan? Kalaulah agama saya tidak menekankan semua ini, tidak wujud pula wanita-wanita Muslim di luar sana yang berpakaian seperti tidak mengenal panas terik, bertudung litup, bukan? Sebenarnya boleh sahaja saya fahami, anda punyai latar yang tersendiri, akan tetapi, apa kata anda cuba untuk beradab apabila berada di kalangan manusia yang majoritinya menutup kulit daripada tatapan ramai walaupun dilitup oleh kain-kain ketat.  Walaupun awak dalam keadaan ekstatik ingin menyambut perkahwinan, saya masih lagi tidak dapat menerima awak separuh bogel di tengah kota. Sekali lagi saya bilang, kalau anda ingin adakan pesta sempurna atau separuh bogel sekalipun, namun biarlah ia hanya di kalangan orang yang suka bogel di hadapan orang seperti anda, ditambah lagi dengan secara tertutup, tidaklah ada yang layak menghalangnya. Cuma jika anda umumkan separuh bogel atau bogel sempurna anda kepada umum, saya amat sekali tidak setuju.

Bukan semua manusia di Malaysia ini menerima anda separuh bogel di tengah kota. Saya tidak mewakili mereka, saya hanya mewakili diri saya sendiri. Saya tidak memerlukan suara majoriti untuk bersuara kerana saya bukanlah pencari simpati seperti mana-mana manusia lain yang menuntut hak-hak luar fitrah mereka dengan mencari simpati manusia lain. Saya bersuara kerana saya merasakan itu melanggar etika saya, seorang rakyat Malaysia yang membesar dengan memakai baju penuh apabila berada di kota.

Berbalik sekali lagi kepada kisah Tarzan si anak angkat gorilla.

Kepada Tarzan, anda kalau mengikuti Jane, memakai baju kemeja di kota, apa kata anda pulanglah ke hutan kembali. Orang-orang di kota ini sebenarnya mulai ingin berpakaian seperti anda. Apakata anda ajak emak gorilla anda memakai baju seperti kami dahulu, biarlah gorilla lebih cerdik daripada kami, kerana kami masih sibuk merangka hak asasi; asasi kami dalam menutup diri. Adakah kami patut bogel sahaja seperti emak kamu? Ah, tapi kami emak kamu masih lagi menutup dengan bulu-bulu. Kami bukanlah berketurunan lebat seperti kamu. Jadi mungkin kami akan berpakaian separuh bogel dahulu, apabila masharakat mulai menerima bogel sempurna, kalau kami masih hidup, kami pasti akan masuk ke Giant untuk membeli terung dan mayonis dengan berbogel. Tidak terbayang oleh saya kesejukan penghawa dingin meresap masuk ke dalam kulit saya nanti.

Semestinya menyeronokkan.


Sahabat Tertua

Kadang-kadang saya lihat mereka tidaklah semuanya jahat kepada awak. Ada di antara mereka yang jahat, tapi tidaklah saya mahu katakan kesemua daripada mereka. Hanya sebahagian, ya, sebahagian daripada mereka. Hampir setiap kali sebahagian daripada mereka sakiti awak, hati saya geram, jiwa saya mencebik; sakit, sakit hati ini. Mahu sahaja saya terajang mereka, biar mereka sama-sama rasakan kesakitan yang awak rasa itu.

Tapi awak masih begitu, bersabar.

Saya pernah nampak seorang lelaki ini, sampah dibuang olehnya sesuka hati. Sampah pula pelbagai jenis, ada yang boleh dikitar, ada yang tidak. Yang bakar-bakarkan sampah pun ada, itu hari, seorang wanita tua, boroi perutnya, terkedek-kedek asyik membakar sampah di laman rumahnya. Saya lihat awak terbatuk-batuk, mungkin pedih barangkali terkena asapnya.

Tapi awak, saya lihat awak senyum sahaja. 

Air mata awak jarang-jarang sekali mengalir. Lebih-lebih lagi buat masa ini, sudah lama saya tidak lihat awak menangis. Hanya di bulan puasa, awak ada alirkan air mata. Itupun barangkali kerana terlampau panas. Mungkin awak rasa lega dengan menangis. Mereka pun tampak lega, walaupun dalam keadaan mereka tidak tahu mereka lega kerana awak menangis.

Awak, saya sayangkan awak.

Saya membesar bersama awak, awaklah sahabat tertua saya. Sakit hati saya melihat mereka sakiti awak. Awak jangan bimbang, walau apa yang terjadi, saya akan tetap menjaga awak. Walaupun mereka kata saya gila, tidak bersepatu, berjalan ke-sana ke-mari, mencium-cium kulit-kulit awak tanpa segan-silu, ketahuilah, saya sedikit pun tidak malu. Saya merasakan kebahagiaan dengan sedemikian. Mereka tidak tahu nikmat meraba-raba awak dengan berkaki ayam, menggosok-gosok debu-debu yang ada di kulit-kulit awak, mencium nafas awak yang segar ini. Lagi pula, ke mana saya ini mahu pergi jika saya tidak bernafas lagi? Saya kembali kepada awak juga, bakalan dirangkul kemas, disimpan rapi di tembolok awak.

Janji dengan saya, awak tidak himpit saya sekemas-kemasnya nanti.


Aku Masih Di Sini

Saya kini semenjak menuju ke arah alam tanggungjawab ini, lama-kelamaan makin terasa beban yang berat di pundak saya sendiri. Kadang-kadang rasa ingin muntah, terlampau berat bebanan fikiran yang ditanggung. Mungkin ini adalah sebahagian daripada sewa dalam menduduki alam kedewasaan. Sewa yang memerlukan hati, fikiran, jiwa menjadi serabut dan gelisah.

Ada sahaja fikiran yang terlintas, kepala tidak berhenti berfikir.

Saya masih ingat, sewaktu kecil-kecil saya ini bisa melakukan apa sahaja. Katakan apa sahaja, mandi hujan, berjalan tanpa sepatu, meraba-raba tanah dan pasir dengan tangan saya, mencium segala macam udara yang dihirup setiap hari bahkan bermanja-manja dengan lopak-lopak air hujan tanpa segan-silu sedikitpun, tanpa resah-gelisah dan keluh-kesah.

Mungkin kerana saya masih tidak dibebani tanggungjawab.

Kini saya merasa lelah, memikirkan tujuan hidup ini. Kadang-kadang saya melihat manusia sekeliling saya yang ceria, hidupnya gembira tanpa memikirkan sebarang masalah. Kata sahabat saya, "Kau sahaja yang fikirkannya tidak bermasalah, mereka ada masalah, cuma kita yang tidak tahu." Saya angguk-anggukkan sahaja. Bagi saya, bermasalah atau tidak, itu tidak penting, yang penting bagi saya adalah bagaimana untuk kekal ceria dan kekal senyum.

Lebih-lebih lagi waktu yang menekankan jiwa sebegini. Waktu cuti sekolah, selepas raya, waktu kawan-kawan saya semua berumahtangga. Dan saya, saya ini, hanya mampu kuotasikan kata-kata XPDC, 'Aku Masih Di Sini'.

Pehhhh.

Kadang-kadang Mael ni boleh buat saya leleh.



The Stressful Party of Lets-Us-Call-People-Who-Different-With-Us-As-Munafiq

I was once, like everyone else, had a Facebook account. And by the like of my sentence, I hope that you would get that by now, I don’t have a Facebook account. Otherwise I don’t use the ‘had’ thing in my sentence. Well, when it comes to this, you may ask why I do not have it?
And I have the answer for you.
And the answer is for the one who wants to know it. I don’t care for those who doesn’t want to know. But if you stumble this post and read it until this chapter, behold that, actually you-really-want-to-know although you stated it in your heart that actually, ‘I don’t wanna know’.
And my answer is simple.
I just having some stressful period of time reading people status in Facebook calling people munafiq all the time just by not agreeing with them.
This party members should really need to re-organise their thought.
How come the labeling thing went so easy in this generation? Things likemunafikkafir, sesat, and other negative, foul labels went so easy on the mouth of Malaysian nowadays. I just love to see how the carefree people; ranging from young and old, hanging out in warong-warong with their sarong on, and added with pioh lembek, sometimes with an extra feature with most of them having cigarettes dangling on their dark, dry and chapped lips, saying; this anu, thispolan is munafik. How Islam is served uglier on a plate of non Muslim by the cooking of stupid, fitnah-bringer Muslim.
And it all came from their leader, their prominent ulama, some of them, giving out statement about munafik-things. Now the thing that bother my mind is, if their matured and experienced leader can came up to this labeling things so easy, how come can we expect the young ones in this party acts differently? The reality shown by them is the visual of them flapping their mouth, mimicking ‘munafik‘ word like a parrot easier than their own leader.
I’ve became sick of this thing so-called jemaah.
I always wonder, Malaysia is an Islamic state, (I don’t wanna get into particular detail about Malaysia is an Islamic state or not, if it is an Islamic state, why the hudud thing became so weird for most of Malaysian, or if it is not an Islamic state, what say you about the Sultanate? All of them are Muslim, and Agong, the leader of the state, is also a Muslim, etc, so just let us assume Malaysian is an Islamic state) so there are a lot of the things called jemaah. There is tabligh, there is PAS, there is ISMA, IKRAM, PKPIM, ABIM, JIM, etc.
So which one?
Ah, stress.
And the stress-period-time of mine is not just that, I also had a sickness seeing opposition party bickering among themselves right now at this moment; fighting for the seat of Chief Minister for Selangor.
And it all happened in the peak of Palestine-slaughtering season by Israel, and in the midst of the late MH17 and MH370 disaster.
Well, Malaysian.
Tsk.

How Nasi Dagang Came To Live

I was having a nice moment with my nephew this morning. There was some incident happened, and we need to select some halba (fenugreek) from sesame seed, and my nephew's small hand was a really great help.
Halba is one of the main component in the making of nasi dagang, one of the main dishes in Terengganu. Whether you used beras wangi, or beras siam with beras pulut together, halba must be added in.

I don't really know why, but I would really like to guess. Okay here it is. Embrace my story dearly.

Long ago, there was a husband and wife, living in a rural place, somewhere in Trengganu. Despite of having a really hard, tough life, they endure it happily with one of their beautiful daughter, named Kuntum.

Enough with the intro I think. Let us go straight into the detail of nasi dagang.

One day, the husband went to the sea in order to seek a job in an island that is situated in the north of the South China Sea. So he did went, but on his pilgrimage to that island, his ship was wrecked by a storm. So after having a tough week on the sea, strayed with a piece of plank from his boat, he was finally saved by a merchant ship and was took on that ship as a slave.

Man, how I love my own story.

In that ship, there was some merchant stuff like halba and rice. It was said that the stuff is from Siamese merchant, especially the rice. The ship was from Trengganu, and it was on its way back to it.  The husband was put at the storage room with all of the merchant stuff.

I think enough with the bridge of my story. I just feel to lazy to continue it.

So, on one fine day, there was a storm, and the cook of that ship was struck by a lightning and dead on the spot with a spatula on his hand. So the husband took after his job and became a cook. And because of that storm, there was a ruckus happened down in the storage room and accidentally make the halba and Siamese rice mixed.

The husband know this and he just too lazy to separate those two things.

So he went to cook it both, without having a thought to separate it. After that, he served it to the captain, and the captain was having a mackerel on that day. So the Siamese rice with halba was served with a mackerel. The captain was shocked by the deliciousness of it. So the captain asked the husband, "Nasik mende gini eh awang?" The husband does not answer as he was scared of the captain because of his laziness in separating halba from the Siamese rice. The captain then went to named the rice as nasi dagang because he knew that the husband was a 'pedagang' back then.

So that's it.

Well some of you might think what about his wife and Kuntum? You just have to wait for it because his wife and Kuntum gonna invent something too.

But maybe in some other time.

Laters.

Estetika, Romantisis dan Pencerahan

Pertama-tamanya, ingin sekali penulis katakan bahawa kecintaan pada seni itu berada kukuh dalam hati penulis.

Yang keduanya, ingin penulis nukilkan bahawa apabila bercakap tentang soal seni, seni bagaimanakah yang kita hendak? Apakah senibina, seni lukis, kesusasteraan yang rancak dalam seusatu masyarakat itu merupakan kayu ukur dalam menentukan turun naik sesuatu peradaban? Apakah kriteria yang perlu kita perbahaskan dalam menentukan baik dan buruk sesuatu seni itu kepada pembangunan masyarakat? Apakah kayu ukur dalam Islam bagi menentukan sesuatu karya itu bermanfaat atau tidak? Atau adakah berkarya itu semuanya bertunjangkan kreativiti dan kebebasan; tidak perlu langsung pada sebarang batasan? 

Barangkali itu yang Oppie bilangkan pada dirinya sebelum korban Nagasaki dan Hiroshima itu; kebebasan berkarya? Mungkin ya, mungkin tidak setelah jutaan jiwa Nagasaki dan Hiroshima fana menjadi debu.

Syed Naquib Al-Attas dalam karyanya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu tegas mengemukakan pendapat dengan menyatakan bahawa kesenian itu merupakan salah satu sifat dalam mencirikan tamadun, namun, pandangan hidup yang berdasarkan kesenian semata-semata adalah kebudayaan estetik, kebudayaan klasik yang ternyata menyimpang daripada keutamaan asal; dalam mencirikan sesuatu tamadun itu secara total[1]Bahkan katanya lagi, sejarah telah mengajar manusia bahawa semakin indah dan rumit gaya senirupa, maka semakin menandakan kemerosotan budi dan akal. Lihat sahaja Acropolis Yunani, Persepolis Iran, dan piramid-piramid Mesir[2]. Semuanya hanyalah kebobrokan penguasa dalam mengiyakan kekuasaan mereka dengan menggunapakai tenaga massa yang ditindas. 

Atau lebih jelas dan mudah untuk kita bayangkan pada saat dan tempat kita ini, mampukah kita berbangga akan masjid-masjid yang sekarang ini giat (baca: gila) dibina? Ataupun keindahan puisi-puisi cinta muda yang sekarang ini giat dicetak? Atau cerita-cerita cinta novel yang kini galak sekali diterbitkan bersama skrip-skrip sama namun diolah dalam gaya berbeza; antaranya perogol insaf yang bercinta, bahkan berkahwin dengan gadis dirogolnya? Yang seolah-olah sepertinya penekanan akan unsur insaf itu lebih mengesankan dan sekaligus menenggelamkan nilai keji yang ada pada perilaku rogol itu sendiri.

Tidak dinafikan penulisan-penulisan berbentuk puisi ini sememangnya merupakan salah satu aspek atau ciri yang ada dalam mengkayakan khazanah kesusasteraan masyarakat, akan tetapi tidak cukup jika ia hanya dinilai melalui keindahan tatabahasa persajakan daripada segi rima, bunyi, jalan cerita atau pemuasan rasa manusia semata-mata sahaja tanpa mengaitkan pemerian sesuatu nilai, erti atau ilmu.

Walaubagaimanapun, bukanlah ini umpama penolakan secara total terhadap puisi-puisi sebegini sebagaimana ia bukanlah pula suatu tindakan yang wajar seperti yang pernah dilakukan sekelompok intelektual Republik Iran suatu masa dahulu yang berpendapat bahawa feudalisme serta situasi dalaman dan luaran tidak bertanggungjawab kepada penderitaan yang dialami rakyat mereka, sebaliknya ia berpunca daripada cara penyajak mendeskripsikan subjek yang mereka sayangi[3]. Gambaran daripada mereka itu seolah-olah membayangkan masyarakat sekeliling mereka tidak memberikan tumpuan terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka kerana minda mereka hanya difokuskan kepada lirik, sajak dan sastera yang membunuh jiwa penentangan pada kezaliman dalam diri mereka dengan kesedihan dan sifat pasrah hasil daripada deskripsi penyajak-penyajak mereka terutamanya Hafez akan perasaan mereka atas nama seni.

Ini pula bukanlah suatu yang diketengahkan oleh penulis, bahkan idea penolakan total terhadap unsur-unsur sastera cinta lembik dan romantik, ataupun prosa-prosa cinta, bahkan filem-filem atau drama-drama cinta yang sekarang ini lebat sekali dipertontonkan sekarang ini bukanlah suatu jalan penyelesaian yang tuntas. Peralihan tumpuan ke arah dasar atau sebab utama dalam menyelesaikan masalah masyarakat lebih perlu, dan lambakan karya-karya picisan bukanlah sesuatu yang wajar kita ketengahkan sebagai punca utama. Korupsi pengusa, barangkali itu lebih jujur dipertelingkahkan. 

Peranan Golongan Celik

Kita sering disajikan satu maklumat ini; bahawa Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) merupakan seorang yang buta huruf. Namun, jarang sekali kita disyarahkan atau ditafsirkan mengenai pemilihan baginda menjadi Nabi walaupun beliau merupakan seorang yang buta huruf. Mengapa Allah tidak memilih sosok-sosok intelektual menjadi Nabi? Ataupun sosok-sosok sasterawan, atau mengapa sahaja sosok-sosok saudagar-saudagar kaya, bangsawan-bangsawan Arab juga tidak sahaja dipilih?

Sebagaimana yang kita tahu, bangsa Arab sebelum datangnya Islam kaya dengan sosok-sosok sebegini walaupun zaman itu dikenali sebagai zaman gelap bagi mereka. Kita lihat sahaja karya-karya Tujuh yang Tergantung (السبعة المعلقات) di dinding-dinding Kaabah. Pujangga-pujangga mereka, antaranya Imru ibn Al-Qais, Zuhair ibn Abi Sulma dan lain-lainnya, maka sedia kita tahu kehebatan mereka dalam penciptaan syair-syair yang hebat.

Ataupun kita teliti sahaja ilmu-ilmu yang ada pada zaman mereka, antaranya ilmu nasab atau ilmu keturunan, yang cabangnya banyak sekali hingga tingkat nasab (keturunan) itu sahaja mereka bahagikan hingga enam bahagian. Dimulakan dengan 'Sha'ab', diikuti 'Kabilah', 'Imarah', 'Bathn', 'Fakhz', dan 'Fusailah'[4]Kita telaah juga karya-karya mereka dalam ilmu kaji bintang (falak), yang mana mereka ketahui dan pelajari untuk mengetahui musim berbuahnya kurma supaya mereka dapat tentukan bilamana mereka sepatutnya berangkat ke Sham dan Thaif. Sungai ilmu falak mereka ini juga kaya sekali dengan istilah-istilah seperti 'Hamal', 'Seer' 'Sunbulah', 'Mizan', 'Aqrab' dan sebagainya yang menceritakan perihal bintang utara dan bintang-bintang selatan[5].

Bahkan menurut HAMKA, dalam karyanya Sejarah Umat Islam, dikatakan bahawa masyarakat Arab ini juga pakar dalam ilmu menjejak, terutamanya dalam menjejak sumber air (kerana habitat kehidupan mereka yang kurang sumber air) hingga mereka mampu menyisihkan awan mana yang akan menurunkan hujan dan mana yang akan pecah tidak menurunkan hujan!

Suka sekali penulis titipkan idea Ali Shariati yang mencirikan perihal ini dengan lebih menekankan esensi daripada pemilihan Nabi Muhammad (selawat dan salam keatasnya) tersebut dengan mengatakan bahawa[6]

Golongan Nabi tidak boleh diletakkan dalam kategori yang sama dengan ahli falsafah, para saintis, pakar sesuatu teknik, bahkan artis. Para Nabi selalunya wujud dari kalangan golongan massa dan boleh berkomunikasi dengan rakyat umum dalam memperkenalkan moto baru, memberi visi baru, memulakan pergerakan baru, dan memberi tenaga baru dalam kesedaran rakyat dalam era yang mereka hidup.  
Kata beliau lagi dalam mencirikan perihal ini[7]
Para Nabi tidak tergolong dalam kategori saintis atau ahli falsafah yang hidup pada zaman lama. Mereka tergolong dalam ketegori yang unik sekali. Mereka tidak tergolong dalam rakyat biasa yang merupakan produk serta hamba kepada tradisi dan struktur sosial lama.  Mereka juga tidak tergolong dalam komuniti saintis, ahli falsafah, para mistik, dan pemimpin agama yang merupakan hamba kepada konsep abstrak dan hidup mereka penuh dengan penemuan dan penerokaan saintifik.
Ali Syariati mengatakan bahawa ini adalah konsep pemikir 'celik'. Beliau mengenengahkan konsep pemikir celik atau (enlightened souls) yang merupakan ciri yang ada pada Nabi tidak semestinya bermula dan merujuk kepada mereka yang mempunyai pendidikan, golongan bangsawan mahupun para pujangga semata-mata, tetapi golongan celik ini adalah mereka yang menyedari dan arif mengenai situasi sosial manusia yang sebenarnya pada masa kini dan masa lampau dan mempunyai tanggungjawab sosial[8]. Dan golongan celik inilah yang memikul tugas para Nabi dalam menyelesaikan masalah-masalah kemasyarakatan sekaligus memperbaharui dan mereformasi kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik.  

Tidaklah kita nafikan sumbangan golongan-golongan falsafah, intelektual dan artis-artis kepada masyarakat, mereka juga berupaya dalam membidankan kelahiran-kelahiran golongan celik ini, namun peran utama golongan celik dalam menghidupkan dan menggerakkan enjin reformasi ternyata lebih utama dalam mengubah struktur sosial masyarakat .

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa Rasul bukanlah suatu faktor fundamental[9] dalam menentukan perubahan sesuatu masyarakat menurut Ali Syariati kerana Rasul hanyalah sebagai pemberitahu dan penyampai akan risalah, manakala massa atau masyarakat yang disampaikan kepada mereka risalah itu sendiri yang menjadi faktor utama dalam menerima atau menolak risalah tersebut. Mengenai perihal penerimaan dan penolakan sesuatu kaum itu terhadap risalah yang disampaikan oleh para Rasul ada diceriterakan dalam Al-Quran itu sendiri.

Firman Allah S.W.T :
Allah membuat suatu perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaat) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukminselagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya) iaitu : perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut. Mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh daripada kalangan hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati). Tetapi mereka berdua telah mengkhianati suami masing-masing. Maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka daripada azab Allah. (Sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada Hari Pembalasan): Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang yang masuk (ke dalamnya). (Al-Faathir : 10)

Perkara ini juga dibuktikan dengan perihal bapa saudara Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) iaitu Abu Talib[10] yang sangat menghairankan. Kita sedia tahu bahawa beliau merupakan antara bapa saudaranya yang paling kuat mempertahankannya dalam menghadapi tindakan jahat musuh ketika Baginda dibangkitkan menjadi Nabi, juga ketika mana Baginda mulai menzahirkan dakwah dan memberikan amaran kepada keluarga yang terdekat. Namun kesudahannya tetap tidak menerima agama Islam dan berpegang kepada ajaran nenek-moyangnya.

Berbalik kepada golongan celik, sama seperti para Nabi, golongan celik ini tidak semestinya terdiri daripada pemikir-pemikir kelas-kelas tinggi, golongan celik ini adalah mereka yang memahami masalah sosial dan memiliki rasa tanggungjawab sosial dalam menyelesaikan masalah-masalah yang melanda masyarakat sekaligus berusaha untuk mentransformasi masyarakat mengikut acuan dan kerangka Al-Quran dan Sunnah itu sendiri.

Idea ini jelas membuktikan bahawa tidak cukup jika seseorang ataupun sesuatu komuniti ilmuwan tersebut hanya pandai berfalsafi sesama sendiri, berbicara isu-isu ghaibiyyat yang tidak habis dibicarakan, ataupun hanya asyik ber'ya hanana' tanpa membicarakan isu-isu penderitaan masyarakat sekeliling.

Romantisis Golongan Agama

Agama Islam adalah agama yang menyeru umatnya meningkatkan daya produktiviti, menggalakkan umatnya mencapai kemuliaan, ketinggian dan keagungan di antara bangsa-bangsa lain[11]. Islam bukanlah sekadar agama ritual yang mengajak umatnya mengasingkan diri semata-mata tanpa memikirkan perihal masyarakat sekeliling atas nama zuhud dan tasauf.

Memanglah benar jika kita katakan bahawa tasauf itu intipati seseorang Muslim, namun jika dilihat daripada sejarah para sahabat, mereka juga tepu dengan jiwa tasauf mereka akan tetapi mereka tidak memakaikan pakaian sufi ke atas badan mereka. Mereka pejuang, peniaga, pedagang, mujahidin, pemerintah dan sebagainya, namun intipati kesufian itu mereka pegang sebenar-benarnya. Harta tidak pernah lekat di jiwa mereka, kehilangannya tidak memberikan apa-apa kesan, bahkan lapar dalam berjuang itu umpama perkara biasa bagi mereka. Mereka tidak perlu bergelar sang sufi, mereka juga tidak beruzlah meninggalkan masyarakat, hanya khayal dalam zikir mereka sendiri. Dan apakah kita harus mengabaikan fakta ini bilamana tidak ada pada zaman ini nama-nama yang lebih mulia daripada nama sahabat-sahabat Rasulullah melainkan Rasulullah itu sendiri?

Islam juga bukanlah sekadar agama yang menceritakan perihal cinta antara jantina semata-mata. Kita sudah dirisaukan dengan lambakan puisi-puisi, prosa-prosa yang mengghairahkan, mengkhayalkan golongan muda atas nama seni, kita tidak perlu akan lambakan khayalan cinta Islamik pula yang mana tapaknya lebih bahaya kerana bersandarkan atas nama agama. Cinta itu fitrah, namun kehidupan tidaklah semestinya berkisarkan cinta semata-mata. Tahap ketinggian Islam tidaklah dinilai melalui peringkat perkahwinan sahaja sebagai peringkat tertinggi, kerana Islam lebih daripada itu. 

Islam bukanlah agama yang mengajarkan umatnya lembik berfitrah, Islam merupakan agama yang kaya dengan tanggungjawab sosial, kaya dengan penyeluruhan dalam meraih dan meningkatkan ilmu dan taraf hidup masyarakat.

Akhir kata, ingin sekali selitkan sepotong puisi[12] untuk para pembaca sempena penderitaan hidup kita supaya enjin kesedaran dan pencerahan itu kita sama gerakkan, kerana kita tidak cukup sekadar redha. Kerana zuhud kita tidak lekang daripada penentangan terhadap kezaliman.

Nonton Harga

ayo keluar keliling kota
tak perlu ongkos tak perlu biaya
masuk toko perbelanjaan tingkat lima
tak beli tak apa
lihat-lihat saja

kalau pingin durian
apel-pisang-rambutan-anggur

ayo…
kita bisa mencium baunya
mengumbar hidung cuma-cuma
tak perlu ongkos tak perlu biaya
di kota kita
buah macam apa
asal mana saja
ada

kalau pingin lihat orang cantik
di kota kita banyak gedung bioskop
kita bisa nonton posternya
atau ke diskotik
di depan pintu
kau boleh mengumbar telinga cuma-cuma
mendengarkan detak musik
denting botol
lengking dan tawa
bisa juga kau nikmati
aroma minyak wangi luar negeri
cuma-cuma
aromanya saja

ayo…
kita keliling kota
hari ini ada peresmian hotel baru
berbintang lima
dibuka pejabat tinggi
dihadiri artis-artis ternama ibukota
lihat
mobil para tamu berderet-deret
satu kilometer panjangnya

kota kita memang makin megah dan kaya

tapi hari sudah malam
ayo kita pulang
 ke rumah kontrakan
sebelum kehabisan kendaraan

ayo kita pulang
ke rumah kontrakan
tidur berderet-deret
seperti ikan tangkapan
siap dijual di pelelangan

besok pagi
kita ke pabrik
kembali bekerja
sarapan nasi bungkus
ngutang
seperti biasa

Wiji Thukul, 18 November 1996






[1] Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Angkatan Belia Islam Malaysia, Kuala Lumpur, cetakan keenam (1999), hlm 18-19.
[2] Ibid, ms 19.
[3] Ali Shariati, Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner, Citizens International, Pulau Pinang, hlm 28.
[4] HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), Sejarah Umat Islam, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, cetakan ketiga (1980) hlm 50-51.
[5] Ibid, ms 50-51.
[6] Ali Shariati, Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner, Citizens International, Pulau Pinang, hlm 11.
[7]  Ibid, ms 11.
[8] Ibid, ms 10.
[9] Ali Syariati, Tentang Sosiologi Islam (Himpunan Ceramah Ali Syariati), Ananda, Yogyakarta, cetakan pertama (1982), hlm 52-53.
[10]  Sheikh Muhammad Al-Ghazali, Fiqh Sirah, Jilid 1, Prospecta Printers, Kuala Lumpur, cetakan pertama (2010) hlm 215.
[11] HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah),  Tasauf Moden, Darul Nu'man, Kuala Lumpur, cetakan keempat (2001), hlm 5.
[12] Wiji Thukul, Aku Ingin Jadi Peluru, Versi PDF, hlm 69.