Estetika, Romantisis dan Pencerahan

Pertama-tamanya, ingin sekali penulis katakan bahawa kecintaan pada seni itu berada kukuh dalam hati penulis.

Yang keduanya, ingin penulis nukilkan bahawa apabila bercakap tentang soal seni, seni bagaimanakah yang kita hendak? Apakah senibina, seni lukis, kesusasteraan yang rancak dalam seusatu masyarakat itu merupakan kayu ukur dalam menentukan turun naik sesuatu peradaban? Apakah kriteria yang perlu kita perbahaskan dalam menentukan baik dan buruk sesuatu seni itu kepada pembangunan masyarakat? Apakah kayu ukur dalam Islam bagi menentukan sesuatu karya itu bermanfaat atau tidak? Atau adakah berkarya itu semuanya bertunjangkan kreativiti dan kebebasan; tidak perlu langsung pada sebarang batasan? 

Barangkali itu yang Oppie bilangkan pada dirinya sebelum korban Nagasaki dan Hiroshima itu; kebebasan berkarya? Mungkin ya, mungkin tidak setelah jutaan jiwa Nagasaki dan Hiroshima fana menjadi debu.

Syed Naquib Al-Attas dalam karyanya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu tegas mengemukakan pendapat dengan menyatakan bahawa kesenian itu merupakan salah satu sifat dalam mencirikan tamadun, namun, pandangan hidup yang berdasarkan kesenian semata-semata adalah kebudayaan estetik, kebudayaan klasik yang ternyata menyimpang daripada keutamaan asal; dalam mencirikan sesuatu tamadun itu secara total[1]Bahkan katanya lagi, sejarah telah mengajar manusia bahawa semakin indah dan rumit gaya senirupa, maka semakin menandakan kemerosotan budi dan akal. Lihat sahaja Acropolis Yunani, Persepolis Iran, dan piramid-piramid Mesir[2]. Semuanya hanyalah kebobrokan penguasa dalam mengiyakan kekuasaan mereka dengan menggunapakai tenaga massa yang ditindas. 

Atau lebih jelas dan mudah untuk kita bayangkan pada saat dan tempat kita ini, mampukah kita berbangga akan masjid-masjid yang sekarang ini giat (baca: gila) dibina? Ataupun keindahan puisi-puisi cinta muda yang sekarang ini giat dicetak? Atau cerita-cerita cinta novel yang kini galak sekali diterbitkan bersama skrip-skrip sama namun diolah dalam gaya berbeza; antaranya perogol insaf yang bercinta, bahkan berkahwin dengan gadis dirogolnya? Yang seolah-olah sepertinya penekanan akan unsur insaf itu lebih mengesankan dan sekaligus menenggelamkan nilai keji yang ada pada perilaku rogol itu sendiri.

Tidak dinafikan penulisan-penulisan berbentuk puisi ini sememangnya merupakan salah satu aspek atau ciri yang ada dalam mengkayakan khazanah kesusasteraan masyarakat, akan tetapi tidak cukup jika ia hanya dinilai melalui keindahan tatabahasa persajakan daripada segi rima, bunyi, jalan cerita atau pemuasan rasa manusia semata-mata sahaja tanpa mengaitkan pemerian sesuatu nilai, erti atau ilmu.

Walaubagaimanapun, bukanlah ini umpama penolakan secara total terhadap puisi-puisi sebegini sebagaimana ia bukanlah pula suatu tindakan yang wajar seperti yang pernah dilakukan sekelompok intelektual Republik Iran suatu masa dahulu yang berpendapat bahawa feudalisme serta situasi dalaman dan luaran tidak bertanggungjawab kepada penderitaan yang dialami rakyat mereka, sebaliknya ia berpunca daripada cara penyajak mendeskripsikan subjek yang mereka sayangi[3]. Gambaran daripada mereka itu seolah-olah membayangkan masyarakat sekeliling mereka tidak memberikan tumpuan terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka kerana minda mereka hanya difokuskan kepada lirik, sajak dan sastera yang membunuh jiwa penentangan pada kezaliman dalam diri mereka dengan kesedihan dan sifat pasrah hasil daripada deskripsi penyajak-penyajak mereka terutamanya Hafez akan perasaan mereka atas nama seni.

Ini pula bukanlah suatu yang diketengahkan oleh penulis, bahkan idea penolakan total terhadap unsur-unsur sastera cinta lembik dan romantik, ataupun prosa-prosa cinta, bahkan filem-filem atau drama-drama cinta yang sekarang ini lebat sekali dipertontonkan sekarang ini bukanlah suatu jalan penyelesaian yang tuntas. Peralihan tumpuan ke arah dasar atau sebab utama dalam menyelesaikan masalah masyarakat lebih perlu, dan lambakan karya-karya picisan bukanlah sesuatu yang wajar kita ketengahkan sebagai punca utama. Korupsi pengusa, barangkali itu lebih jujur dipertelingkahkan. 

Peranan Golongan Celik

Kita sering disajikan satu maklumat ini; bahawa Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) merupakan seorang yang buta huruf. Namun, jarang sekali kita disyarahkan atau ditafsirkan mengenai pemilihan baginda menjadi Nabi walaupun beliau merupakan seorang yang buta huruf. Mengapa Allah tidak memilih sosok-sosok intelektual menjadi Nabi? Ataupun sosok-sosok sasterawan, atau mengapa sahaja sosok-sosok saudagar-saudagar kaya, bangsawan-bangsawan Arab juga tidak sahaja dipilih?

Sebagaimana yang kita tahu, bangsa Arab sebelum datangnya Islam kaya dengan sosok-sosok sebegini walaupun zaman itu dikenali sebagai zaman gelap bagi mereka. Kita lihat sahaja karya-karya Tujuh yang Tergantung (السبعة المعلقات) di dinding-dinding Kaabah. Pujangga-pujangga mereka, antaranya Imru ibn Al-Qais, Zuhair ibn Abi Sulma dan lain-lainnya, maka sedia kita tahu kehebatan mereka dalam penciptaan syair-syair yang hebat.

Ataupun kita teliti sahaja ilmu-ilmu yang ada pada zaman mereka, antaranya ilmu nasab atau ilmu keturunan, yang cabangnya banyak sekali hingga tingkat nasab (keturunan) itu sahaja mereka bahagikan hingga enam bahagian. Dimulakan dengan 'Sha'ab', diikuti 'Kabilah', 'Imarah', 'Bathn', 'Fakhz', dan 'Fusailah'[4]Kita telaah juga karya-karya mereka dalam ilmu kaji bintang (falak), yang mana mereka ketahui dan pelajari untuk mengetahui musim berbuahnya kurma supaya mereka dapat tentukan bilamana mereka sepatutnya berangkat ke Sham dan Thaif. Sungai ilmu falak mereka ini juga kaya sekali dengan istilah-istilah seperti 'Hamal', 'Seer' 'Sunbulah', 'Mizan', 'Aqrab' dan sebagainya yang menceritakan perihal bintang utara dan bintang-bintang selatan[5].

Bahkan menurut HAMKA, dalam karyanya Sejarah Umat Islam, dikatakan bahawa masyarakat Arab ini juga pakar dalam ilmu menjejak, terutamanya dalam menjejak sumber air (kerana habitat kehidupan mereka yang kurang sumber air) hingga mereka mampu menyisihkan awan mana yang akan menurunkan hujan dan mana yang akan pecah tidak menurunkan hujan!

Suka sekali penulis titipkan idea Ali Shariati yang mencirikan perihal ini dengan lebih menekankan esensi daripada pemilihan Nabi Muhammad (selawat dan salam keatasnya) tersebut dengan mengatakan bahawa[6]

Golongan Nabi tidak boleh diletakkan dalam kategori yang sama dengan ahli falsafah, para saintis, pakar sesuatu teknik, bahkan artis. Para Nabi selalunya wujud dari kalangan golongan massa dan boleh berkomunikasi dengan rakyat umum dalam memperkenalkan moto baru, memberi visi baru, memulakan pergerakan baru, dan memberi tenaga baru dalam kesedaran rakyat dalam era yang mereka hidup.  
Kata beliau lagi dalam mencirikan perihal ini[7]
Para Nabi tidak tergolong dalam kategori saintis atau ahli falsafah yang hidup pada zaman lama. Mereka tergolong dalam ketegori yang unik sekali. Mereka tidak tergolong dalam rakyat biasa yang merupakan produk serta hamba kepada tradisi dan struktur sosial lama.  Mereka juga tidak tergolong dalam komuniti saintis, ahli falsafah, para mistik, dan pemimpin agama yang merupakan hamba kepada konsep abstrak dan hidup mereka penuh dengan penemuan dan penerokaan saintifik.
Ali Syariati mengatakan bahawa ini adalah konsep pemikir 'celik'. Beliau mengenengahkan konsep pemikir celik atau (enlightened souls) yang merupakan ciri yang ada pada Nabi tidak semestinya bermula dan merujuk kepada mereka yang mempunyai pendidikan, golongan bangsawan mahupun para pujangga semata-mata, tetapi golongan celik ini adalah mereka yang menyedari dan arif mengenai situasi sosial manusia yang sebenarnya pada masa kini dan masa lampau dan mempunyai tanggungjawab sosial[8]. Dan golongan celik inilah yang memikul tugas para Nabi dalam menyelesaikan masalah-masalah kemasyarakatan sekaligus memperbaharui dan mereformasi kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik.  

Tidaklah kita nafikan sumbangan golongan-golongan falsafah, intelektual dan artis-artis kepada masyarakat, mereka juga berupaya dalam membidankan kelahiran-kelahiran golongan celik ini, namun peran utama golongan celik dalam menghidupkan dan menggerakkan enjin reformasi ternyata lebih utama dalam mengubah struktur sosial masyarakat .

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa Rasul bukanlah suatu faktor fundamental[9] dalam menentukan perubahan sesuatu masyarakat menurut Ali Syariati kerana Rasul hanyalah sebagai pemberitahu dan penyampai akan risalah, manakala massa atau masyarakat yang disampaikan kepada mereka risalah itu sendiri yang menjadi faktor utama dalam menerima atau menolak risalah tersebut. Mengenai perihal penerimaan dan penolakan sesuatu kaum itu terhadap risalah yang disampaikan oleh para Rasul ada diceriterakan dalam Al-Quran itu sendiri.

Firman Allah S.W.T :
Allah membuat suatu perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaat) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukminselagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya) iaitu : perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut. Mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh daripada kalangan hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati). Tetapi mereka berdua telah mengkhianati suami masing-masing. Maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka daripada azab Allah. (Sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada Hari Pembalasan): Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang yang masuk (ke dalamnya). (Al-Faathir : 10)

Perkara ini juga dibuktikan dengan perihal bapa saudara Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) iaitu Abu Talib[10] yang sangat menghairankan. Kita sedia tahu bahawa beliau merupakan antara bapa saudaranya yang paling kuat mempertahankannya dalam menghadapi tindakan jahat musuh ketika Baginda dibangkitkan menjadi Nabi, juga ketika mana Baginda mulai menzahirkan dakwah dan memberikan amaran kepada keluarga yang terdekat. Namun kesudahannya tetap tidak menerima agama Islam dan berpegang kepada ajaran nenek-moyangnya.

Berbalik kepada golongan celik, sama seperti para Nabi, golongan celik ini tidak semestinya terdiri daripada pemikir-pemikir kelas-kelas tinggi, golongan celik ini adalah mereka yang memahami masalah sosial dan memiliki rasa tanggungjawab sosial dalam menyelesaikan masalah-masalah yang melanda masyarakat sekaligus berusaha untuk mentransformasi masyarakat mengikut acuan dan kerangka Al-Quran dan Sunnah itu sendiri.

Idea ini jelas membuktikan bahawa tidak cukup jika seseorang ataupun sesuatu komuniti ilmuwan tersebut hanya pandai berfalsafi sesama sendiri, berbicara isu-isu ghaibiyyat yang tidak habis dibicarakan, ataupun hanya asyik ber'ya hanana' tanpa membicarakan isu-isu penderitaan masyarakat sekeliling.

Romantisis Golongan Agama

Agama Islam adalah agama yang menyeru umatnya meningkatkan daya produktiviti, menggalakkan umatnya mencapai kemuliaan, ketinggian dan keagungan di antara bangsa-bangsa lain[11]. Islam bukanlah sekadar agama ritual yang mengajak umatnya mengasingkan diri semata-mata tanpa memikirkan perihal masyarakat sekeliling atas nama zuhud dan tasauf.

Memanglah benar jika kita katakan bahawa tasauf itu intipati seseorang Muslim, namun jika dilihat daripada sejarah para sahabat, mereka juga tepu dengan jiwa tasauf mereka akan tetapi mereka tidak memakaikan pakaian sufi ke atas badan mereka. Mereka pejuang, peniaga, pedagang, mujahidin, pemerintah dan sebagainya, namun intipati kesufian itu mereka pegang sebenar-benarnya. Harta tidak pernah lekat di jiwa mereka, kehilangannya tidak memberikan apa-apa kesan, bahkan lapar dalam berjuang itu umpama perkara biasa bagi mereka. Mereka tidak perlu bergelar sang sufi, mereka juga tidak beruzlah meninggalkan masyarakat, hanya khayal dalam zikir mereka sendiri. Dan apakah kita harus mengabaikan fakta ini bilamana tidak ada pada zaman ini nama-nama yang lebih mulia daripada nama sahabat-sahabat Rasulullah melainkan Rasulullah itu sendiri?

Islam juga bukanlah sekadar agama yang menceritakan perihal cinta antara jantina semata-mata. Kita sudah dirisaukan dengan lambakan puisi-puisi, prosa-prosa yang mengghairahkan, mengkhayalkan golongan muda atas nama seni, kita tidak perlu akan lambakan khayalan cinta Islamik pula yang mana tapaknya lebih bahaya kerana bersandarkan atas nama agama. Cinta itu fitrah, namun kehidupan tidaklah semestinya berkisarkan cinta semata-mata. Tahap ketinggian Islam tidaklah dinilai melalui peringkat perkahwinan sahaja sebagai peringkat tertinggi, kerana Islam lebih daripada itu. 

Islam bukanlah agama yang mengajarkan umatnya lembik berfitrah, Islam merupakan agama yang kaya dengan tanggungjawab sosial, kaya dengan penyeluruhan dalam meraih dan meningkatkan ilmu dan taraf hidup masyarakat.

Akhir kata, ingin sekali selitkan sepotong puisi[12] untuk para pembaca sempena penderitaan hidup kita supaya enjin kesedaran dan pencerahan itu kita sama gerakkan, kerana kita tidak cukup sekadar redha. Kerana zuhud kita tidak lekang daripada penentangan terhadap kezaliman.

Nonton Harga

ayo keluar keliling kota
tak perlu ongkos tak perlu biaya
masuk toko perbelanjaan tingkat lima
tak beli tak apa
lihat-lihat saja

kalau pingin durian
apel-pisang-rambutan-anggur

ayo…
kita bisa mencium baunya
mengumbar hidung cuma-cuma
tak perlu ongkos tak perlu biaya
di kota kita
buah macam apa
asal mana saja
ada

kalau pingin lihat orang cantik
di kota kita banyak gedung bioskop
kita bisa nonton posternya
atau ke diskotik
di depan pintu
kau boleh mengumbar telinga cuma-cuma
mendengarkan detak musik
denting botol
lengking dan tawa
bisa juga kau nikmati
aroma minyak wangi luar negeri
cuma-cuma
aromanya saja

ayo…
kita keliling kota
hari ini ada peresmian hotel baru
berbintang lima
dibuka pejabat tinggi
dihadiri artis-artis ternama ibukota
lihat
mobil para tamu berderet-deret
satu kilometer panjangnya

kota kita memang makin megah dan kaya

tapi hari sudah malam
ayo kita pulang
 ke rumah kontrakan
sebelum kehabisan kendaraan

ayo kita pulang
ke rumah kontrakan
tidur berderet-deret
seperti ikan tangkapan
siap dijual di pelelangan

besok pagi
kita ke pabrik
kembali bekerja
sarapan nasi bungkus
ngutang
seperti biasa

Wiji Thukul, 18 November 1996






[1] Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Angkatan Belia Islam Malaysia, Kuala Lumpur, cetakan keenam (1999), hlm 18-19.
[2] Ibid, ms 19.
[3] Ali Shariati, Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner, Citizens International, Pulau Pinang, hlm 28.
[4] HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), Sejarah Umat Islam, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, cetakan ketiga (1980) hlm 50-51.
[5] Ibid, ms 50-51.
[6] Ali Shariati, Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner, Citizens International, Pulau Pinang, hlm 11.
[7]  Ibid, ms 11.
[8] Ibid, ms 10.
[9] Ali Syariati, Tentang Sosiologi Islam (Himpunan Ceramah Ali Syariati), Ananda, Yogyakarta, cetakan pertama (1982), hlm 52-53.
[10]  Sheikh Muhammad Al-Ghazali, Fiqh Sirah, Jilid 1, Prospecta Printers, Kuala Lumpur, cetakan pertama (2010) hlm 215.
[11] HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah),  Tasauf Moden, Darul Nu'man, Kuala Lumpur, cetakan keempat (2001), hlm 5.
[12] Wiji Thukul, Aku Ingin Jadi Peluru, Versi PDF, hlm 69.

No comments:

Post a Comment