Pagi indah, gua keluar mencari makan di warung Mak Lijah. Dengar kata nasi dagangnya sedap. Kalau tak sedap pun gua peduli apa, asal gua kenyang. Berbekalkan wang RM5, gua menapak dengan girang.
Sesampainya di warung, gua lihat ramai orang berkerumunkan sebuah meja, khusyuk mendengarkan ceramah daripada salah seorang penduduk kampung gua yang glemer, Pak Rodi namanya.
" Alah, setakat buat rumah macam tu, nak bangga apanya. Aku pun boleh lah! "
Jerkahan Pak Rodi menghingar-bingarkan lagi suasana di warung Mak Lijah. Gua hanya terdiam, hendak kata gua tertarik, haram gua tak tertarik. Gua tahu, Pak Rodi kalau masuk bab bercakap besar, memang beliaulah juaranya. Bercakap besar, mulut busuk, semua itu bidang beliau.
" Kau tengok kereta anak aku tu, bayar bulan pun dah dekat seribu, kalau nak suruh dia buatkan rumah untuk aku sebijik pun senang jelah. "
Gua terus diam, menunggu detik sesuai untuk gua bersuara. Gua ini umpama seekor singa, hanya menyerang apabila tibanya waktu yang sesuai, gua bukan dubuk, musang ataupun rubah. Pak Rodi barulah kera. Itu gua pasti. Melihat lubang hidungnya yang besar itu, gua sering terbayangkan kera-kera di hutan, ditambah mulutnya yang suka menghina dan busuk lagi berpuaka itu.
" Dah lewat ni, aku pun dah nak balik ni, orang rumah tak suka duduk kedai lama-lama, buang masa katanya ! Kah Kah Kah! "
Dalam keadaan mengunyah nasi dagang Mak Lijah, gua tersenyum, memikirkan masa bersuara hampir tiba.
" Lijah, masuk buku ye ! Nanti aku bayar balik !
Arahan Pak Rodi dibalas oleh penyataan gua dengan tenang dan bersahaja.
" Cakap besar nak buat rumah, duit makan tak boleh bayar, besar taik daripada punggung. "
Pak Rodi diam, kemudian diacungkan penumbuk ke arah gua. Gua hampir-hampir tercekik nasi.
No comments:
Post a Comment