Kepak Rindu

Zanariah, cuba sahaja kau bilang pada aku, apa aku ini gila?"

Hening.

Cepatlah bilang sama aku Zanariah, apa aku gila?"

Keliharan beberapa lubang-lubang kecil pasir itu berbuih-buih sejurus ombak meninggalkan pasir. Buih-buih itu tidak bercampur dengan buih yang lahir daripada air laut itu, ia seolah-olah mandiri, seperti udara yang dihembuskan daripada pasir, ia pecah-pecah seiring dengan angin laut bertiup. Mata Zanariah berkaca. Dia masih lagi diam, masih lagi tajam menancap ke arah Zakaria yang melongo di hadapan laut China Selatan itu. 

"Abang, janganlah abang berbuat begini. Apa kata abang pulang."

Zakaria masih lagi mengomel-ngomel keseorangan. Di tangannya terdapat secebis kain berwarna merah jambu. Kadang-kadang dibawa kain itu ke arah hidungnya kemudian dicium puas-puas. Zanariah hanya mengesat air matanya melihat karenah Zakaria itu. Sesekali dia ikut cium kain yang berada di tangan Zakaria itu. Dia masih lagi cuba memujuk Zakaria, mulutnya tidak berhenti menyuruh Zakaria pulang.

"Abang, pulanglah abang. Janganlah jua berbuat begini. Tidak manis dipandang orang," katanya.

Zakaria kadang-kadang tersenyum ke arah Zanariah duduk. Namun senyumannya itu kosong seolah-olah menembusi Zanariah. Kadang-kadang juga senyumannya dilemparkan ke arah tenggara. Ketika matanya diarahkan ke sana, kelihatan beberapa anak muda sedang duduk-duduk berbual di atas sebuah wakaf kayu. Tiga daripadanya berasap memegang rokok, manakala yang berkopiah tunggal dalam kumpulan itu hanya tersenyum-senyum. Barangkali ada cerita lucu dibualkan mereka. Mata mereka kadang-kadang memandang Zakaria.

"Yah, ada orang khabarkan abang ini sudah ditimpa gila! Biar abang khabarkan kembali kepada Yah, abang ini tidak gila! Yah, dengar ini, abang kira mereka itu yang gila!"

Zanariah mengangguk-angguk. Dia hanya mampu melayan karenah orang yang dicintainya itu dengan cara begitu. Diiyakan sahaja apa yang keluar daripada mulutnya itu. Kerana sayang, Zanariah tidak mahu walau sedikit cuba untuk tidak bersetuju.

"Apa rindu itu gila Yah? Kasi tahu sama abang, apa Yah bersetuju rindu itu gila? Apa orang agama yang katanya sakti itu tidak diajar alam akan rindu? Nabi, Yah, Nabi itu juga rindu! Ya'qub Yah, dia rindu! Dia tahu erti rindu!"

Air mata Zanariah makin berguguran. Pipinya yang putih itu merah-merah, kulit di bahagian sisi matanya berkerut-kerut menahan derita jiwanya mendengarkan kata-kata Zakaria. Angin lembut yang menyapu mukanya itu melarikan lagi air matanya jauh menitis ke atas bahunya. Dia hening sebentar. Menunggu lagi kata-kata Zakaria.

"Yah tahu, semalam hari Senin cukup dua tahun Yah. Abang selongkar almari Ibu, abang tahu, Ibu sorokkannya."

Zanariah memandang lagi wajah lelaki kusut itu. Matanya dikejap, dicuba bersabar supaya tidak menangis. Sesekali diseka pipinya dengan telapak tangan kirinya.

"Kain batik Yah, sudah tidak berbau. Ibu basuhkannya, dua tahun abang selitkannya di bawah bantal tidak berbasuh," kali ini Zakaria sebak-sebak.

"Abang tidak mahu pulang! Yang tinggal hanya kain merah jambu ini. Apa mereka bilang aku gila, aku ini benar gila?! Mereka itu bahkan yang gila!"

Zakaria menangis. Kuat esakannya. Esakan rindu. Zanariah turut menangis. Wajah suaminya itu ditatap dalam. 

"Abang, Zanariah ini ada abang. Abang menangislah. Biarkan mereka khabarkan abang gila." Zanariah cuba memujuk suaminya itu, walau dia tahu benar, pujukannya sia-sia.

Zakaria menarik nafas. Tangisannya dihentikan, diseka air mata jantannya. 

"Aku tidak mahu pulang kepada mereka, benarkan aku pulang kepada kau Yah. Aku janji kali ini tidak mabuk-mabuk."

Zanariah menangis, dia mundur daripada Zakaria. Duka hatinya ketika mabuk Zakaria menggila mulai hadir. Dia bangkit dari tempat duduknya, usaha memujuk Zakaria tidak berhasil. Bukannya Zakaria itu mendengar. Kepaknya mula dibuka, dia kini terbang di angkasa. Sambil menangis dia mengebas-ngebas sayapnya, air mata dari pipi kanannya jatuh ke atas lengan Zakaria. 

Zakaria mendongakkan kepalanya ke langit. Dilihat langit cerah, namun lengamnya basah dengan setitik air.

"Apa mungkin benar aku gila ya, Yah? Langit semacam mentertawakanku."



Tidur yang Panjang.

Hari ini saya baru sahaja bangun daripada tidur yang panjang. Tidur saya itu tidaklah melenakan, tidak juga terhad daripada nyaman, ia seperti separuh-separuh. Sebentar lena, sebentar lagi saya setengah jaga. Tetapi ia masih lagi tidur yang panjang.

Sepuluh minit selepas saya terlelap, barangkali, atau mungkin separuh abad setelah saya terlelap, ini masih barangkali jua, ataupun mungkin sahaja beberapa tahun, atau hari, atau dekad? Maaf, saya tidak dapat kirakan kadarnya secara tepat, kerana saya ini, baru sahaja jaga, jaga daripada tidur yang maha panjang. Kesedaran saya masih lagi malap-malap.

Tetapi jika mahu juga dihitungkan, mungkin tempohnya enam tahun selepas saya tertidur, ia, enam tahun, saya dikejutkan dengan keadaan separuh jaga, daripada mimpi-mimpi yang berupa manis keanak-anakan. Dalam mimpi itu, saya menyukai apa yang anak-anak sukai. Sebut sahaja coklat, gula-gula, bahkan segala yang terang-terang serta yang ada bibit-bibit ceria yang anak-anak gilakan, saya turut gilai. Saya merengek jika saya tidak dapatkannya, saya melompat girang jika saya berhasil memilikinya.

Kemudian mimpi saya ini dikejutkan dengan satu hentakan daripada karakter-karakter dewasa dalam mimpi saya, mereka tukuli saya dengan paku persoalan tentang adanya sesuatu yang mereka gelarkan sebagai Tuhan. Kata mereka, Tuhan ini yang menciptakan kita. Beriman, kata mereka lagi, kita harus, ah, kita mesti.

Saya kemudian separuh jaga buat beberapa dekad hasil daripada kejutan ini. Saya kekal mandiri daripada mimpi untuk beberapa dekad ini, atau tahun, atau abad, saya lupa, kerana tidur saya, tidur yang panjang. Atau barangkali ketidaktahuan saya ini kerna bukan saya ini yang menjadi tukang hitung mimpi yang panjang ini.

Walaubagaimanapun, jaga saya itu tidak lama. Jaga saya itu lelap-lelap sebentar. Jaga saya tidak lama. Tidur saya itu yang panjang, dan dalamnya masih lagi ada mimpi baru yang sedang berjalan. Dan akan berjalan. Tidur saya ini, tidur yang panjang. 

Barangkali saya masih lena ketika menuliskan ini. Perkataan ini mungkin mimpi.  Sudah saya katakan, tidur saya ini, tidur yang panjang. Mungkin lain kali saya akan tuliskan mimpi-mimpi saya yang lain yang hadir dalam lena yang panjang ini. Kerana jika saya jaga sepenuhnya, saya mungkin tidak mampu menulia lagi.

Kerana saya kirakan manusia itu tidur, mereka jaga apabila mereka mati.

Doakan saya jaga kembali. Kerana mimpi berbentuk dewasa ini, sukar untuk saya lari daripadanya.

Sekali lagi, doakan saya jaga. Saya bimbang, tidur saya bukan lagi tidur yang panjang.