Bangun awal pagi, anda kaya dengan inspirasi.
Bangun pagi, gua selalunya akan bersiap-siap untuk ke laut. Namun pada pagi Jumaat ini, niat gua terbantut apabila gua mendapat berita bahawa gua akan berjiran dengan seorang ustaz dari Kuala Lumpur. Menurut sumber berita gua, ustaz ini merupakan satu-satunya cucu Pak Mang Orang, tuan punya rumah sebelumnya. Pak Mang Orang meninggal pada bulan lepas, maka rumah itu diwasiatkan kepada cucunya itu. Kebetulan pula guru agama itu ditugaskan mengajar di sekolah rendah kampung gua ini, maka keadaannya ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Gua tak faham, kenapa perlu orang mengantuk sahaja sesuai disorongkan bantal. Bagaimana dengan orang yang tidak mengantuk?
Arwah Pak Mang Orang merupakan salah seorang yang misteri. Arwah digelar 'orang' kerana beliau suka membahasakan dirinya sebagai 'orang', dan bukannya 'saya' atau 'aku'. Oleh yang demikian, beliau digelar Pak Mang Orang.
Bunyi enjin kereta mematikan lamunan gua. Honda Odyssey. Gua kagum. Gua hanya mampu memakai motorsikal EX5 sahaja. Itupun motor bapak gua. Gua tidak berkenderaan. Tidak lama kemudian, tuan kepada kereta tersebut keluar. Berkopiah, berbaju melayu Raihan, dan di sampingnya seorang wanita berpurdah. Mungkin isteri beliau, getus hati gua. Gua yang sedang mengelamun di atas tangga ditegur oleh emak gua supaya menolong ustaz tersebut mengangkat barang-barangnya. Tanpa berlengah, gua turun menuju ke arah ustaz tersebut. Sewaktu mencapai selipar Jepun, gua mengukir senyuman kepada ustaz tersebut. Beliau hanya melihat sekilas lalu senyuman gua lalu mengalihkan pandangannya mengangkat barang-barangnya menuju ke arah rumah barunya.
" Assalamualaikum, banyak tak barang tu ustaz? Biar saya tolong ustaz. "
Gua memulakan perbualan dengan ramah sekali.
" Waalaikumsalam, tak apa, saya buat sendiri. "
Dingin. Pelawaan gua hanya dibalas dengan jawapan dingin oleh beliau. Gua beralah, terus ke arah tangga rumah gua kembali. Tempat gua mengelamun seperti biasa. Sambil menggulung rokok daun, gua terus melihat beliau dan isterinya menguruskan barang-barangnya. Selepas semua barang-barangnya dimasukkan ke dalam rumah, beliau memparkir keretanya betul-betul di hadapan rumah gua, di bawah pokok asam jawa.
" Itu tempat parkir kereta bapak saya tu ustaz. "
Gua cuba menerangkan keadaannya kepada beliau dari rumah gua. Bimbang bapak gua balik dari pekan nanti terkial-kial mencari parkir nanti. Ustaz tersebut hanya diam, kemudian berjalan ke arah rumahnya.
" Dam! "
Bunyi pintu rumahnya ditutup rapat. Gua bengang.
"Kurang hajar punya ustaz."
Getus hati kecil gua. Gua kembali duduk di atas tangga rumah gua. Mengelamun. Sedang enak mengelamun, gua terdengar suara kasar seorang lelaki sedang menyanyikan lagu. Walaupun suaranya kurang enak, namun kesungguhannya menyanyikan lagu tersebut jelas tertera melalui nyanyiannya.
Mat ming tonjo
Beranok dalam botol
Timbul tenggelam
Terus masuk gol.
Beranok dalam botol
Timbul tenggelam
Terus masuk gol.
Tarmiji menyanyikan lagu itu dengan penuh khusyuk. Sambil kepalanya berputar-putar mengikut rentak lagu, beliau menghayunkan kaki dengan penuh semangat. Mulut beliau terus terkumat-kamit mengumandangkan lagu tersebut. Mungkin hanya empat bait lirik tersebut sahaja yang diingatnya, kerana dari tadi, gua hanya mendengar itu sahaja yang diulangnya.
" Hai termenung aje? Tak cari kerang ke hari ni? "
Tarmiji menegur gua dengan penuh kemesraan. Gua hanya tersenyum. Gua cukup mengagumi kemesraan Tarmiji dengan penduduk kampung.
" Tak pergi kot Abang Ji. Saya duduk kat rumah aje hari ni. Letih! "
Tarmiji ketawa mendengarkan jawapan gua.
" Hai, tak menikah lagi pun dah pandai letih ke? "
Soalan beliau gua biarkan tergantung sebegitu sahaja. Gua tidak suka menjawab soalan yang berkait dengan isu peribadi gua. Gua ingin berkahwin, namun setakat ini, tidak ada seorang lagi calon yang mampu menambat hati lelaki gua ini. Lagi pula, gua hairan, Tarmiji belum menikah juga, namun soalan yang dilontarkan olehnya seolah-olah dia sudah menikah.
Tarmiji merupakan salah seorang penduduk kampung gua yang sangat ramah. Semua orang di kampung ini mengenalinya sebagai seorang yang ramah. Pantang sahaja nampak seseorang, Tarmiji pasti menegurnya. Paling kurang, beliau akan mengucapkan salam. Keramahannya mengalahkan ustaz tadi. Tarmiji kemudian berpaling ke arah gua dan melambai-lambaikan tangannya sebelum berpaling ke depan, memulakan perjalanannya yang tiada berpenghujung itu kembali.
Di lengannya terlekat jarum dadah terhayun-hayun tiap kali beliau melangkahkan kakinya.
2 comments:
kyaaaaaaaaa~~ i can see what are u r trying to sayyyy!! keh keh rasa bijok!
brilliant. kikikikiki.
kekgi lapor ke aku nape mung paham.
Post a Comment