Cerita Jarum.

Wah-wah-wah. Selamat pagi buat semua pembaca belog aku ini. Kepada sesiapa yang membaca entry ini sewaktu tengahari, aku ucapkan selamat tengahari. Jika ada pula yang membacanya sewaktu petang, aku ucapkan selamat petang. Jika ada yang membacanya pada waktu malam pula, aku ucapkan selamat mati. Ah, aku bergurau sahaja. Jangan merajuk, selamat malam aku ucapkan. Seminggu lebih aku tidak mengemaskini belog ini. Sedikit sibuk dengan jadual pembelajaran baru semester ini. Percayalah, cerita hidup aku tidak menarik. Cerita ini lagi menarik. Bedtime Stories bersama Gua. Pagi-pagi lagi sudah tulis bedtime stories. Apa kejadahnya kan? Wan Kamaruddin bilang. Burung hantu.

Bangun awal pagi, anda kaya dengan inspirasi.



Bangun pagi, gua selalunya akan bersiap-siap untuk ke laut. Namun pada pagi Jumaat ini, niat gua terbantut apabila gua mendapat berita bahawa gua akan berjiran dengan seorang ustaz dari Kuala Lumpur. Menurut sumber berita gua, ustaz ini merupakan satu-satunya cucu Pak Mang Orang, tuan punya rumah sebelumnya. Pak Mang Orang meninggal pada bulan lepas, maka rumah itu diwasiatkan kepada cucunya itu. Kebetulan pula guru agama itu ditugaskan mengajar di sekolah rendah kampung gua ini, maka keadaannya ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Gua tak faham, kenapa perlu orang mengantuk sahaja sesuai disorongkan bantal. Bagaimana dengan orang yang tidak mengantuk?

Arwah Pak Mang Orang merupakan salah seorang yang misteri. Arwah digelar 'orang' kerana beliau suka membahasakan dirinya sebagai 'orang', dan bukannya 'saya' atau 'aku'. Oleh yang demikian, beliau digelar Pak Mang Orang.

Bunyi enjin kereta mematikan lamunan gua. Honda Odyssey. Gua kagum. Gua hanya mampu memakai motorsikal EX5 sahaja. Itupun motor bapak gua. Gua tidak berkenderaan. Tidak lama kemudian, tuan kepada kereta tersebut keluar. Berkopiah, berbaju melayu Raihan, dan di sampingnya seorang wanita berpurdah. Mungkin isteri beliau, getus hati gua. Gua yang sedang mengelamun di atas tangga ditegur oleh emak gua supaya menolong ustaz tersebut mengangkat barang-barangnya. Tanpa berlengah, gua turun menuju ke arah ustaz tersebut. Sewaktu mencapai selipar Jepun, gua mengukir senyuman kepada ustaz tersebut. Beliau hanya melihat sekilas lalu senyuman gua lalu mengalihkan pandangannya mengangkat barang-barangnya menuju ke arah rumah barunya.

" Assalamualaikum, banyak tak barang tu ustaz? Biar saya tolong ustaz. "

Gua memulakan perbualan dengan ramah sekali.

" Waalaikumsalam, tak apa, saya buat sendiri. "

Dingin. Pelawaan gua hanya dibalas dengan jawapan dingin oleh beliau. Gua beralah, terus ke arah tangga rumah gua kembali. Tempat gua mengelamun seperti biasa. Sambil menggulung rokok daun, gua terus melihat beliau dan isterinya menguruskan barang-barangnya. Selepas semua barang-barangnya dimasukkan ke dalam rumah, beliau memparkir keretanya betul-betul di hadapan rumah gua, di bawah pokok asam jawa.

" Itu tempat parkir kereta bapak saya tu ustaz. "

Gua cuba menerangkan keadaannya kepada beliau dari rumah gua. Bimbang bapak gua balik dari pekan nanti terkial-kial mencari parkir nanti. Ustaz tersebut hanya diam, kemudian berjalan ke arah rumahnya.

" Dam! "

Bunyi pintu rumahnya ditutup rapat. Gua bengang.

"Kurang hajar punya ustaz."

Getus hati kecil gua. Gua kembali duduk di atas tangga rumah gua. Mengelamun. Sedang enak mengelamun, gua terdengar suara kasar seorang lelaki sedang menyanyikan lagu. Walaupun suaranya kurang enak, namun kesungguhannya menyanyikan lagu tersebut jelas tertera melalui nyanyiannya.

Mat ming tonjo
Beranok dalam botol
Timbul tenggelam
Terus masuk gol.

Tarmiji menyanyikan lagu itu dengan penuh khusyuk. Sambil kepalanya berputar-putar mengikut rentak lagu, beliau menghayunkan kaki dengan penuh semangat. Mulut beliau terus terkumat-kamit mengumandangkan lagu tersebut. Mungkin hanya empat bait lirik tersebut sahaja yang diingatnya, kerana dari tadi, gua hanya mendengar itu sahaja yang diulangnya.

" Hai termenung aje? Tak cari kerang ke hari ni? "

Tarmiji menegur gua dengan penuh kemesraan. Gua hanya tersenyum. Gua cukup mengagumi kemesraan Tarmiji dengan penduduk kampung.

" Tak pergi kot Abang Ji. Saya duduk kat rumah aje hari ni. Letih! "

Tarmiji ketawa mendengarkan jawapan gua.

" Hai, tak menikah lagi pun dah pandai letih ke? "

Soalan beliau gua biarkan tergantung sebegitu sahaja. Gua tidak suka menjawab soalan yang berkait dengan isu peribadi gua. Gua ingin berkahwin, namun setakat ini, tidak ada seorang lagi calon yang mampu menambat hati lelaki gua ini. Lagi pula, gua hairan, Tarmiji belum menikah juga, namun soalan yang dilontarkan olehnya seolah-olah dia sudah menikah.

Tarmiji merupakan salah seorang penduduk kampung gua yang sangat ramah. Semua orang di kampung ini mengenalinya sebagai seorang yang ramah. Pantang sahaja nampak seseorang, Tarmiji pasti menegurnya. Paling kurang, beliau akan mengucapkan salam. Keramahannya mengalahkan ustaz tadi. Tarmiji kemudian berpaling ke arah gua dan melambai-lambaikan tangannya sebelum berpaling ke depan, memulakan perjalanannya yang tiada berpenghujung itu kembali.

Di lengannya terlekat jarum dadah terhayun-hayun tiap kali beliau melangkahkan kakinya.

Cerita Sekolah.

Aku rasa sudah lama benar aku tidak menulis. Tidak mengemaskini entry belog aku ini. Berada di rumah, aku jarang sekali dapat berinternet. Bukan kerana tiada jaringan internet di rumah, tetapi aku kerapkali keluar rumah. Keluar, berjalan-jalan mencuci mata. Jika mataku boleh dicuci dengan sabun, sudah tentu aku tidak keluar dari rumahku. Aku hanya berteleku di sebalik telaga sambil menggenyeh sabun basuh Attack di kedua-dua biji mataku ini. Namun jika aku berbuat demikian secara terus-terusan, nescaya aku boleh menjadi buta. Aku tidak mahu menjadi buta, aku sayang dengan nikmat Allah ini. Oh ya, mencuci mata dengan melihat alam yang dicipta Allah, jangan anda semua berfikir yang bukan-bukan. Berada di UIAM ini,membolehkan gua berilham mencari cerita baru, berkisarkan pengalaman hidup sendiri dan diolah secukup rasa bisa untuk dibuat modal mengemaskini belog ini, kerana aku tidak gemar bercerita kisah hidupku kepada orang ramai. Aku malu. Ya, aku kenal erti malu. Apa? Aku tidak kenal erti malu? Mana ada, tidak benar semua itu, aku kenal erti malu. Siapa bilang aku tak malu? Siapa? Bapak aku? Oh, kalau begitu mungkin benar aku tidak malu. Shit.

Bedtime Stories bersama Gua, ceritanya begini.



"Kau pikirlah Salleh, anak kau nak kerja apa besar nanti? Apa anak kau nak makan nanti? Sikit-sikit nak hantar sekolah agama, sikit-sikit nak hantar sekolah agama, sikit-sikit nak hantar sekolah agama, sikit-sikit nak hantar sekolah agama, sikit-sikit nak hantar sekolah agama."

Bapak gua tersenyum mendengarkan kata-kata Dato' Sulaimin yang berulang-ulang itu. Hampir lima kali beliau mengulang-ngulang kata-katanya. Beliau hanya berhenti sewaktu bapak gua bertanya samada beliau letih atau tidak mengulang-ngulang kata-katanya. Beliau menjawab tidak letih, ingin diulangnya lagi, namun niatnya terhenti apabila bapak gua berhujah,

"Tak apalah Sulaimin, anak aku, aku punya sukalah nak hantar sekolah agama ke, sekolah konvensional ke, sekolah pondok ke, sekolah grammar ke, sekolah teknik ke, dan berbagai-bagai sekolah lagi."

Gua hanya tersenyum mendengarkan kata-kata bapak gua. Bapak gua agak kelakar orangnya, agaknya gua mengambil sifat kelakar daripadanya, bukan daripada emak gua. Emak gua seorang yang mementingkan kesempurnaan dan serius. Jika kakak-kakak gua mengelim karipap dengan sambil lewa, emak gua pasti akan mengatakan kakak gua mengelim karipap dengan kaki. Lihat, kelebihan yang perlu ada pada anak-anak gadis suatu masa dahulu. Namun pada zaman sekarang, keupayaan mengelim karipap di kalangan anak-anak gadis mula kurang setelah wujudnya acuan karipap. Anak-anak gadis hanya pandai mebuat penkek, kek batik, kek batik lepas dan pelbagai lagi jenis-jenis kek yang gua cepat muak apabila memakannya. Namun jika karipap, diberi setalam kepada gua, insyallah gua mampu habiskannya. Bak kata jiran gua, specialty gua adalah makan.

Bapak gua kemudian menyambung hujahnya dengan mengatakan semua anak-anaknya yang dihantar ke sekolah agama semua berjaya dalam hidup. Jika ada di antara mereka yang tidak mampu menjawat jawatan besar-besar, namun mereka mampu untuk menjadi imam sembahyang jenazah, imam masjid, dan juga memenuhi undangan berceramah di mana-mana masjid.

"Aku bukan apa Salleh, semua anak-anak engkau, engkau nak hantar sekolah agama, biarlah seorang jadi doktor ke, jurutera ke, arkitek ke. Engkau tak rasa rugi ke?"

Dato' Sulaimin masih berkeras dengan hujahnya, menegah bapak gua menghantar anak bongsunya ke sekolah agama.

Bapak gua hanya diam. Beliau kemudian merenung ke arah gua lalu bertanyakan soalan yang agak sukar dijawab. Gua hairan, kenapa tiba-tiba beralih ke arah gua. Gua tidak ada kena mengena.

"Engkau sekolah mana dulu?"

"Sekolah orang putih pak." Tenang gua menjawab.

"Aliran apa kau ambik dulu?"

Bapak gua ni kenapa, detik hati kecil gua. Kenapa tiba-tiba bertanyakan gua soalan mengarut sedemikian. Tadi bercakap pasal adik gua yang baru sahaja masuk sekolah agama, sekarang tiba-tiba mengutarakan soalan-soalan KBKK kepada gua. Namun gua tetap menjawabnya. Ikutkan hati, mahu sahaja gua pergi menghidupkan enjin motosikal gua lalu pergi ke sungai mencari kerang. Namun gua malas.

"Aliran sains pak."

"Kau nak jadik doktorla masa kecik-kecik dulu kan?"

"Haah pak. Nak jadik doktor. Bapak ni kenapa?"

Gua bengang. Gua mahu tahu kenapa bapak gua tanya soalan bukan-bukan. Gua bukan kaunter pertanyaan. Gua anak beliau. Anak beliau yang paling kacak.

"Tak adalah, bapak saja je tanya. Sekarang kau kerja apa?"

"Gua terkebil-kebil kemaluan. Gua akhirnya paham niat bapak gua. Gua memandang bapak gua dan Dato' Sulaimin yang menunggu jawapan gua dengan penuh sabar, lalu menjawab soalan bapak gua tadi dengan penuh unsur tersipu-sipu malu.

" Tengah cari lagi pak. "

Bapak gua kemudian ketawa sambil berkata kepada Dato' Sulaimin tentang sesuatu yang membikin gua panas.

" Kau tengok Min, macamana aku tak takut hantar sekolah lain dari sekolah agama. "

Gua angkat kaki ke sungai, ingin mencari kerang.