Tersilap Jangka.

Melihat makanan-makanan yang tersusun rapi dalam bekas, Azmi tahu yang beliau lapar. Beliau perlu mentekedarah sesuatu. Cafe ini pun satu, kenapalah perlu jual mahal-mahal harga makanan? Bukan semua pelajar universiti ini kaya-kaya. Yang ada PTPTN, berlagak kaya sahaja yang ramai. Akhir-akhir semester, meminjam juga.

Sedang Azmi asyik memilih lauk apakah yang bakal diketederahnya, tiba-tiba datang sekumpulan lelaki yang rata-ratanya hanya memakai seluar pendek ke arahnya. Azmi bersiap-sedia dengan kekudanya, memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku dalam masa beberapa saat lagi. Tetapi setelah beberapa minit berlalu, Azmi mula sedar yang sekumpulan lelaki itu datang ke cafe itu sebagai pelanggan, sama sepertinya.

"Ceh, ingatkan musuh tadi."

Azmi sememangnya lelaki yang suka berlagak ramai musuh, sedangkan beliau hanyalah seorang lelaki yang biasa-biasa. Pakainya pun seluar trek Boss sahaja. Itu yang biasa dipakainya setiap hari. Kekuda yang dipasangnya tadi pun hanyalah rekaan, dia bukannya belajar silat. Belajar mengaji pun tidak tamat lagi. Katanya, sewaktu darjah 3, beliau sudah tamat mengaji. Hakikatnya, beliau masih lagi di takuk muqaddam, tidak sempat habis.

"Sangkut dekat 'kul ya'!"

Itu yang selalu dijawab emaknya apabila ditanya orang, apakah Azmi sudah tamat mengaji ke belum. Azmi hanya tersipu-sipu malu apabila mendengar jawapan emaknya itu. Walaupun Azmi tidak tamat mengaji, beliau merupakan seorang lelaki yang sangat beradab. Itu yang dinyatakan oleh emaknya, jika emaknya menipu, maka gua yang sedang berlagak menjadi narrator ini juga menipu.

Beliau tidak suka mengambil hak orang, itu yang diajar oleh bapanya semenjak beliau kecil lagi. Beliau pernah mencuri kaset, itupun sekali sahaja, dan diajar cukup-cukup oleh bapanya. Sehingga ke hari ini, Azmi menjadi rapat dengan kaset-kaset. Kerana kasetlah, beliau tidak lagi mencuri. Kerana kaset jugalah, beliau ditempeleng bapanya di hadapan kedai kaset, bersebelahan restoran bapanya. Kerana kaset jugalah, beliau sering mendapat kaset-kaset secara percuma oleh tauke kedai kaset bersebelahan restoran bapanya itu sehingga beliau berumur 18 tahun.

Selepas umurnya mencecah 18 tahun, tauke kedai kaset itu meninggal, kedainya diambil alih oleh anaknya, yang kini tidak lagi menjual kaset, tetapi CD.

Oleh itu, Azmi berasa sangat tidak bersetuju melihat tindakan kumpulan lelaki tersebut ketika ini. Beliau berasa ingin sahaja menempeleng setiap lelaki dalam kumpulan tersebut. Tapi Azmi sedar, kalau sekali dia menempeleng orang, berkali-kali beliau akan ditempeleng balik oleh orang tersebut. Oleh itu, Azmi mengambil pendekatan secara normal masyarakat Melayu, iaitu menegur dengan mulut.

"Ehem-ehem. Bang, tak baik makan makanan yang kita tak bayar lagi. Biarlah tauke tengok dulu makanan apa kita ambik, lepas tu barulah makan. Macam abang sekarang, makan kacang panjang ni, nanti bila tauke kira ni, bukan masuk sekali kacang panjang yang dah duduk dalam perut abang sebab dia tak nampak abang makan tadi. Haram tu bang."

Azmi pantas mengatur ayat, tertib agar tidak ditempeleng oleh lelaki-lelaki tersebut. Maklumlah, orang bandar perlu ditegur secara intelek, bijak pandailah katakan. Lelaki-lelaki tersebut masih diam, menyebabkan suasana semakin canggung. Ini mendorong Azmi meneruskan hujahnya.

"Tauke mungkin tak nampak, tapi Allah nampak bang."

Pendek sahaja kali ini. Azmi mahu cepat-cepat pergi. Melihat lengan salah seorang daripada kumpulan lelaki terbabit, Azmi tahu, jika beliau ditempeleng, gigi gerahamnya boleh bergoyang. Jerawatnya juga mungkin pecah. Beliau perlu pergi dengan segera, beliau harus. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka mencuit bahu Azmi dan memuncungkan mulutnya ke arah tauke cafe tersebut. Azmi dicuit rasa aneh, "Ada benda tak kena ni", detik Azmi dalam hati.

"Ye, kenapa dengan tauke tu bang?"

Abang itu tersenyum, kemudian mula ketawa seperti Laksamana Fasola dalam cerita Laksamana Do Re Mi.

"Tu pekerja saya, saya tauke sini, ni kawan-kawan saya, kitorang baru habis main futsal."

Azmi tersipu-sipu malu. Namun malunya sekejap sahaja, tak lama kemudian, Azmi dilihat sedang duduk semeja dengan kumpulan lelaki terbabit, terbahak-bahak ketawa sambil menepuk-nepuk mejanya.

No comments:

Post a Comment