Usaha.

Dia masih lagi termangu. "Ini berat." tutur hatinya. Ini sangat berat, dia tidak keruan. Telinganya yang sedikit rabit itu kelihatan bergerak-gerak seiring dengan mulutnya yang diketap rapat. Kopiah hitamnya yang keras itu ditanggalkan, "Ini baru permulaan, belum cukup peritnya dibandingkan dengan yang akan datang."

Matanya diarahkan ke jendela, hijau sekeliling seolah-olah menenangkan gelojak hatinya; rakus nafsunya seumpama diketuk-ketuk rapat umpama paku ditanam tukul, terbenam rapat ke dalam kayu, tidak bergerak. Namun makin diketuk, makin kayu itu menjelma keras, maka makin susah diketuk, sukar ditanam paku tersebut!

Dia mengelamun lagi, tangannya disua ke arah meja di sebelah katilnya, jemarinya menggenggam sebuah cetakan, dibelek-belek cetakan itu, mencari kata semangat. Jemarinya terhenti pada sepotong ayat; ayat yang membuatkannya tersenyum riang. "Dia ada, Dia Maha Mengetahui segalanya dan Dia pasti akan membantu aku." Fikirnya sendiri, memujuk hati yang sedang berperang nafsu batinnya yang makin menggila.

Dan orang-orang yang berjihad (untuk mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada  mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik. Al-Ankabut : 69
Tafsir Al-Quran itu kembali ditutup, perlahan-lahan ia diciumnya, kemudian rapi diletak kembali di atas meja. "Things gonna get better." tutur hatinya lagi. Kepalanya diletakkan di atas bantal. Matanya dipejam, fikirannya dilayang jauh mencari ketenangan. Nafsunya mesti dikandang rapi. Lamunannya mencari aman tidak kekal lama, dia kembali ke alam sedar selepas dikejutkan Jamri, kawan serumahnya yang berkain pelekat tidak berbaju menarik-narik bahunya sambil tersengih-sengih di sebelah.

"Ko ni apehal? Dah macam zombie dah ni kenapa?" Mata coklat Jamri itu ditenungnya lama. Soalan Jamri masih tidak berjawab. Dia biarkan sahaja tergantung. Jamri bangun sambil membebel-bebel, "Baru 20 minit berhenti rokok dah macam bini mati, pondan betul."

"Dua puluh minit apanya, dah tiga jam la setan!"

Balasnya beremosi, umpama wanita datang bulan.


1 comment:

Mai said...

kau jamri, sangat berkiri! pondan.

Post a Comment