Sewaktu dia di luar, dia tersenyum-senyum melihat dan melayan para tetamu. Anak-anaknya yang lain sedang bersiap, semua berbaju Melayu. Masing-masing sugul dan muram. Mungkin letih barangkali. Dia masih kelihatan biasa, kakinya diatur kemas mengorak setiap langkah. Dua tabung duitnya yang dibuat daripada bekas gula-gula diatas meja bersebelahan pintu masuk utama rumahnya itu kelihatan penuh, semuanya hasil pemberian dan sumbangan para tetamu.
Keadaan sekelilingnya diperhati, tetamu semakin melimpah. Rasanya sudah hampir tiba saat yang dinantikan semenjak semalam.
"Hadirin sekalian, buleh doh nok masuk semayang ni."
Tetamunya yang hadir mula memasuki rumahnya, memenuhi kawasan ruang tamunya. Masing-masing berhimpit, saf dirapatkan sedaya yang boleh agar semua tetamu mampu masuk dan solat berjemaah. Kali ini, dia sendiri yang akan mengimamkan solat ini. Di hadapannya ada sekujur badan, berbaring, mengiring menghadapa kiblat. Takbir diangkat, tangannya yang berkegut-kedut itu ketar sedikit.
Namun dia masih berjaya meneruskan solat itu. Empat takbir dan satu salam.
******
"Abang, jadilah hisap rokok tu. Kekgi kalu abang sakit, mati dulu, sape dia nok jaga Ani?"
Dia tersenyum mendengar leteran isterinya itu. Leterannya kadang-kadang menyakitkan hati, namun dia anggapnya sebagai lumrah berumahtangga. Kadangkala dia ibaratkan sahaja isterinya itu burung tiung, apa yang didengari oleh isterinya akan disebutnya kembali.
"Abang mati dulu, anok-anok ada kan. Bukannya anok-anok kita nok lok saje Ani." Asap rokok dihembuskannya ke arah luar tingkap, sambil terbatuk-batuk ketawa kecil.
"Duduk dengan anok-anok lain kalu abang takdok.."
Isterinya hanya membalas malas sambil melipat kain di sudut katil.
"Nanti aku berentila, saborlah. Nanti aku berenti."
*****
Mungkin benar apa yang isterinya katakan dahulu. Lain rasanya.
Malam ini dia lipat kainnya sendiri. Tidurnya juga tidak berteman. Dia lihat bantal isterinya itu, sarung bantalnya dia enggan tukar. Hati kecilnya yakin, bau sarung bantal itu bau rambut isterinya.
Bantal isterinya dicium. Baunya dihidu lagi puas-puas.
Dia sudah tahu benda ini bakal terjadi, cuma yang dia tidak pasti adalah samada dia atau isterinya dahulu. Dia ingatkan gilirannya dahulu. Namun dia tidak sangka keadaannya begini.
Sakit, sakit sekali.
Bantal isterinya dicium lagi. Kali ini bersama esakan.
No comments:
Post a Comment