Mengaji.

Bagi penduduk Terengganu, 'mengaji' merupakan suatu perkataan yang memberi maksud yang pelbagai. Makna dari segi bahasanya adalah mengaji Al-Quran. Perkataan ini ada juga digunakan untuk memberi maksud belajar atau menuntut ilmu.

"Doh guane gamok doh mung lening?"
Apa khabar engkau sekarang?

"Ambe mengaji pondok lening."
Saya belajar di pondok sekarang.

Ceritanya, saya sewaktu kecil, saya mengaji Al-Quran dengan guru mengaji saya yang dipanggil Chik Mang. Arwah merupakan seorang guru mengaji yang oleh saya kategorikan sebagai tegas. Kalau mengajinya tidak lancar, maka tidak akan dialih hari itu kepada mukasurat baru. Selagi tidak lancar di muka surat itu, selagi itulah anda berada di takuk yang sama.

Itu mengaji di waktu pagi.

Waktu malamnya, saya berguru dengan abang kepada arwah Chik Mang. Beliau dikenali dengan Pok Teh Kor. Siang dengan adiknya, malam dengan abangnya. Itu adalah antara rutin harian saya dalam mengaji hingga tamat semuanya.

Ini cerita mengaji Al-Quran.

Lain pula dengan cerita mengaji dari segi menuntut ilmu. Ustaz saya bilang dalam kelasnya semalam, kalau anda pelajar Bahasa Arab belajar semata-mata kerana inginkan kerja, berhentilah belajar, meniaga lagi bagus. Ustaz saya ini orang Kedah, kata-katanya lembut, tapi isinya tepat menikam kalbu. Bunyinya ada macam begini :

"Kita belajaq bahasa Arab sebab nak tuntut keredhaan Allah, bukan carik duit. Hangpa kalau belajaq Bahasa Arab semata-mata nak kerja, nak carik duit, baik hangpa berenti jugak la ni, hangpa juai aiskrim lagi baguih. Satu tong dapat 75 ringgit. Dua tong dapat 150 ringgit satu hari."

Saya ingat-ingatkan balik, dahulunya saya tidak tahu sebab apa saya belajar. Saya hanya sepertinya menurut perintah emak dan bapak. Dibilangnya pergi ke sekolah, saya pergi, masuk universiti, saya masuk. Saya kosong.

Sekarang saya tahu.



3 comments:

fasihahhanum said...

'hangpa berenti jugak la ni' atau 'hangpa berenti la ni jugak'...hehe :)

Mat Pih said...

Ambe pun x ingat doh.. x sempat salin.. hihi..

fasihahhanum said...

:) mengaji bagi org kedah pun bwa maksud belajar @ mengaji Quran..

Post a Comment