Sebagai seorang pemuda yang masih lagi bersari dengan kepemudaannya, sering sahaja saya ini tertanya-tanya, kepemudaan seseorang itu sebenarnya tertakluk kepada penaklukan apa?
Ada yang berkata muda-muda itulah puncak segala kegilaan; ada yang ditimpa kegilaan dalam mencari dan menakluk rezeki atau lebihan dagang, atau juga ada yang berkata kegilaan dalam kepemudaan itu adalah kepayang dalam buku-bukunya atau bersimpuh dengan guru-gurunya dalam mencari arak ilmu, atau sahaja mungkin kepemudaan itu adalah usaha penaklukan sebuah entiti kebebasan; bertegang urat marih menjerit menginginkannya daripada sesebuah sosok kezaliman, atau barangkali mungkin sahaja kepemudaan itu adalah anti-penaklukan; pemuda yang kegilaan dalam keengganannya menjadi bebal menurut manusia lain, seperti pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang dipaparkan berontak kepada sebuah kerajaan di zamannya.
Jadi soalannya, kita ini pemuda yang gila mencari apa?
Saya senang sekali apabila berhadapan dengan pemuda-pemuda yang kegilaan seperti saya. Resah dan gelisah, mereka inginkan suatu kata penamat kepada ketidaktenteraman jiwa mereka. Mereka tidak menganggap dunia ini sebagai tempat untuk mereka bahagia. Bahkan perkataan dunia (Arab: dunyā) itu menurut bahasa rasmi agama kita, bahasa Arab, adalah satu kalimah yang mencerminkan makna yang terbawah, hasil daripada kata kerja adnā (membawah). Maka mustahil suatu tempat yang berada pada peringkat bawah itu mampu memberi kebahagiaan kepada seseorang itu.
Menanggapi dunia ini seolah-olah segalanya, mencintai kehidupan dan lebih banyak menikmati hidupnya itulah yang menjadikan seseorang itu sebenarnya mati dalam dunia ini. Kerana perbuatannya yang terlampau cintakan dunia itu yang mematikannya, bukan selepas ajalnya, bahkan sewaktu dia itu hidup, dia bahkan telah lama mati dengan keasyikan, atau dihinggapi penyakit yang seperti-seperti dengannya atau apa yang Barat bahasakan; conspicuous leisure.
Menanggapi dunia ini seolah-olah segalanya, mencintai kehidupan dan lebih banyak menikmati hidupnya itulah yang menjadikan seseorang itu sebenarnya mati dalam dunia ini. Kerana perbuatannya yang terlampau cintakan dunia itu yang mematikannya, bukan selepas ajalnya, bahkan sewaktu dia itu hidup, dia bahkan telah lama mati dengan keasyikan, atau dihinggapi penyakit yang seperti-seperti dengannya atau apa yang Barat bahasakan; conspicuous leisure.
Jadi bagaimana keresahan pemuda-pemuda yang saya senang bersama dengannya?
Keresahan yang saya maksudkan adalah keresahan dalam mencari makna hidup. Bagaimana mencari akan kehidupan itu menghidupkannya? Bagaimana mungkin bezanya pemuda-pemuda ini dengan para pencinta hidup yang saya khabarkan sebelum ini sedangkan kedua-duanya mencari kehidupan? Ada manusia, semakin gemuk dibajai makanan dan nikmat dunia, sebenarnya tidaklah beruntungkan apa-apa melainkan kebodohan. Itulah golongan pertama. Berbeza dengan mereka adalah golongan kedua, pemuda-pemuda yang saya senangi. Mereka mencari makna kehidupan, bukan sekadar hidup materi.
Mereka inilah nanti yang makin kontang jasmani, tetapi tasik rohaninya.
Maka atas dasar begitulah, pemuda-pemuda ini walaupun kurus kontang, mencari makna hidup, semakin digali kehidupan mereka -waktu hidupnya atau walaupun selepas mati- semakin nyata mereka berisi dengan pemaknaan kehidupan, dan semakin berhasil orang-orang sekalian itu berhasil sesuatu makna daripadanya, berbeza sekali dengan yang gemuk materi, apabila mati yang mereka takuti itu tiba, mereka akan habis bersama dengan tulang-tulang dan daging-daging mereka.
Tidak dikenang orang, diingat manusia.
1 comment:
MasyaAllah.
semoga terus berkarya akhi :)
Post a Comment