Lelaki Yang Hebat.

Bertumbuk dengan orang ramai, namun tidak pernah sebiji sampai ke tubuhnya. Itu memang rare. Ada yang berfikir bahawa memang dirinya lincah dan tangkas, sukar untuk dirapati apatah lagi mahu ditumbuk atau ditangkap. Bayangkan, lapan hingga sepuluh orang masih tidak mampu mengincarnya, bahkan kesemuanya pengsan dibelasahnya kembali. Ini memang petanda dan alamat bahawa dia memang tangkas dalam bertumbuk.

Itu sebahagian sejarah hidupnya dalam bertumbuk, tidak kita kisahkan lagi sejarahnya dalam bercinta. Bertumbuk pun hebat, bercinta pun hebat. Walaupun tampak keras, baik daripada segi tubuhnya yang sasa, dadanya yang bidang ataupun hatinya yang jitu dalam berhadapan musuh yang ramai, namun pada sebahagian jiwanya yang rebel  itu, masih ada sekelumit rasa cinta terhadap pasangannya. Ini adalah seorang pencinta wanita yang cukup sifat. Sasa, kuat, pandai bertumbuk, dan romantis. Airmatanya bisa tumpah pada mana-mana keadaan.

Pencinta yang mungkin digilai ramai wanita, mampu menjadi pelindung, mampu menjadi perindu, mampu menjadi penyayang. Cukup berkualiti!

Kalau kita cuba telusuri nilai dan kualiti moralnya pula, ah, tidakkan kalah dengan lelaki-lelaki lain. Pemikiran dan fikrahnya dalam menentukan yang mana baik dan yang mana buruk amat  hebat dan berkualiti. Dialah yang tangkas bertumbuk, dia juga yang baik budi bahasanya, santun gayanya, dan lemah lembut bicaranya. Yang lemah akan dia lindungi, yang zalim akan dia tentang, yang korup pasti akan dia lawan. Dia bagaikan pejuang keadilan.

Walaubagaimanapun, dalam kekaguman kita terhadapnya, ataupun dalam asyik impian kita ingin menjadi sepertinya, perlulah kita ingat, manusia ini tidaklah sempurna. Dia ini pun ada kurangnya. Kita perlu sedari hakikat itu dan kita mesti menerimanya. Kita manusia, kita tidak sempurna. Dia juga manusia, dia juga tidak sempurna.

Dan dia hanyalah seorang pelakon, pelakon cerita Tamil.




2 comments:

AdinataGus said...

Sehebat mana hero di atas,berlakon juga ceritanya.Hehe.

Mat Pih said...

Manusia punya topeng

Post a Comment