Mencari di mana punca kemuraman.
Ada yang berkata, kesunyian itu yang menyebabkan kita muram. Kita tidak ada sesiapa untuk berkongsi dan tidak juga mempunyai bahu untuk bersandar. Seolah-olah dunia ini terlalu luas untuk kita bernafas, kita lemas dalam jutaan manusia lain yang cuba melompat-lompat menggapai udara untuk menggerakkan paru-paru mereka bernafas dan akhirnya, kita merasakan kita ini sebenarnya tidak mampu bertanding mendomba diri kita yang kecil ini untuk melawan manusia-manusia alpha lainnya. Maka dengan sebab itu, kita bisa sahaja menyerah daripada cuba melawan, dan kita akur dengan perjalanan hidup kita. Namun, apabila perjalanan hidup kita tidak mengikut aras kegembiraan kita, kita merasa sedih dan gelisah, dan ditambah dengan kesunyian yang kita ada, kegelisahan dan kesedihan itu tidak mampu kita salurkan kepada siapa-siapa. Kita akhirnya bermuram sendirian. Kemuraman itu kita akhirnya memegangnya sungguh-sungguh, hingga kita merasakan bahawa muram itu adalah kehidupan kita yang sebenar.
Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu.
Pernah juga saya merasa, dalam proses perlawanan kita untuk menggapai apa yang kita hajatkan dalam segerombolan ramai manusia, saya diserang rasa gemuruh. Jantung saya berdetak kencang seolah-olah saya berhadapan dengan seekor raksasa gergasi yang cuba untuk memakan saya sedikit demi sedikit. Tetapi saya selalu dan biasanya tidak ketahuan, apakah representasi fizikal raksasa gergasi yang saya takuti itu secara realitinya. Dan inilah yang mendorong saya untuk berfikir dengan lebih dalam, apakah ketidaktahuan saya itu sendirilah yang menampakkan dirinya sebagai raksasa gergasi atau masih ada entiti-entiti lain seperti nasib, masa depan atau rezeki yang ada dialami oleh saya tanpa saya mengetahui apakah ia itulah representasi kepada raksasa gergasi?
Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu.
Pernah juga saya dikhabarkan oleh seorang rakan, kemungkinan ketidakupayaan kita menggapai sesuatu yang kita hajatkan berbanding kitaran manusia lain di sekeliling kita itulah yang menyebabkan kita muram. Saya cuba contohkan, ia seperti usaha menggapai entiti-entiti kosong yang dianggap kejayaan untuk dunia kita ini, berpindah daripada satu kejayaan kepada kejayaan lain seperti peralihan abjad daripada A kepada B kepada C dan seterusnya sehingga kepada Z atau bahkan infiniti. Dan bagi rakan saya, kegagalan dalam mencapai usaha ini merupakan puncak utama kepada gunung kemuraman. Namun, bagi saya, kitaran ini dilalui semua manusia, dan saya tidak merasakan ia merupakan masalah atau punca kepada muram kerana tidaklah dikatakan seseorang itu jahat atau bodoh apabila dia cuba untuk memperbaiki nasib kehidupan mereka atau cuba untuk mengangkat strata kehidupan mereka daripada masyarakat marginalis kepada masyarakat aristokratis. Apakah ia salah?
Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu.
Tetapi, ada juga benarnya apa yang dikhabarkan kawan saya ini kerana apabila kita melihat kepada percubaan-percubaan manusia dalam usaha mereka ini, kita biasanya mampu melihat hasilnya biasanya akan terbahagi kepada dua, iaitu gagal dan berjaya. Saya tidaklah cuba menampilkan usaha ini kepada bentuk binari hitam dan putih sahaja, yakni gagal dan berjaya sahaja, saya tahu, di antara dua ini ada sesuatu yang berwarna kelabu campuran hitam dan putih yang saya rasakan berada di antara lipatan gagal dan berjaya. Mungkin boleh kita namakan sebagai sedang-sedang, tidaklah gagal dan tidaklah berjaya. Tetapi, dua bentuk hasil ini merupakan yang paling dominan, kerana dalam seseorang itu berusaha, apabila dia tidak mencapai target yang diinginkan, walaupun mulutnya berkata itu adalah sedang-sedang, atau sudah cukup, dia sebenarnya sudah gagal. Cubalah sahaja kita pusingkan ia bagaimana sekalipun, jika kita tidak mampu membidik tepat kepada sasaran yang kita hajatkan, kita itu sebenarnya gagal. Namun, maafkan saya, saya masih lagi tidak berani mengatakan apa yang saya katakan ini tepat belaka.
Kerana saya tidak tahu dan tidak berminat untuk tahu.
Daripada dua hasil ini, saya simpulkan, ia menjadi punca kepada kemuraman. Jika seseorang itu gagal memperolehi apa yang diinginkan, ada yang menghala kepada kemuraman, ada yang sebahagiannya yang berhati kuat, tidaklah menghalakan dirinya kepada arah muram durja, bahkan menganggapnya sebagai motivasi penguat diri. Itu bagi saya, perkara normal yang tidak perlu diperbahaskan dengan lebih lanjut. Itu juga apa yang diperbahsakan rakan saya. Namun, yang sudi saya bangkitkan sebagai persoalan, atau apa yang biasanya saya hairankan, kenapa masih ada yang sudah memperolehi kejayaan itu masih lagi bersifat muram? Sedangkan jika dibandingkan dirinya dengan yang gagal, dia jauh lagi terkehadapan dan berjaya. Namun masih lagi dia muram dan tidak merasa cukup.
Mungkin ini saya tahu, dan saya berminat untuk tahu.
Tetapi apa yang saya tahu biarkan lah dalulu kerana barangkali esok dan lusa saya bertemu rentasan-rentasan hidup manusia lain yang sudi membicarakan perihal ini. Biarkan sahaja hari-hari membongkar segala ketidaktahuan saya ini kerana saya sudah malas untuk menulis. Saya ingin baring sebentar bersama ketidaktahuan.
Kerana ketidaktahuan itu kadang-kadang mengangkat kita jauh daripada muram.
Kerana ketidaktahuan itu kadang-kadang mengangkat kita jauh daripada muram.
No comments:
Post a Comment