Cerita Rokok.


Aku bosan, jadi aku menulis lagi. Sebenarnya aku memang suka menulis. Tapi seperti biasa, aku tidak gemar menulis kisah hidup aku. Cuma kisah rekaan diolah berdasarkan pengalaman sendiri. Selamat membaca, Bedtime Stories bersama Gua. Oh ya, kisah kali ini disertakan dialog menggunakan loghat Terengganu, namun aku sertakan juga terjemahannya. Kalau tak faham juga, maaf. Aku tidak dapat membantu lagi.

Angin sepoi-sepoi bahasa. Membawa perasaan nyaman menjalar di dalam dada gua. 5 tahun berada di ibu kota, bekerja untuk mencari rezeki dan membuktikan diri kepada bapak gua bahawa gua juga boleh berjaya walaupun tidak berkelulusan tinggi, sememangnya memberi beban yang berat kepada jiwa gua. Namun begitu, kesemua bebanan itu hilang apabila gua terpaksa pulang ke kampung kerana dipecat. Dipecat dari menjawat jawatan sebagai jaga di sebuah kilang rokok di ibu kota. Apabila berada di kampung, perasaan resah dan gelisah hilang apabila dikelilingi pohon kelapa, pantai yang indah dan bunyi ombak yang menghempas pantai. Mereka semua membunuh perasaan kurang senang di dalam jiwa gua ini.

" Doh guane yang duduk nengung sangat tu? "
" Kenapa yang duduk termenung sangat tu? "

Teguran Ayah Wang mengejutkan gua dari lamunan gua. Mungkin beliau sudah lama memerhatikan gua dari tadi. Termenung di atas bangku yang diberbuat daripada batang pohon kelapa, menghadap pantai, menyedut udara segar yang membawa rasa-rasa masin air laut sambil menyedut asap rokok dengan khusyuk. Namun mungkin beliau tidak memerhatikan gua. Mungkin sahaja gua perasan.

"Ah, terlalu banyak kemungkinan. "

Getus hati kecil gua.

" Dari tadi doh Ayoh Wang tengok mung nengung. Ade masaloh ke? "
" Dari tadi Ayah Wang tengok kamu termenung. Ada masalah ke? "

" Tak dok mende Ayoh Wang eh. Saje je duduk nengung, mmikir masa depan. "
" Tak ada apa-apa Ayah Wang. Saja duduk termenung, fikirkan masa depan. "

Ayah Wang ketawa mendengarkan jawapan gua. Beliau tersenyum lebar menampakkan gigi-giginya yang sebesar ibu jari bayi-bayi yang baru lahir itu. Rongak, tidak tersusun, namun masih lagi terdiri daripada gigi-gigi asli. Bukan gigi palsu.

" Dok soh mikir sangatlah masa depan tu. Sabor, segala ujian Allah ni ada hikmah die belake. "
" Jangan fikir sangatlah masa depan tu. Sabar, segala ujian Allah ni ada hikmah dia belake. "

Gua ikut tersenyum. Dalam hati kecil gua, hanya tuhan sahaja yang tahu penderitaan batin yang gua alami. Ayah Wang mungkin cuba untuk menenangkan hati gua, namun beliau hanya mampu berkata-kata tanpa merasa apa yang gua rasakan.

" Memang Ayoh Wang dok buleh rasa sama macam nape mung rase, tapi Ayoh Wang pernoh rase hok lebih kurang same. Koho teruk lagi ade. "
" Memang Ayah Wang tak boleh rasa sama macam apa yang kamu rasa, tapi Ayoh Wang pernah rasa yang lebih kurang sama. Lagi teruk ada. "

Gua sedikit tertarik mendengarkan kenyataan Ayah Wang. Sepertinya Ayah Wang ini mampu membaca hati gua. Orang tua, sudah tentu banyak pengalaman hidupnya. Hampir 6o tahun sudah Ayah Wang hidup di atas bumi ini, sudah tentu banyak pengalaman pahit dan manis yang pernah dirasainya, sudah tentu ramai orang yang pernah ditemuinya. Pengalaman, suatu benda yang amat berharga.

" Ayoh Wang pernoh rase mende hok lebih kurang same? Nape Ayoh Wang rase? "
" Ayah Wang pernah rasa sesuatu yang lebih kurang sama? Apa yang Ayah Wang rasa? "

Gua teruja, ingin mengetahui pengalamannya. Mungkin gua boleh mendapatkan sesuatu yang berguna berdasarkan pengalamannya.

" Buwi rokok sebatang ke Ayoh Wang, baru Ayoh Wang royak. "
" Bagi rokok sebatang ke Ayah Wang, baru Ayah Wang bagitahu. "

" Eh banyak songeh pulak orang tua ni. "

Detik hati kecil gua. Orang nak berkongsi pengalaman dia pun dikenakan upah juga. Gua terpaksa beralah memikirkan pengalaman berharga daripadanya yang mungkin dapat gua jadikan pedoman suatu masa hari nanti.

" Fuhhhhhhh. "

Ayah Wang menghembuskan asap rokok ke arah muka gua dengan selamba. Kurang ajar sungguh orang tua ini. Gua masih beralah. Cuba menunggu kata-kata hikmahnya lagi dengan penuh kesabaran.

" Sembelit. Ayoh wang rajin sembelit gok dulu. "
" Sembelit. Ayah Wang pernah sembelit jugak dulu."

Sambil tersenyum, Ayah Wang menjawab soalan gua sebentar tadi dengan penuh yakin. Namun begitu, gua sedikit hairan, kenapa pula orang tua ini menceritakan pengalaman sembelitnya secara tiba-tiba, gua tertekan bercampur hairan mendengarkan kenyataan berkisarkan masalah sembelit beliau. Gua bukannya sembelit. Gua cuma bimbang tentang keadaan gua yang masih menganggur ini.

" Doh bakpe tibe-tibe Ayoh Wang cakak pasal sembelit ni? Ambe bukan sembelit, ambe bimbang dok buleh kije je, nganggur pa ceroh. "
" Kenapa Ayah Wang bercakap pasal sembelit ni? Saya bukan sembelit, saya bimbang tak boleh kerja, asyik menganggur sampai ke sudah. "

Gua cuba mendapatkan penjelasan daripada Ayah Wang secara berhemah. Walaupun tertekan, gua tetap berlembut.

" La, ingatkan mung sembelit. Doh dakpelah kalu gitu, terime kasih deh buwi rokok. Lama doh dok isap rokok mahal. Naik harga baru ni. "
" La, ingatkan kamu sembelit. Tak apalah kalau macam tu, terima kasihlah bagi rokok. Dah lama tak hisap rokok mahal. Naik harga baru ni. "

Gua mula terfikir, orang kampung gua ramai betul yang gila.

2 comments:

Anonymous said...

wakakaaa....ayat maut skali "pah mg?"

Mat Pih said...

kikiki. mungkin suda ade belob.

Post a Comment