Ayah Pesan.

Ayah aku selalu memesan aku dengan nasihat. Banyak nasihat yang aku dapat dari mulut dia. Walaupun ayah seorang yang 'direct to the point', namun segala nasihat yang diberi amat kena pada tempatnya. Sekali terkena, selamanya terasa. Dan biasanya, ayah aku selalu memberikan nasihat sewaktu makan pagi. Oleh kerana aku kadang-kadang tidur selepas Subuh, aku tidak sempat mendengar nasihat daripada ayah aku. Walaubagaimanapun, nasihat-nasihat dan pesanan-pesanan ayah aku biasanya akan diulangtayang pada waktu Maghrib pula. Mujurlah ada sistem rancangan ulangan di dalam hierarki keluarga aku. Jadi aku masih tidak ketinggalan. Walaupun ketinggalan, namun aku masih sempat mengejar. Walaupun aku mengejar dengan lambat, aku masih mengejar. Dan dengan izin Allah, aku pasti akan sempat.

Sebenarnya, aku suka untuk berkngsi dengan kamu semua nasihat-nasihatnya. Bukan dikongsi dengan karangan, tetapi dengan seloka. Ayah aku hanya memberi nasihat dengan menggunakan loghat Terengganu sahaja. Tidak pernah walau sekali menggunakan bahasa baku. Apatah lagi berseloka, berpantun, bergurindam dan ber-ber yang lain. Aku sengaja menggatalkan diri.

Ayah Pesan.

Ayah selalu berpesan padaku.
Tentang sembahyang jagalah kamu.
Tiang agama itulah perlu.
Ditinggal akannya rosaklah dirimu.

Ayah selalu berpesan padaku.
Sabarlah kamu dalam hidupmu.
Masalah mendatang barang yang tentu.
Sebaliknya hikmah sedia bertamu.

Kepadaku selalu ayah berpesan.
Berhatilah kamu dalam berkawan.
Yang buruk itu diikut jangan.
Baik itulah perlu ditawan.

Kepadaku selalu ayah berpesan.
Jangan diikut nafsu dan syaitan.
Waima kamu di luar lingkungan.
Al-Quran dan Sunnah itu pegangan.

Kepadaku berpesan akan ayah.
Hidup ini nak bukanlah mudah.
Jangan percaya dunia yang indah.
Kelak dirimu tertinggal ibadah.

Kepadaku berpesan akan ayah.
Hendaklah dijaga akan amanah.
Bahawa jangan dibuat mudah.
Kelak hidupmu dikunjung padah.

Berpesan ayah bersungguh hati.
Jangan menyombong meninggi diri.
Harta yang banyak tidak bererti.
Jika akhlakmu tidak berperi.

Berpesan ayah bersungguh hati.
Hendaklah kamu menjaga diri.
Bersedialah kamu hadapi mati.
Kerna itulah barang yang pasti.

Pesan ayahku bersama kasihnya.
Sabarlah kamu dalam bercinta.
Jangan terburu mengikut hawa.
Kelak merugi diri merana.

Pesan ayahku bersama kasihnya.
Hatimu itu adalah raja.
Terlalu diikut kamu sengsara.
Gunakan akal jadikan batasnya.

Birapantai.
26hb Mei 2010.

2 comments:

Anonymous said...

nice....
suke sgt ngan 'waima'?? kt ne2 mesti de...haha

Mat Pih said...

erk. bukan suka. 'waima' tu rasenye ade 1 je kat atas tu. tp thx 4 ur komen.

Post a Comment