Jangok.

Antara perkataan-perkataan yang wujud dalam percakapan orang Terengganu yang paling saya suka adalah 'jangok'. Jangok ini bermaksud melawa, bergaya, berfesyen dan sebagainya yang sesuai.

"Jangoknye mung hari ning!"

"Jangok sangat mung ning macam ge polis Batu Rakit!"

Itu antara contoh-contoh ayat yang ada, sesuai untuk perkataan jangok.

Sewaktu saya kecil-kecil dahulu, saya suka benar menyikat rambut belah tepi. Sekali imbas, mungkin ada yang menyamakan saya seperti Hitler versi mini. Dengan kemejanya yang dibutang sehingga ke atas, rambut disikat belah tepi, beserta dengan pipi yang putih melepak disapu bedak oleh ibu saya.

Ya, saya suka berjangok.

Tapi jangok saya sekarang sudah hilang. Bila sahaja meningkat dewasa, semangat untuk berjangok semakin hilang. Semakin lama semakin selekeh, semakin lama semakin kurang jangoknya. Baju yang dipakai biasa-biasa sahaja.

Kata bapak saya, "Jangok-jangok tapi takdok pitih buat mende."

Saya fikir, urusan jangok saya nanti biarlah bakal isteri saya yang uruskan. Itupun kalau ada perempuan yang berkehendakkan.

Teringat kata Buya HAMKA :

"Badan yang besar dan gagah, pakaian yang perlente dan mahal, tetapi kosong daripada ilmu adalah laksana guni (karung) besar tertegak sedang isinya hanya debu. Ilmu yang dalam, fikiran yang lanjut tetapi badan yang sakit-sakit adalah laksana lilin menyala. Orang lain dierinya terang, sedang dirinya terbakar."


No comments:

Post a Comment