"Cepat Azmi, kita perlu segera sembunyi, Said semakin menghampiri, aku dapat dengar suara dia dengan jelas tadi."
Rimba mengatur langkah pertama dengan mengejutkan sahabat baiknya itu yang sedang asyik mencungkil kuku kakinya ; dipenuhi dengan segala jenis tahi kuku manusia itu.
"Ah, kali ini kita takkan dapat ditangkap lagi oleh dia, kita pasti akan terlepas, malah jika silap hari bulan, kita pula yang akan menangkapnya. Kah kah kah!"
"Jangan kau bercakap besar Azmi! Dia terer selok-belok kawasan ini!"
Azmi mendengus kepanasan mendengar komen Rimba yang ala-ala menyindir itu. Semenjak kejadian dua bulan lepas, Rimba sudah kelihatan hilang kepercayaannya terhadap ketangkasan Azmi dalam memukul curi.
"Kau tunggu dan lihat, usah bercakap banyak."
Rimba semakin kaget apabila mendengar ayat yang baru sahaja dituturkan Azmi sebentar tadi. Rimba tahu, jika ayatnya berima, maka Azmi serius.
***
Setelah beberapa ketika, Rimba dilihat bersembunyi di sebalik sebatang pohon mempelam dalam keadaan yang amat terdedah. Apakah plan mereka kali ini? Adakah Rimba ingin menyerah diri? Derapan tapak kaki Said semakin hampir.
"Mati aku kali ni, mati aku!"
Rimba semakin takut. Rimba tahu, ajalnya makin hampir. Tetapi mengingatkan kata-kata Azmi sebentar tadi, semangat Rimba kembali berkobar-kobar dalam menghadapi Said.
"Ah, berpantang maut sebelum ajal!"
Selang beberapa minit, Said akhirnya keluar daripada semak di hadapan pokok mempelam tempat Rimba bersembunyi.
"Mana lagi kau mahu lari hah?! Kah kah kah!"
Said ketawa dengan penunh gaya. Kakinya dikangkang seluas-luasnya sambil tangannya menunjuk-nunjuk ke arah Rimba. Gayanya seperti beliau betul-betul berpuas hati.
"Chooo....."
Belum sempat Said menghabiskan kata-katanya, Azmi meloncat keluar daripada tempat persembunyiannya di atas pokok mempelam sambil menjerit perkataan yang amat tidak digemari Said pada waktu itu.
"Choppppp! Jadi balik, jadi balik!"
Rimba tersenyum kelegaan memandangkan Said belum sempat mengecopnya, manakala Said mula sebak kerana dengan ini, beliau akan menjadi tukang cari buat kali ke-5 secara berturut-turut dalam permainan sorok-sorok mereka kali ini.
No comments:
Post a Comment