Muram Durja

Sewaktu saya menulis rentasan kecil daripada kehidupan ini, masyarakat Islam sekeliling saya sedang menyambut Ramadhan, bulan yang diwajibkan amalan berpuasa. Waktu ketika rentasan kecil ini ditulis, waktunya malam sekali. Hujan baru sahaja turun di awal senja tadi. Suasana masih lagi dingin, hening dan sunyi. Namun walaubagaimana sekalipun suasana itu berubah, mungkin daripada dingin malam ini kepada hangat, keadaan saya masih sama. Saya masih lagi muram dan saya merasakan ada sebahagian kecil daripada umat manusia di luar sana selain daripada saya yang ikut muram. Bukanlah muram ini menjadi akhlak keseluruhan kepada kehidupan saya atau cara saya bersama masyarakat dalam berbasa-basi atau representasi diri, tetapi ia hanyalah sebagai satu ciri yang agak dominan dalam hidup saya sehari-harian. Begitu juga bagi sebahagian kecil manusia yang berkarakter sebegini, mereka tidaklah senantiasa muram, cuma mereka; boleh saya katakan, mereka memakai topeng kegembiraan di hadapan manusia lainnya dan apabila mereka kembali bersendirian, mereka meluruhkan keseluruhan topeng tersebut, dan menilik cermin mencari di mana silap kehidupan mereka. 

Mencari di mana punca kemuraman. 

Ada yang berkata, kesunyian itu yang menyebabkan kita muram. Kita tidak ada sesiapa untuk berkongsi dan tidak juga mempunyai bahu untuk bersandar. Seolah-olah dunia ini terlalu luas untuk kita bernafas, kita lemas dalam jutaan manusia lain yang cuba melompat-lompat menggapai udara untuk menggerakkan paru-paru mereka bernafas dan akhirnya, kita merasakan kita ini sebenarnya tidak mampu bertanding mendomba diri kita yang kecil ini untuk melawan manusia-manusia alpha lainnya. Maka dengan sebab itu, kita bisa sahaja menyerah daripada cuba melawan, dan kita akur dengan perjalanan hidup kita. Namun, apabila perjalanan hidup kita tidak mengikut aras kegembiraan kita, kita merasa sedih dan gelisah, dan ditambah dengan kesunyian yang kita ada, kegelisahan dan kesedihan itu tidak mampu kita salurkan kepada siapa-siapa. Kita akhirnya bermuram sendirian. Kemuraman itu kita akhirnya memegangnya sungguh-sungguh, hingga kita merasakan bahawa muram itu adalah kehidupan kita yang sebenar.

Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu.

Pernah juga saya merasa, dalam proses perlawanan kita untuk menggapai apa yang kita hajatkan dalam segerombolan ramai manusia, saya diserang rasa gemuruh. Jantung saya berdetak kencang seolah-olah saya berhadapan dengan seekor raksasa gergasi yang cuba untuk memakan saya sedikit demi sedikit. Tetapi saya selalu dan biasanya tidak ketahuan, apakah representasi fizikal raksasa gergasi yang saya takuti itu secara realitinya. Dan inilah yang mendorong saya untuk berfikir dengan lebih dalam, apakah ketidaktahuan saya itu sendirilah yang menampakkan dirinya sebagai raksasa gergasi atau masih ada entiti-entiti lain seperti nasib, masa depan atau rezeki yang ada dialami oleh saya tanpa saya mengetahui apakah ia itulah representasi kepada raksasa gergasi?

Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu. 

Pernah juga saya dikhabarkan oleh seorang rakan, kemungkinan ketidakupayaan kita menggapai sesuatu yang kita hajatkan berbanding kitaran manusia lain di sekeliling kita itulah yang menyebabkan kita muram. Saya cuba contohkan, ia seperti usaha menggapai entiti-entiti kosong yang dianggap kejayaan untuk dunia kita ini, berpindah daripada satu kejayaan kepada kejayaan lain seperti peralihan abjad daripada A kepada B kepada C dan seterusnya sehingga kepada Z atau bahkan infiniti. Dan bagi rakan saya, kegagalan dalam mencapai usaha ini merupakan puncak utama kepada gunung kemuraman. Namun, bagi saya, kitaran ini dilalui semua manusia, dan saya tidak merasakan ia merupakan masalah atau punca kepada muram kerana tidaklah dikatakan seseorang itu jahat atau bodoh apabila dia cuba untuk memperbaiki nasib kehidupan mereka atau cuba untuk mengangkat strata kehidupan mereka daripada masyarakat marginalis kepada masyarakat aristokratis. Apakah ia salah?

Saya tidak tahu, dan saya tidak berminat untuk tahu.

Tetapi, ada juga benarnya apa yang dikhabarkan kawan saya ini kerana apabila kita melihat kepada percubaan-percubaan manusia dalam usaha mereka ini, kita biasanya mampu melihat hasilnya biasanya akan terbahagi kepada dua, iaitu gagal dan berjaya. Saya tidaklah cuba menampilkan usaha ini kepada bentuk binari hitam dan putih sahaja, yakni gagal dan berjaya sahaja, saya tahu, di antara dua ini ada sesuatu yang berwarna kelabu campuran hitam dan putih yang saya rasakan berada di antara lipatan gagal dan berjaya. Mungkin boleh kita namakan sebagai sedang-sedang, tidaklah gagal dan tidaklah berjaya. Tetapi, dua bentuk hasil ini merupakan yang paling dominan, kerana dalam seseorang itu berusaha, apabila dia tidak mencapai target yang diinginkan, walaupun mulutnya berkata itu adalah sedang-sedang, atau sudah cukup, dia sebenarnya sudah gagal. Cubalah sahaja kita pusingkan ia bagaimana sekalipun, jika kita tidak mampu membidik tepat kepada sasaran yang kita hajatkan, kita itu sebenarnya gagal. Namun, maafkan saya, saya masih lagi tidak berani mengatakan apa yang saya katakan ini tepat belaka.

Kerana saya tidak tahu dan tidak berminat untuk tahu.

Daripada dua hasil ini, saya simpulkan, ia menjadi punca kepada kemuraman. Jika seseorang itu gagal memperolehi apa yang diinginkan, ada yang menghala kepada kemuraman, ada yang sebahagiannya yang berhati kuat, tidaklah menghalakan dirinya kepada arah muram durja, bahkan menganggapnya sebagai motivasi penguat diri. Itu bagi saya, perkara normal yang tidak perlu diperbahaskan dengan lebih lanjut. Itu juga apa yang diperbahsakan rakan saya. Namun, yang sudi saya bangkitkan sebagai persoalan, atau apa yang biasanya saya hairankan, kenapa masih ada yang sudah memperolehi kejayaan itu masih lagi bersifat muram? Sedangkan jika dibandingkan dirinya dengan yang gagal, dia jauh lagi terkehadapan dan berjaya. Namun masih lagi dia muram dan tidak merasa cukup.

Mungkin ini saya tahu, dan saya berminat untuk tahu. 

Tetapi apa yang saya tahu biarkan lah dalulu kerana barangkali esok dan lusa saya bertemu rentasan-rentasan hidup manusia lain yang sudi membicarakan perihal ini. Biarkan sahaja hari-hari membongkar segala ketidaktahuan saya ini kerana saya sudah malas untuk menulis. Saya ingin baring sebentar bersama ketidaktahuan.

Kerana ketidaktahuan itu kadang-kadang mengangkat kita jauh daripada muram.

Pemuda-Pemuda Keresahan

Sebagai seorang pemuda yang masih lagi bersari dengan kepemudaannya, sering sahaja saya ini tertanya-tanya, kepemudaan seseorang itu sebenarnya tertakluk kepada penaklukan apa? 

Ada yang berkata muda-muda itulah puncak segala kegilaan; ada yang ditimpa kegilaan dalam mencari dan menakluk rezeki atau lebihan dagang, atau juga ada yang berkata kegilaan dalam kepemudaan itu adalah kepayang dalam buku-bukunya atau bersimpuh dengan guru-gurunya dalam mencari arak ilmu, atau sahaja mungkin kepemudaan itu adalah usaha penaklukan sebuah entiti kebebasan; bertegang urat marih menjerit menginginkannya daripada sesebuah sosok kezaliman, atau barangkali mungkin sahaja kepemudaan itu adalah anti-penaklukan; pemuda yang kegilaan dalam keengganannya menjadi bebal menurut manusia lain, seperti pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang dipaparkan berontak kepada sebuah kerajaan di  zamannya. 

Jadi soalannya, kita ini pemuda yang gila mencari apa?

Saya senang sekali apabila berhadapan dengan pemuda-pemuda yang kegilaan seperti saya. Resah dan gelisah, mereka inginkan suatu kata penamat kepada ketidaktenteraman jiwa mereka. Mereka tidak menganggap dunia ini sebagai tempat untuk mereka bahagia. Bahkan perkataan dunia (Arab: dunyā) itu menurut bahasa rasmi agama kita, bahasa Arab, adalah satu kalimah yang mencerminkan makna yang terbawah, hasil daripada kata kerja adnā (membawah). Maka mustahil suatu tempat yang berada pada peringkat bawah itu mampu memberi kebahagiaan kepada seseorang itu.

Menanggapi dunia ini seolah-olah segalanya, mencintai kehidupan dan lebih banyak menikmati hidupnya itulah yang menjadikan seseorang itu sebenarnya mati dalam dunia ini. Kerana perbuatannya yang terlampau cintakan dunia itu yang mematikannya, bukan selepas ajalnya, bahkan sewaktu dia itu hidup, dia bahkan telah lama mati dengan keasyikan, atau dihinggapi penyakit yang seperti-seperti dengannya atau apa yang Barat bahasakan; conspicuous leisure.

Jadi bagaimana keresahan pemuda-pemuda yang saya senang bersama dengannya?

Keresahan yang saya maksudkan adalah keresahan dalam mencari makna hidup. Bagaimana mencari akan kehidupan itu menghidupkannya? Bagaimana mungkin bezanya pemuda-pemuda ini dengan para pencinta hidup yang saya khabarkan sebelum ini sedangkan kedua-duanya mencari kehidupan? Ada manusia, semakin gemuk dibajai makanan dan nikmat dunia, sebenarnya tidaklah beruntungkan apa-apa melainkan kebodohan. Itulah golongan pertama. Berbeza dengan mereka adalah golongan kedua, pemuda-pemuda yang saya senangi. Mereka mencari makna kehidupan, bukan sekadar hidup materi.

Mereka inilah nanti yang makin kontang jasmani, tetapi tasik rohaninya.

Maka atas dasar begitulah, pemuda-pemuda ini walaupun kurus kontang, mencari makna hidup, semakin digali kehidupan mereka -waktu hidupnya atau walaupun selepas mati- semakin nyata mereka berisi dengan pemaknaan kehidupan, dan semakin berhasil orang-orang sekalian itu berhasil sesuatu makna daripadanya, berbeza sekali dengan yang gemuk materi, apabila mati yang mereka takuti itu tiba, mereka akan habis bersama dengan tulang-tulang dan daging-daging mereka.

Tidak dikenang orang, diingat manusia.