Padang Kuning

Peganglah kelopak tulip itu
Lewati juga langkah kakimu
di padang kuning itu.

Rasakan juga benih-benih kecil
pasir-pasir sekeliling
menusuk halus tapak kakimu.

Ramaskan
Serta larikan
Kerahkan kudrat jemarimu,
merasai alam.

Helakan nafasmu
bersama hembusan
padang kuning itu

Biarkannya hening
sebentar
kerana kamu sebelumnya
terlalu khayal
dibuai artifisial.

Muram Durja

Sewaktu saya menulis rentasan kecil daripada kehidupan ini, masyarakat Islam sekeliling saya sedang menyambut Ramadhan, bulan yang diwajibkan amalan berpuasa. Waktu ketika rentasan kecil ini ditulis, waktunya malam sekali. Hujan baru sahaja turun di awal senja tadi. Suasana masih lagi dingin, hening dan sunyi. Namun walaubagaimana sekalipun suasana itu berubah, mungkin daripada dingin malam ini kepada hangat, keadaan saya masih sama. Saya masih lagi muram dan saya merasakan ada sebahagian kecil daripada umat manusia di luar sana selain daripada saya yang ikut muram. Bukanlah muram ini menjadi akhlak keseluruhan kepada kehidupan saya atau cara saya bersama masyarakat dalam berbasa-basi atau representasi diri, tetapi ia hanyalah sebagai satu ciri yang agak dominan dalam hidup saya sehari-harian. Begitu juga bagi sebahagian kecil manusia yang berkarakter sebegini, mereka tidaklah senantiasa muram, cuma mereka; boleh saya katakan, mereka memakai topeng kegembiraan di hadapan manusia lainnya dan apabila mereka kembali bersendirian, mereka meluruhkan keseluruhan topeng tersebut, dan menilik cermin mencari di mana silap kehidupan mereka. 

Mencari di mana punca kemuraman. 

Ada yang berkata, kesunyian itu yang menyebabkan kita muram. Kita tidak ada sesiapa untuk berkongsi dan tidak juga mempunyai bahu untuk bersandar. Seolah-olah dunia ini terlalu luas untuk kita bernafas, kita lemas dalam jutaan manusia lain yang cuba melompat-lompat menggapai udara untuk menggerakkan paru-paru mereka bernafas dan akhirnya, kita merasakan kita ini sebenarnya tidak mampu bertanding mendomba diri kita yang kecil ini untuk melawan manusia-manusia alpha lainnya. Maka dengan sebab itu, kita bisa sahaja menyerah daripada cuba melawan, dan kita akur dengan perjalanan hidup kita. Namun, apabila perjalanan hidup kita tidak mengikut aras kegembiraan kita, kita merasa sedih dan gelisah, dan ditambah dengan kesunyian yang kita ada, kegelisahan dan kesedihan itu tidak mampu kita salurkan kepada siapa-siapa. Kita akhirnya bermuram sendirian. Kemuraman itu kita akhirnya memegangnya sungguh-sungguh, hingga kita merasakan bahawa muram itu adalah kehidupan kita yang sebenar.

Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu.

Pernah juga saya merasa, dalam proses perlawanan kita untuk menggapai apa yang kita hajatkan dalam segerombolan ramai manusia, saya diserang rasa gemuruh. Jantung saya berdetak kencang seolah-olah saya berhadapan dengan seekor raksasa gergasi yang cuba untuk memakan saya sedikit demi sedikit. Tetapi saya selalu dan biasanya tidak ketahuan, apakah representasi fizikal raksasa gergasi yang saya takuti itu secara realitinya. Dan inilah yang mendorong saya untuk berfikir dengan lebih dalam, apakah ketidaktahuan saya itu sendirilah yang menampakkan dirinya sebagai raksasa gergasi atau masih ada entiti-entiti lain seperti nasib, masa depan atau rezeki yang ada dialami oleh saya tanpa saya mengetahui apakah ia itulah representasi kepada raksasa gergasi?

Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu. 

Pernah juga saya dikhabarkan oleh seorang rakan, kemungkinan ketidakupayaan kita menggapai sesuatu yang kita hajatkan berbanding kitaran manusia lain di sekeliling kita itulah yang menyebabkan kita muram. Saya cuba contohkan, ia seperti usaha menggapai entiti-entiti kosong yang dianggap kejayaan untuk dunia kita ini, berpindah daripada satu kejayaan kepada kejayaan lain seperti peralihan abjad daripada A kepada B kepada C dan seterusnya sehingga kepada Z atau bahkan infiniti. Dan bagi rakan saya, kegagalan dalam mencapai usaha ini merupakan puncak utama kepada gunung kemuraman. Namun, bagi saya, kitaran ini dilalui semua manusia, dan saya tidak merasakan ia merupakan masalah atau punca kepada muram kerana tidaklah dikatakan seseorang itu jahat atau bodoh apabila dia cuba untuk memperbaiki nasib kehidupan mereka atau cuba untuk mengangkat strata kehidupan mereka daripada masyarakat marginalis kepada masyarakat aristokratis. Apakah ia salah?

Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu.

Tetapi, ada juga benarnya apa yang dikhabarkan kawan saya ini kerana apabila kita melihat kepada percubaan-percubaan manusia dalam usaha mereka ini, kita biasanya mampu melihat hasilnya biasanya akan terbahagi kepada dua, iaitu gagal dan berjaya. Saya tidaklah cuba menampilkan usaha ini kepada bentuk binari hitam dan putih sahaja, yakni gagal dan berjaya sahaja, saya tahu, di antara dua ini ada sesuatu yang berwarna kelabu campuran hitam dan putih yang saya rasakan berada di antara lipatan gagal dan berjaya. Mungkin boleh kita namakan sebagai sedang-sedang, tidaklah gagal dan tidaklah berjaya. Tetapi, dua bentuk hasil ini merupakan yang paling dominan, kerana dalam seseorang itu berusaha, apabila dia tidak mencapai target yang diinginkan, walaupun mulutnya berkata itu adalah sedang-sedang, atau sudah cukup, dia sebenarnya sudah gagal. Cubalah sahaja kita pusingkan ia bagaimana sekalipun, jika kita tidak mampu membidik tepat kepada sasaran yang kita hajatkan, kita itu sebenarnya gagal. Namun, maafkan saya, saya masih lagi tidak berani mengatakan apa yang saya katakan ini tepat belaka.

Kerana saya tidak tahu dan tidak berminat untuk tahu.

Daripada dua hasil ini, saya simpulkan, ia menjadi punca kepada kemuraman. Jika seseorang itu gagal memperolehi apa yang diinginkan, ada yang menghala kepada kemuraman, ada yang sebahagiannya yang berhati kuat, tidaklah menghalakan dirinya kepada arah muram durja, bahkan menganggapnya sebagai motivasi penguat diri. Itu bagi saya, perkara normal yang tidak perlu diperbahaskan dengan lebih lanjut. Itu juga apa yang diperbahsakan rakan saya. Namun, yang sudi saya bangkitkan sebagai persoalan, atau apa yang biasanya saya hairankan, kenapa masih ada yang sudah memperolehi kejayaan itu masih lagi bersifat muram? Sedangkan jika dibandingkan dirinya dengan yang gagal, dia jauh lagi terkehadapan dan berjaya. Namun masih lagi dia muram dan tidak merasa cukup.

Mungkin ini saya tahu, dan saya berminat untuk tahu. 

Tetapi apa yang saya tahu biarkan lah dalulu kerana barangkali esok dan lusa saya bertemu rentasan-rentasan hidup manusia lain yang sudi membicarakan perihal ini. Biarkan sahaja hari-hari membongkar segala ketidaktahuan saya ini kerana saya sudah malas untuk menulis. Saya ingin baring sebentar bersama ketidaktahuan.

Kerana ketidaktahuan itu kadang-kadang mengangkat kita jauh daripada muram.

Pemuda-Pemuda Keresahan

Sebagai seorang pemuda yang masih lagi bersari dengan kepemudaannya, sering sahaja saya ini tertanya-tanya, kepemudaan seseorang itu sebenarnya tertakluk kepada penaklukan apa? 

Ada yang berkata muda-muda itulah puncak segala kegilaan; ada yang ditimpa kegilaan dalam mencari dan menakluk rezeki atau lebihan dagang, atau juga ada yang berkata kegilaan dalam kepemudaan itu adalah kepayang dalam buku-bukunya atau bersimpuh dengan guru-gurunya dalam mencari arak ilmu, atau sahaja mungkin kepemudaan itu adalah usaha penaklukan sebuah entiti kebebasan; bertegang urat marih menjerit menginginkannya daripada sesebuah sosok kezaliman, atau barangkali mungkin sahaja kepemudaan itu adalah anti-penaklukan; pemuda yang kegilaan dalam keengganannya menjadi bebal menurut manusia lain, seperti pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang dipaparkan berontak kepada sebuah kerajaan di  zamannya. 

Jadi soalannya, kita ini pemuda yang gila mencari apa?

Saya senang sekali apabila berhadapan dengan pemuda-pemuda yang kegilaan seperti saya. Resah dan gelisah, mereka inginkan suatu kata penamat kepada ketidaktenteraman jiwa mereka. Mereka tidak menganggap dunia ini sebagai tempat untuk mereka bahagia. Bahkan perkataan dunia (Arab: dunyā) itu menurut bahasa rasmi agama kita, bahasa Arab, adalah satu kalimah yang mencerminkan makna yang terbawah, hasil daripada kata kerja adnā (membawah). Maka mustahil suatu tempat yang berada pada peringkat bawah itu mampu memberi kebahagiaan kepada seseorang itu.

Menanggapi dunia ini seolah-olah segalanya, mencintai kehidupan dan lebih banyak menikmati hidupnya itulah yang menjadikan seseorang itu sebenarnya mati dalam dunia ini. Kerana perbuatannya yang terlampau cintakan dunia itu yang mematikannya, bukan selepas ajalnya, bahkan sewaktu dia itu hidup, dia bahkan telah lama mati dengan keasyikan, atau dihinggapi penyakit yang seperti-seperti dengannya atau apa yang Barat bahasakan; conspicuous leisure.

Jadi bagaimana keresahan pemuda-pemuda yang saya senang bersama dengannya?

Keresahan yang saya maksudkan adalah keresahan dalam mencari makna hidup. Bagaimana mencari akan kehidupan itu menghidupkannya? Bagaimana mungkin bezanya pemuda-pemuda ini dengan para pencinta hidup yang saya khabarkan sebelum ini sedangkan kedua-duanya mencari kehidupan? Ada manusia, semakin gemuk dibajai makanan dan nikmat dunia, sebenarnya tidaklah beruntungkan apa-apa melainkan kebodohan. Itulah golongan pertama. Berbeza dengan mereka adalah golongan kedua, pemuda-pemuda yang saya senangi. Mereka mencari makna kehidupan, bukan sekadar hidup materi.

Mereka inilah nanti yang makin kontang jasmani, tetapi tasik rohaninya.

Maka atas dasar begitulah, pemuda-pemuda ini walaupun kurus kontang, mencari makna hidup, semakin digali kehidupan mereka -waktu hidupnya atau walaupun selepas mati- semakin nyata mereka berisi dengan pemaknaan kehidupan, dan semakin berhasil orang-orang sekalian itu berhasil sesuatu makna daripadanya, berbeza sekali dengan yang gemuk materi, apabila mati yang mereka takuti itu tiba, mereka akan habis bersama dengan tulang-tulang dan daging-daging mereka.

Tidak dikenang orang, diingat manusia.


Biri-Biri Abnormal

Jikalau kita merenung kembali keadaan persekitaran kita, kita semestinya perlu berhenti sejenak. Kita harus menatapi segala yang ada di sekeliling kita ini dengan pandangan yang tajam. Walaupun ada sahaja pujanga-pujangga yang berkata, jika kita melihat sesuatu itu dengan terlampau seni, maka kita sebenarnya terlepas pandang sesuatu yang besar. Apakah benar kiranya timbangan itu? Izinkan saya bertongkah arus. 

Saya sebenarnya merasakan pemerhatian itu perlu. Bukanlah gesaan saya ini mengatakan bahawa kita seharusnya terlampau seni dalam sesetiap perkara, atau kata bahasa Baratnya, "too particular with the details,"  tetapi saya cumanya menggesa akan pemerhatian berkisarkan satu soalan; kita ini sebenarnya hidup dipandu apa? Cuba renung-renungkan sebentar, haiwan misalnya, kehidupan mereka dipandu apa? Mereka makan, minum, mengawan, kemudian mereka kembali mengulanginya. Kita ini bagaimana? Kita sebenarnya kiranya dipandu apa? Tidaklah saya maksudkan wahyu atau kalam Allah dan kata-kata suci berintikan wahyu daripada Nabi Mulia Muhammad, kerana itu bagi saya terlampau tipikal bagi seseorang untuk membincangkannya. Perdebatan mengenai agama mana yang lebih baik ini tidak akan pernah habis. Oleh itu saya ini senang sahaja usulkan, berdirilah kamu kepada apa yang kamu percaya. Namun, apabila saya mengusulkan kepada kalian akan pemerhatian, saya cuma sahaja kiranya mengutarakan keperluan kepada kita untuk berhenti sebentar.

Berhenti daripada dibawa arus hidup ini.

Lihat manusia-manusia sekeliling kita yang asyik dengan perkara yang katanya masyhur di telinga-telinga manusia kini, sebut sahaja apa, gadis ini, lelaki ini, makanan ini, orang ini, orang itu, pendek kata apa sahaja perkara-perkara yang dicanang-canang manusia pada ketika ini. Ada yang mencanangkannya di media sosial, ada yang war-warkannya di kedai kopi. Perhatikan mereka, sepertinya ada suatu esensi yang berada di sebalik apa yang mereka bualkan itu satu makna yang sama. 

Apa kata kita berhenti sebentar?

Gambarkan kawanan biri-biri yang berjalan menuju kepada suatu arah, dan kamu berada dalam kawanan biri-biri itu. Kamu mengembek, berkomunikasi sesama biri-biri yang lain. Jika biri-biri A berhenti untuk meragut pucuk ubi di tepi jalan, maka kamu ikut berhenti. Jika biri-biri A mulai berjalan, maka kamu dan bebiri lain mulai ikut berjalan, Namun sedang kamu asyik berjalan, tiba-tiba saya datang berbisik kepada kamu, "Cuba sahaja berhenti sebentar."

Kamu berhenti.

Dan kawanan biri-biri itu makin jauh daripada kamu. Tidak mengapa, jangan kaget, kamu tidak lagi asyik. Di hadapan kamu, terbentang pelbagai jalan. Dunia saya, saya namakan jalan-jalan itu sebagai pilihan.

Janganlah fatalis mengikut kawanan.

Kamu punya empat kerat tenaga, kerahkannya,

Kamu juga punyai seketul daging putih dalam tengkorakmu yang menamakan dirinya sendiri, perahkannya,

Sekali lagi sudi saya ulangi, jangan fatalis mengikut kawanan.



Kepak Rindu

Zanariah, cuba sahaja kau bilang pada aku, apa aku ini gila?"

Hening.

Cepatlah bilang sama aku Zanariah, apa aku gila?"

Keliharan beberapa lubang-lubang kecil pasir itu berbuih-buih sejurus ombak meninggalkan pasir. Buih-buih itu tidak bercampur dengan buih yang lahir daripada air laut itu, ia seolah-olah mandiri, seperti udara yang dihembuskan daripada pasir, ia pecah-pecah seiring dengan angin laut bertiup. Mata Zanariah berkaca. Dia masih lagi diam, masih lagi tajam menancap ke arah Zakaria yang melongo di hadapan laut China Selatan itu. 

"Abang, janganlah abang berbuat begini. Apa kata abang pulang."

Zakaria masih lagi mengomel-ngomel keseorangan. Di tangannya terdapat secebis kain berwarna merah jambu. Kadang-kadang dibawa kain itu ke arah hidungnya kemudian dicium puas-puas. Zanariah hanya mengesat air matanya melihat karenah Zakaria itu. Sesekali dia ikut cium kain yang berada di tangan Zakaria itu. Dia masih lagi cuba memujuk Zakaria, mulutnya tidak berhenti menyuruh Zakaria pulang.

"Abang, pulanglah abang. Janganlah jua berbuat begini. Tidak manis dipandang orang," katanya.

Zakaria kadang-kadang tersenyum ke arah Zanariah duduk. Namun senyumannya itu kosong seolah-olah menembusi Zanariah. Kadang-kadang juga senyumannya dilemparkan ke arah tenggara. Ketika matanya diarahkan ke sana, kelihatan beberapa anak muda sedang duduk-duduk berbual di atas sebuah wakaf kayu. Tiga daripadanya berasap memegang rokok, manakala yang berkopiah tunggal dalam kumpulan itu hanya tersenyum-senyum. Barangkali ada cerita lucu dibualkan mereka. Mata mereka kadang-kadang memandang Zakaria.

"Yah, ada orang khabarkan abang ini sudah ditimpa gila! Biar abang khabarkan kembali kepada Yah, abang ini tidak gila! Yah, dengar ini, abang kira mereka itu yang gila!"

Zanariah mengangguk-angguk. Dia hanya mampu melayan karenah orang yang dicintainya itu dengan cara begitu. Diiyakan sahaja apa yang keluar daripada mulutnya itu. Kerana sayang, Zanariah tidak mahu walau sedikit cuba untuk tidak bersetuju.

"Apa rindu itu gila Yah? Kasi tahu sama abang, apa Yah bersetuju rindu itu gila? Apa orang agama yang katanya sakti itu tidak diajar alam akan rindu? Nabi, Yah, Nabi itu juga rindu! Ya'qub Yah, dia rindu! Dia tahu erti rindu!"

Air mata Zanariah makin berguguran. Pipinya yang putih itu merah-merah, kulit di bahagian sisi matanya berkerut-kerut menahan derita jiwanya mendengarkan kata-kata Zakaria. Angin lembut yang menyapu mukanya itu melarikan lagi air matanya jauh menitis ke atas bahunya. Dia hening sebentar. Menunggu lagi kata-kata Zakaria.

"Yah tahu, semalam hari Senin cukup dua tahun Yah. Abang selongkar almari Ibu, abang tahu, Ibu sorokkannya."

Zanariah memandang lagi wajah lelaki kusut itu. Matanya dikejap, dicuba bersabar supaya tidak menangis. Sesekali diseka pipinya dengan telapak tangan kirinya.

"Kain batik Yah, sudah tidak berbau. Ibu basuhkannya, dua tahun abang selitkannya di bawah bantal tidak berbasuh," kali ini Zakaria sebak-sebak.

"Abang tidak mahu pulang! Yang tinggal hanya kain merah jambu ini. Apa mereka bilang aku gila, aku ini benar gila?! Mereka itu bahkan yang gila!"

Zakaria menangis. Kuat esakannya. Esakan rindu. Zanariah turut menangis. Wajah suaminya itu ditatap dalam. 

"Abang, Zanariah ini ada abang. Abang menangislah. Biarkan mereka khabarkan abang gila." Zanariah cuba memujuk suaminya itu, walau dia tahu benar, pujukannya sia-sia.

Zakaria menarik nafas. Tangisannya dihentikan, diseka air mata jantannya. 

"Aku tidak mahu pulang kepada mereka, benarkan aku pulang kepada kau Yah. Aku janji kali ini tidak mabuk-mabuk."

Zanariah menangis, dia mundur daripada Zakaria. Duka hatinya ketika mabuk Zakaria menggila mulai hadir. Dia bangkit dari tempat duduknya, usaha memujuk Zakaria tidak berhasil. Bukannya Zakaria itu mendengar. Kepaknya mula dibuka, dia kini terbang di angkasa. Sambil menangis dia mengebas-ngebas sayapnya, air mata dari pipi kanannya jatuh ke atas lengan Zakaria. 

Zakaria mendongakkan kepalanya ke langit. Dilihat langit cerah, namun lengamnya basah dengan setitik air.

"Apa mungkin benar aku gila ya, Yah? Langit semacam mentertawakanku."



Tidur yang Panjang.

Hari ini saya baru sahaja bangun daripada tidur yang panjang. Tidur saya itu tidaklah melenakan, tidak juga terhad daripada nyaman, ia seperti separuh-separuh. Sebentar lena, sebentar lagi saya setengah jaga. Tetapi ia masih lagi tidur yang panjang.

Sepuluh minit selepas saya terlelap, barangkali, atau mungkin separuh abad setelah saya terlelap, ini masih barangkali jua, ataupun mungkin sahaja beberapa tahun, atau hari, atau dekad? Maaf, saya tidak dapat kirakan kadarnya secara tepat, kerana saya ini, baru sahaja jaga, jaga daripada tidur yang maha panjang. Kesedaran saya masih lagi malap-malap.

Tetapi jika mahu juga dihitungkan, mungkin tempohnya enam tahun selepas saya tertidur, ia, enam tahun, saya dikejutkan dengan keadaan separuh jaga, daripada mimpi-mimpi yang berupa manis keanak-anakan. Dalam mimpi itu, saya menyukai apa yang anak-anak sukai. Sebut sahaja coklat, gula-gula, bahkan segala yang terang-terang serta yang ada bibit-bibit ceria yang anak-anak gilakan, saya turut gilai. Saya merengek jika saya tidak dapatkannya, saya melompat girang jika saya berhasil memilikinya.

Kemudian mimpi saya ini dikejutkan dengan satu hentakan daripada karakter-karakter dewasa dalam mimpi saya, mereka tukuli saya dengan paku persoalan tentang adanya sesuatu yang mereka gelarkan sebagai Tuhan. Kata mereka, Tuhan ini yang menciptakan kita. Beriman, kata mereka lagi, kita harus, ah, kita mesti.

Saya kemudian separuh jaga buat beberapa dekad hasil daripada kejutan ini. Saya kekal mandiri daripada mimpi untuk beberapa dekad ini, atau tahun, atau abad, saya lupa, kerana tidur saya, tidur yang panjang. Atau barangkali ketidaktahuan saya ini kerna bukan saya ini yang menjadi tukang hitung mimpi yang panjang ini.

Walaubagaimanapun, jaga saya itu tidak lama. Jaga saya itu lelap-lelap sebentar. Jaga saya tidak lama. Tidur saya itu yang panjang, dan dalamnya masih lagi ada mimpi baru yang sedang berjalan. Dan akan berjalan. Tidur saya ini, tidur yang panjang. 

Barangkali saya masih lena ketika menuliskan ini. Perkataan ini mungkin mimpi.  Sudah saya katakan, tidur saya ini, tidur yang panjang. Mungkin lain kali saya akan tuliskan mimpi-mimpi saya yang lain yang hadir dalam lena yang panjang ini. Kerana jika saya jaga sepenuhnya, saya mungkin tidak mampu menulia lagi.

Kerana saya kirakan manusia itu tidur, mereka jaga apabila mereka mati.

Doakan saya jaga kembali. Kerana mimpi berbentuk dewasa ini, sukar untuk saya lari daripadanya.

Sekali lagi, doakan saya jaga. Saya bimbang, tidur saya bukan lagi tidur yang panjang.




Antara Babi dan Pipit.

Waktu dinihari begini biasanya Hanna mulai bangun. Dia bukanlah seorang yang tidak suka bangun lewat pagi, cumanya seperti telah diperangkap penggera jasmani, dia mudah terkejut daripada lenanya. Mungkin kerana terbiasa. Atau mungkin dia sudah lali dengan jadual hidupnya. Bingkas bangun, matanya melilau mencari sesuatu.

"Air, mana air kosong. Oh, ada pun."

Tangannya mencapai air kosong yang separuh berisi dalam sebotol bekas tupperware merah jambu di penjuru katilnya. Disuakan muncung botol itu ke mulutnya lalu diteguknya air itu semahu-mahunya. Dia kemudiannya dengan langkah malas mulai bangun daripada katilnya, tangannya mencapai tuala, kakinya dilangkah longlai ke arah bilik air.

Melihat cermin, matanya menancap tajam memandang sesuatu. Kepalanya beroperasi memikirkan sesuatu. Atau mungkin dia menunggu sesuatu. Malas bermenung panjang, tangan kirinya mulai mencapai berus gigi oren yang tersadai di dalam gelas plastik di sudut kiri sinkinya. Baru sahaja ingin diletakkan pasta gigi, perhatiannya beralih apabila dia terasa gatal di lengan kanannya. Matanya berarah ke lengannya tersebut, dilihatnya tangan kanannya yang bertopangkan sinki sebentar tadi mulai menggelupas, kukunya mulai panjang, bibirnya juga mulai mengeras.

"Awalnya. Belum sempat aku gosok gigi."

Baju tidur labuhnya juga mulai mengembang sedikit demi sedikit, sambil kakinya juga mulai runcing, menggelupas, seterusnya menjadi keras bersisik seperti kaki burung. Berus giginya diletakkan kembali. Dia meluru keluar daripada bilik air dan menuju ke arah tingkap. Baju dan seluar dalamnya dilucutkan. Tingkapnya dibuka. Tangannya yang berkepak dan berbulukan pelepah mulai dikibas-kibas.

Hanna kini terapung-apung; terbang di udara. 

Lima minit terbang di udara, Hanna terasa letih lalu mendarat. Wayar elektrik yang diinjaknya itu memberikannya pemandangan yang luas. Apartmen Sri Idaman itu dapat diterokanya luas-luas. Dilihat dari tingkat tiga kelihatan apartmen Pak Cik Hamid, jiran sebelah rumahnya. Isteri mudanya Markonah dilihat dari tingkap biliknya sedang asyik berhias. Cantik, namun bagi Hanna fesyennya agak ketinggalan. 

Matanya kemudian dialihkan ke arah tingkat dua apartmen. Matanya tajam melihat seseorang yang sedang asyik menyikat rambut di hadapan cermin. Hatinya berdebar melihatkan seseorang itu.

"Bam!" Tiba-tiba bunyi kuat itu mengejutkannya. 

"Engkau dah sembahyang ke belum?" 

Emaknya menjerit dari luar mengetuk-ngetuk pintu bilik. Hanna mulai mencebik. Selimut ditarik menutup mukanya. Tangan dan kakinya didepakan kemudian ditutup, berulang-ulang seperti mencuba terbang.

"Kerja hari-hari macam babi. Baik jadi pipit."

Kakinya meraba-raba betisnya. Masih lagi licin, tidak bersisik. Dia membuka selimutnya, matanya tajam merenung kipas siling biliknya. Perlahan-lahan dirasakan keadaan biliknya membesar. Seperti tenggelam, Hanna seperti sedang menuju ke dalam perut bumi. Kipas biliknya kini hanya mampu dilihat dari pandangan atas, seperti tingkap kecil yang hanya menampakkan kipasnya sebagai pemandangan. Kipasnya juga kemudian nya dilihat bersegmen-segmen, begitu juga keadaan biliknya. Diraba-raba badannya, tangannya dirasakan bertambah. Kakiny a juga dirasakan sedemikian. Empat tangan dan empat kaki, pergerakannya dirasakan pantas sekli. Dia mulai merayap turun daripada katil. Mulutnya kering, dia dahagakan benda yang manis. Ingin ke dapur, dia meluru ke arah pintu bilik.

Dari ruang kecil bawah pintu biliknya, matanya menangkap kaki ibunya yng berada di luar, betul- betul di hadapan pintu biliknya. Dia merangkak keluar melalui ruang kecil bawah pintu biliknya. Belum lama dia melangkah, tiba-tiba badannya terasa dihempap sesuatu. Pandangannya dirasakan kabur, namun dalam samar-samar dia mendengar adiknya ketawa merengek. Pandangannya kemudian gelap.

***

Dalam LRT, Hanna melihat manusia berpusu-pusu ingin ke tempat kerja masing-masing. Beg tangannya digenggam kemas. Matanya malas sekali. Manusia di sekelilingnya hanya dilihat sepintas lalu. Manusia baginya semuanya sama, berkepalakan tikus. 

"Hari-hari kerja macam babi."

Dia mengomel lagi. Walaubagaimanapun, omelannya kali ini tidak lama. Sewaktu melalui sebuah kawasan perumahan, dia terpandang seekor anjing sedang berjalan-jalan mundar-mandir. Lama direnungnya anjing tersebut. Matanya dialihkan ke arah lengannya apabila dia merasakan gatal-gatal kembali di anggota badannya tersebut. Lengan baju kurungnya diselak. Hanna melihat tangannya mulai berubah. Bulu lengannya mulai lebat. Mulutnya juga dirasakan bermuncung. Air liurnya meleleh-leleh, menitis ke atas baju kurungnya. Dia kemudiannya menyalak girang. 

"Hari-hari kerja macam babi. Baik jadi anjing."

Dia kemudiannya menyalak sendirian.






Bangsawan Miskin

 Ada seorang penukul gila
mundar-mandir, menyeringai; seluruh kota,
mencari mangsa - si marhaen biasa.
Senjatanya berkembar,
dikelek abadi, ke sana ke mari.
Di tangan kanannya: 'Tukul Harga'
Tangan kirinya pula berpaku aneka.
Pakunya yang bisa: 'Paku Minyak'
Sekali diketuk, marhaen belalak!
Sakitnya - ya- sakitnya amat!
Anehnya pula, masih terlihat;
Sosok-sosok marhaen
berlagak bangsawan!
Dibilangkannya: "Syukuri saja!" "Syukuri saja!"
Walhal kepala; berbenjol-benjol!
Diketuk kepala; masih lagi tolol?
-Bangsawan Miskin, 10 Mei 2013

Conspicuous Leisure

Beranaklah-pinak sekalian raya
tanpa waspada kakinya ini
sedang berjalan; bahkan berlari
menuju ke sana.
Binalah jua segala kota
lagikan Safawi, jirannya Roma
hancur binasa.
Hidup-hiduplah; seperti biasa.
Udah-udahlah,
conspicuous leisure.