Jikalau kita merenung kembali keadaan persekitaran kita, kita semestinya perlu berhenti sejenak. Kita harus menatapi segala yang ada di sekeliling kita ini dengan pandangan yang tajam. Walaupun ada sahaja pujanga-pujangga yang berkata, jika kita melihat sesuatu itu dengan terlampau seni, maka kita sebenarnya terlepas pandang sesuatu yang besar. Apakah benar kiranya timbangan itu? Izinkan saya bertongkah arus.
Saya sebenarnya merasakan pemerhatian itu perlu. Bukanlah gesaan saya ini mengatakan bahawa kita seharusnya terlampau seni dalam sesetiap perkara, atau kata bahasa Baratnya, "too particular with the details," tetapi saya cumanya menggesa akan pemerhatian berkisarkan satu soalan; kita ini sebenarnya hidup dipandu apa? Cuba renung-renungkan sebentar, haiwan misalnya, kehidupan mereka dipandu apa? Mereka makan, minum, mengawan, kemudian mereka kembali mengulanginya. Kita ini bagaimana? Kita sebenarnya kiranya dipandu apa? Tidaklah saya maksudkan wahyu atau kalam Allah dan kata-kata suci berintikan wahyu daripada Nabi Mulia Muhammad, kerana itu bagi saya terlampau tipikal bagi seseorang untuk membincangkannya. Perdebatan mengenai agama mana yang lebih baik ini tidak akan pernah habis. Oleh itu saya ini senang sahaja usulkan, berdirilah kamu kepada apa yang kamu percaya. Namun, apabila saya mengusulkan kepada kalian akan pemerhatian, saya cuma sahaja kiranya mengutarakan keperluan kepada kita untuk berhenti sebentar.
Berhenti daripada dibawa arus hidup ini.
Lihat manusia-manusia sekeliling kita yang asyik dengan perkara yang katanya masyhur di telinga-telinga manusia kini, sebut sahaja apa, gadis ini, lelaki ini, makanan ini, orang ini, orang itu, pendek kata apa sahaja perkara-perkara yang dicanang-canang manusia pada ketika ini. Ada yang mencanangkannya di media sosial, ada yang war-warkannya di kedai kopi. Perhatikan mereka, sepertinya ada suatu esensi yang berada di sebalik apa yang mereka bualkan itu satu makna yang sama.
Apa kata kita berhenti sebentar?
Gambarkan kawanan biri-biri yang berjalan menuju kepada suatu arah, dan kamu berada dalam kawanan biri-biri itu. Kamu mengembek, berkomunikasi sesama biri-biri yang lain. Jika biri-biri A berhenti untuk meragut pucuk ubi di tepi jalan, maka kamu ikut berhenti. Jika biri-biri A mulai berjalan, maka kamu dan bebiri lain mulai ikut berjalan, Namun sedang kamu asyik berjalan, tiba-tiba saya datang berbisik kepada kamu, "Cuba sahaja berhenti sebentar."
Kamu berhenti.
Dan kawanan biri-biri itu makin jauh daripada kamu. Tidak mengapa, jangan kaget, kamu tidak lagi asyik. Di hadapan kamu, terbentang pelbagai jalan. Dunia saya, saya namakan jalan-jalan itu sebagai pilihan.
Janganlah fatalis mengikut kawanan.
Kamu punya empat kerat tenaga, kerahkannya,
Kamu juga punyai seketul daging putih dalam tengkorakmu yang menamakan dirinya sendiri, perahkannya,
Sekali lagi sudi saya ulangi, jangan fatalis mengikut kawanan.
Kamu punya empat kerat tenaga, kerahkannya,
Kamu juga punyai seketul daging putih dalam tengkorakmu yang menamakan dirinya sendiri, perahkannya,
Sekali lagi sudi saya ulangi, jangan fatalis mengikut kawanan.