Lelaki A: Cut to the chase, dunia ini, dalam dunia ini, apa ada perkara yang selalu kau fikirkan? Aku bosan kita diam tanpa topik.
Lelaki B: Politik, mungkin. Aku merasakan politik adalah suatu benda yang tidak dapat aku endahkan. Barangkali kita akan bercakap mengenainya sehingga kita mati.
Lelaki A: Mungkin. Bapak aku sudah menjangkau umur enam puluh tahun, dia masih petah berbicara mengenai politik.
Lelaki B: (Ketawa).
Lelaki A: Bagaimana dengan agama?
Lelaki B: Agama?
Lelaki A: Iya, agama.
Lelaki B: Kenapa dengan agama?
Lelaki A: Entah, aku lihat terma Islamis begitu masyhur di kalangan masyarakat kita ini.
Lelaki B: Apa engkau Islamis?
Lelaki A: Iya, sudah tentu aku Islamis.
Lelaki B: Bagaimana engkau mengukur engkau itu Islamis? Apakah ada kayu ukurnya? (Tersenyum)
Lelaki A: Apa kau mahu jawapan? Senyummu membuatkan aku menyangkakan soalanmu retorikal.
Lelaki B: Apa retorikal itu tidak layak dijawab?
Lelaki A: (Tersenyum) Tenang, biar aku jawab.
Lelaki B: Aku tenang, cuma hari ini agak panas. Mungkin aku menjadi buru-buru.
Lelaki A: Islamis ya. Kayu ukurnya, hmm, shahadah barangkali?
Lelaki B: Apa kamu menyoalku kembali?
Lelaki A: Tidak, aku yakin, kayu ukurnya yang pertama itu shahadah.
Lelaki B: Seperti muslim?
Lelaki A: Iya, seperti muslim.
Lelaki B: Kalau begitu, apa bezanya muslim dan Islamis?
Lelaki A: Apakah ada beza keduanya?
Lelaki B: Sudah tentu! Apa kau memanggil pinggan itu dengan nama pinggan?
Lelaki A: Benar.
Lelaki B: Bagaimana dengan sudu, apa kau namakannya sudu atau pinggan?
Lelaki A: Sudu.
Lelaki B: Jadi muslim dan Islamis itu berbeza.
Lelaki A: Rasionalnya di mana kawan?
Lelaki B: Iya, namanya berbeza antara satu sama lain. Seperti sudu dan pinggan, mereka diisi esensi berbeza.
Lelaki A: Habis itu, apa itu Islamis?
Lelaki B: Kau tanyakan aku?
Lelaki A: Iya, apa itu Islamis?
Lelaki B: Entah.
Lelaki A: Pendapatmu, jangan terlampau kecil kawan.
Lelaki B: Barangkali Islamis itu mereka yang mengangkat nilai Islam.
Lelaki A: Seperti?
Lelaki B: Karen Armstrong.
Lelaki A: Tapi dia bukan Muslim bukan?
Lelaki B: Sudu dan pinggan, sudu dan pinggan.
Lelaki A: (Ketawa). Maaf, aku lupa.
Lelaki B: Muslim atau tidak, dia Islamis. Dia mengangkat nilai yang ada dalam Islam untuk dipersembahkan kepada masyarakat.
Lelaki A: Tetapi sebahagian pendapatnya tidak menyetujui Islam. Islamis, tetapi bukan purist.
Lelaki B: Apa ada Islamis purist? (Ketawa)
Lelaki A: Mereka yang mengucapkan kalimah syahadah, mengangkat nilai Islam dan memperjuangkannya.
Lelaki B: Kalau begitu, kita ini semua Islamis purist.
Lelaki A: Benar.
Lelaki B: Tetapi aku tidak menerimanya.
Lelaki A: Kenapa?
Lelaki B: Kerana cara kita memperjuangkannya, nilai yang diangkat kita, ada bedanya.
Lelaki A: Contoh?
Lelaki B: Engkau partisan?
Lelaki A: Tidak, aku menilai mengikut kacamataku sendiri.
Lelaki B: Apa bagimu kerajaan Islam itu dengan hudud?
Lelaki A: At a certain degree, yes.
Lelaki B: Tetapi ada yang melihatnya tidak.
Lelaki A: Contoh?
Lelaki B: Tadbir urus kerajaan yang baik, ketelusan pemerintah, tanggungjawab sosial, maslahat rakyat, itu pendapat sebahagian yang lain. Kata mereka Islamnya di situ. Apa mereka terkeluar daripada Islamis purist?
Lelaki A: Apa maksudmu kawan?
Lelaki B: Yang aku maksudkan, kita ini ada perbezaannya. Islamis purist menurutmu itu jadinya terdapat perbedaan.
Lelaki A: Perbedaan yang kecil. Mungkin tidak mengapa.
Lelaki B: Kalau begitu, aku tanyakan engkau soalan yang sama, apa Islamis purist dan Muslim itu ada bezanya?
Lelaki A: Sudah tentu.
Lelaki B: Di mana?
Lelaki A: Dari segi penamaan. (Ketawa)
Lelaki B: Apa kata kita perkenalkan diri kita ini sebagai Muslim sahaja. Aku sudah cukup muak dengan Shiah, Sunni, Muktazilah, Brelvi, Salafi, Ashairi, Maturidi, dan sebagainya. Islamis, Islamis purist itu bakal memenuhkan almari.
Lelaki A: Ok, ok. Jangan emosional. (Tersenyum).