Jamal Pasir.

Suatu pagi yang indah, Jamal berjalan kaki dari rumahnya ke arah pantai dengan membawa dua beg plastik berisi pasir. Oleh kerana Jamal seorang lelaki yang baik lag berbudi pekerti, beliau menegur ramai makcik-makcik jalanan yang tengah sibuk beratur membeli sayur di kedai sayur Mat Akil. Makcik-makcik jalanan itupun yang kebanyakan mereka dilahirkan peramah, seringkali membalas teguran Jamal disertai dengan isyarat tangan tanda rock.

"Hai Jamal, banyaknya pasir kat tangan tu, nak buat apa pagi-pagi ni bawak pasir?"

Bab tanya-menanya ni memang makcik-makcik kampung Jamal terer-terer. Sepatutnya, dalam mengorek rahsia, PDRM sepatutnya memanggil makcik-makcik di kampung Jamal untuk sesi interrogation. Mereka memang power dalam mengorek rahsia dan membocorkannya. 

"Goreng buoh minja mok cik." Jawab Jamal sambil berlari-lari anak.

"Ada lagi orang makan buoh minja zaman sekarang. Makan la nasik, makan buoh apa barang, dok payoh susoh cari pasir." Sindir Mak Cik Saodah sambil mengangkat beras cap Rambutan yang dibelinya dengan hanya menggunakan sebelah tangan.

Jamal tersenyum manis. Sindiran Mak Cik Saodah umpama gigitan nyamuk di celah betis sahaja bagi Jamal. Ini kerana Jamal merupakan seorang lelaki yang tahan sindiran, kalaulah disindir sehari, Jamal masih tidak bergerak. Lagi pula, Jamal meminati muzik-muzik tradisional, tidak hairanlah beliau ampuh disindir; dari Tingkatan 2 lagi beliau sudah diejek muka pembunuh hati berbunga oleh rakan-rakan, hanya kerana masuk pementasan Ulik Mayang.

"Tak susah cari pasir ni makcik. Mati besok-besok rumah pasir jugak kita ni. Saya ni muda baguslah dah reti kenal pasir. Ni yang tua ni, tak kenal pasir, bahaya makcik.."

Mak Cik Saodah tersedak kuih koci mendengarkan jawapan Jamal. Sedakannya begitu kuat hingga menyebabkan Mak Cik Ronah termakan sedikit apa yang dibatukkan Mak Cik Saodah.

Nota : Buah minja adalah buah malinja.

No comments:

Post a Comment