Jamal Pasir.

Suatu pagi yang indah, Jamal berjalan kaki dari rumahnya ke arah pantai dengan membawa dua beg plastik berisi pasir. Oleh kerana Jamal seorang lelaki yang baik lag berbudi pekerti, beliau menegur ramai makcik-makcik jalanan yang tengah sibuk beratur membeli sayur di kedai sayur Mat Akil. Makcik-makcik jalanan itupun yang kebanyakan mereka dilahirkan peramah, seringkali membalas teguran Jamal disertai dengan isyarat tangan tanda rock.

"Hai Jamal, banyaknya pasir kat tangan tu, nak buat apa pagi-pagi ni bawak pasir?"

Bab tanya-menanya ni memang makcik-makcik kampung Jamal terer-terer. Sepatutnya, dalam mengorek rahsia, PDRM sepatutnya memanggil makcik-makcik di kampung Jamal untuk sesi interrogation. Mereka memang power dalam mengorek rahsia dan membocorkannya. 

"Goreng buoh minja mok cik." Jawab Jamal sambil berlari-lari anak.

"Ada lagi orang makan buoh minja zaman sekarang. Makan la nasik, makan buoh apa barang, dok payoh susoh cari pasir." Sindir Mak Cik Saodah sambil mengangkat beras cap Rambutan yang dibelinya dengan hanya menggunakan sebelah tangan.

Jamal tersenyum manis. Sindiran Mak Cik Saodah umpama gigitan nyamuk di celah betis sahaja bagi Jamal. Ini kerana Jamal merupakan seorang lelaki yang tahan sindiran, kalaulah disindir sehari, Jamal masih tidak bergerak. Lagi pula, Jamal meminati muzik-muzik tradisional, tidak hairanlah beliau ampuh disindir; dari Tingkatan 2 lagi beliau sudah diejek muka pembunuh hati berbunga oleh rakan-rakan, hanya kerana masuk pementasan Ulik Mayang.

"Tak susah cari pasir ni makcik. Mati besok-besok rumah pasir jugak kita ni. Saya ni muda baguslah dah reti kenal pasir. Ni yang tua ni, tak kenal pasir, bahaya makcik.."

Mak Cik Saodah tersedak kuih koci mendengarkan jawapan Jamal. Sedakannya begitu kuat hingga menyebabkan Mak Cik Ronah termakan sedikit apa yang dibatukkan Mak Cik Saodah.

Nota : Buah minja adalah buah malinja.

Hajat yang Tidak Kesampaian

Satu persatu; jiwamu luruh, matamu bengkak
menangis kerana hatimu retak;
usahlah menangis lagi, airmatamu gasak,
membunuh, menikam, mengoyak,
menyiat-nyiat isi dagingku berselerak,
"Aku lepaskanmu," anggukku tdak berkudrat,
Cukuplah membentak.

Apakah kamu mengira tanaman sayang ini
tidak ku hargai? Yangku baja seluruh hati;
hingga pernah kamu mengangguk, tersenyum sendiri;
"Tangisan gembiraku memonopoli!" Ingatkah ini?
Dalil kebahagiaan engkau kecapi,
mengayuh dayung dalam perahu dunia ini,
berhajatkan sampai ke sana bersama; tidak sendiri.

Seperti sepotong sutera yang lembut lemah;
engkau mudah sekali koyak dan rebah,
"Maafkan aku," tuturku tidak gagah:
"Aku tidak mahu kamu berubah,"
"Menjadi derhaka, hak mereka nyata tidak pernah goyah,"
Walau sekalian ronggaku mengeluarkan darah
berhajatkanmu; hati mereka tidak sesekali berubah.

"Cukuplah tangismu, sayang!" Sinisku
bersama tangisan yang turut menitis laju;
Kamu bahkan lebih bahagia dengan izinMu,
aku yakin dalam doa tulusku.
Usah dihitung keadaan lelaki itu,
dia sedang menulis untukmu,
sehingga jari-jemarinya kaku
tersusun dalam sebuah kotak kayu,
berlapikkan tanah tidak berbatu.

Berlari-lari Jauh.

Pecah berantak keluargamu
dek tindak dan tandukku
bukannya ini kemahuan
juga tidak keinginan
dari seketul jiwa
yang inginkan
penyatuan.

Hamba.


Kamu derhaka, ingkariNya,
kamu bilang kamu cinta
zahirmu
ini bahkan aneh.

Dibatini zauq cinta
melahiri tindak taat
jalan seorang
hamba berjaya.

Kromo Ingin.

Kabut malam ini berselindung,
di balik asap-asap,
kretek membakar.
Ah, sukar, inilah dia.

Apa ini ertinya? 
Jua ini patinya?
Kaku makna barangkali,
dinilai ditimbang,
mata sudut begini.
Ah, menancap tajam hikmahmu.

Setahun ia datang,
sebulan bertahan,
datang hari ini.
Hari ekspresi? 
Riang bersukahati?
Mungkin juga luahan,
kemenangan diri,
atau mungkin ratapan,
tangisi pemergi.

Kudrat keringatmu,
sebelum-sebelum,
secelaka dirimu.
Apakah layak,
kamu girang-girang,
di hari hasil?

Kamu masih bertatih,
kamu belum berpenat jerih.
Hari ini kamu ria?
Bangsat dirimu.
Sebangsat amalanmu.