Beras Cap Rambutan.



Jika anda pernah mendengar jenama beras 'Cap Rambutan', anda akan tidak mengalami masalah membaca entry berbentuk peribadi ini. Entry ini seraus peratus berkait dengan beras 'Cap Rambutan'. Pernah dengar lagu beras ini? Jika belum pernah mendengarnya, gua saran, buka radio, putar siaran Hot FM, tunggu iklannya. Lagunya boleh tahan menarik. Tapi gua belum pernah karaoke lagu ini di mana-mana pusat karaoke. Oh ya, dah tengok cerita 2 Alam? Gua Belum tengok, sebab gua tak termakan cara pemasaran dR Rozmey. dR Rozmey, gua tetap kagum dengan anda. Biasalah jika malu sikit-sikit.

Begini ceritanya. Suatu petang yang damai, gua menaiki kereta gua dengan niat untuk bersiar-siar di sekitar Kuala Terengganu. Di samping itu, gua ingin ke bandar Kuala Terengganu untuk meninjau harga sedikit aksesori kamera gua. Dalam perjalanan ke sana, gua bertemu banyak lampu isyarat. Sudah tentu banyak lampu isyarat yang gua ketemu, kerana gua dalam perjalanan ke bandar Kuala Terengganu, bukannya dalam perjalanan ke mana-mana ladang kelapa sawit atau getah di sekitar felda-felda masyhur di semenanjung Malaysia. Jika itu yang gua tuju, sudah tentu gua hanya bertemu dengan tenggiling-tenggiling yang laris dicari untuk dibuat makanan eksotik. Namun begitu, publisiti tenggiling kini makin merudum setelah kemunculan cicak tokek penawar AIDS.

Sesampainya gua di persimpangan lampu isyarat di sekitar Gong Badak, gua berhenti kerana lampu merah. Jika gua melanggar lampu merah, gua sudah dikira pesalah jalanraya, jadi gua berhenti. Sewaktu berhenti, radio kereta gua memainkan sebuah lagu yang gua kira, sungguh rancak dan menarik. Kenapa gua berkata sedemikian? Ini kerana gua terbawa-bawa hingga menyanyi sama lagu tersebut. Suara gua yang agak sumbang ini terus berkumandang bersama-sama dengan lagu tersebut. Bergerak seiringan. Gua berasa sungguh puas dapat menyanyikan lagu tersebut dengan nyaring, kuat dan sesumbang yang gua mampu. Tersengih gua kepuasan.

Dalam keadaan gua tersengih, gua merasakan seseorang sedang memerhatikan tingkah laku jijik gua sebentar tadi. Berpaling ke kanan, tiada kereta atau kenderaan lain, berpaling ke kiri, nah, wujud sebuah skuter, dan penunggangnya adalah seorang gadis cantik, membonceng seorang lagi gadis yang gua kira juga cantik. Yang di belakang sedang ketawa berdekah-dekah menepuk bahu yang di depan, yang di depan pula tersenyum sambil melihat gua. Gua dapat mendengar suara si pembonceng ketawa dengan jelas dek cermin tingkap gua yang terbuka. Gua tak paham kenapa mereka tersenyum dan ketawa melihat gua.

Bukankah lagu beras 'Cap Rambutan' cukup catchy?

Gua tak rasa gua 'lame' bila menyanyikan lagi tersebut dengan bersungguh-sungguh.

Selipar.

Selamat pagi dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya. Semoga hari anda semua bermula dengan indah. Sekarang aku lebih suka menulis entry-entry aku dengan menggunakan tulisan yang lebih skema, padat dan tersusun. Jika dahulu aku tidak suka akan mereka yang terlau skema, kini aku semakin menyukai gaya skema. Namun aku masih tidak mengamalkan sikap meletak sikat di poket belakang mahupun menulis diari di kala bosan. Aku hanya suka menulis blog.

Jumaat lepas aku ke masjid. Aku jumpa sepasang selipar.

Ini contoh sahaja.


Seliparnya adalah sejenis selipar yang diperbuat dari getah. Selipar berjenama 'Bowling'. Dan pada selipar itu, wujud sepasang mangga. Mangga kunci. Dirangkum bersama untuk mengunci sepasang selipar tersebut, dengan kemas, utuh dan jitu. Dan di sebelah selipar 'Bowling tersebut, wujud selipar aku. Selipar 'Nike'. Aku beli dekat Al-Ikhsan, asli, bukan tiruan, dan mahal. Aku terpana.

Dalam hati ini terdetik, tak semua mampu bersenang-lenang seperti kita.

Hargai apa yang ada.

Cerita Mengumpat.

Ini entry ketiga aku untuk cerita-cerita “Bedtime Stories bersama Gua”. Sebenarnya aku sengaja buat slot ini sebab aku tak ada modal sangat nak menulis tentang kisah hidup aku. Tak ada apa yang menarik berkisarkan hidup aku. Entry ini segar dari ladang, cerita yang baru aku dapat pada petang tadi. Aku dapat ilham, aku terus tulis.



Hidup segan, mati tak mahu. Beginilah ibaratnya gua setelah diberhentikan kerja setengah jam yang lalu. Baru sahaja gua mendapat kerja sebagai seorang jaga tujuh hari yang lepas, gua sudah diberhentikan kerja. Tapi semua ini berpunca dari gua. Gua sebagai seorang jaga seharusnya sentiasa dalam keadaan berjaga, namun gua selalu berada dalam keadaan tertidur. Apa kejadahnya? Terngiang-ngiang suara Wan Kamaruddin daripada rancangan Edisi Siasat di NTV7. Wan Kamaruddin merupakan salah seorang selebriti Malaysia yang gua minat selain Nasir Bilal Khan. Tiz Zaqyah dahulunya masuk senarai juga, namun selepas cinta gua ditolak mentah-mentah, gua sedar siapa diri gua. Gua kecewa, namun gua tidak menangis. Gua hanya menangis sewaktu melihat cerita Cinta Si Penggali Kubur. Gua menangis melihat seorang yang terencat akal mampu menggali kubur dengan tersenyum. Apa kejadahnya? Sekali lagi suara Wan Kamaruddin muncul di dalam ruang minda gua.

"Eh, awal kau balik hari ni? "

Gua sedikit terkejut apabila disapa oleh makcik yang menyewa di sebelah rumah gua. Gua terkejut kerana selama ini beliau tidak pernah menegur gua, hanya gua yang menegur anak gadisnya.

" Awallah sikit, saya tak berapa nak sihat makcik. "

Pandai gua berdalih. Padahal gua dipecat, diberi notis berhenti 24 jam. Minat gua yang mendalam terhadap lakonan Nasir Bilal Khan membolehkan gua berlakon di hadapan makcik ini dengan selamba.

" Tak sihat? Tak sihat la. Dah kena buang kerja, nak sihat macamana ye tak? "

Gua terdiam. Macamana makcik ini dapat tahu gua kena buang kerja. Jika makcik ini menggunakan Google, gua belum pasti ada blog-blog menyiarkan kisah gua dibuang kerja. Gua bukan artis.

"Eh, bila pula saya kena buang kerja makcik. Ada-ada je makcik ni bergurau. "

Gua tersenyum, masih menafikan perihal gua dibuang kerja. Gua memang pandai dalam bab nafi-menafi.

"Makcik tahu la. Semua orang dah bercakap pasal kau kena pecat dari jadi jaga flet kawasan ni."

Gua tidak dapat menafikan lagi kenyataan gua dibuang kerja setelah gua mendengar kenyataan makcik tersebut.

"Cepat makcik tahu ye. Saya baru nak sorokkan dari orang lain. Malu."

Gua cuba menutup malu dengan muka gua yang tidak beberapa malu setelah tembelang gua terbongkar. Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman.

"Tak payah malulah, makcik tahu semua benda yang terjadi dalam kawasan flet ni."

Jawab beliau sambil tersenyum nipis ke arah gua. Namun gua sedikit sekali tidak jatuh hati terhadapnya.

Gua kagum dengan kehebatan makcik tersebut. Namun begitu, perasaan ingin tahu membuak-buak dalam fikiran gua apabila memikirkan sumber yang diperolehi oleh makcik ini dalam mendapatkan sesuatu maklumat. Didorong perasaan ingin tahu, gua akhirnya bertanya kepada beliau akan sumber yang beliau gunakan dalam mendapat maklumat yang sahih, tepat, lagi jitu. Makcik itu menguak pintu rumahnya, kemudian dimuncungkan mulutnya menunjuk ke arah sesuatu di dalam rumahnya.

" Tuuuuuu. "

Di dalam rumahnya, gua dapat lihat sekumpulan makcik yang jika dihitung, sebaya semuanya dengan makcik yang berbual dengan gua tadi, sedang duduk bersimpuh membuat bulatan. Di tengah bulatan tersebut, terdapat sepinggan kuih gulung dan lepat pisang disertai gelas-gelas berisi air teh.

Gua akui, mengumpat merupakan salah satu media massa terpantas.

Cerita Roti Canai.

Bersama aku lagi dalam rancangan "Bedtime Stories bersama Gua Slot Pagi". Aku tambah slot pagi disebabkan aku menulis entry ini sewaktu pagi. Pukul 8 pagi bedtime stories kejadah apa. Tapi aku tak kisah, yang penting lepas ni, aku mahu tidur. Aku punya waktu free, jadi aku menulis. Semalam aku mengulangkaji untuk peperiksaan. Ya, aku ulangkaji. Aku tahu tak masuk dek akal kamu semua.



" Roti kosong satu, telur satu, teh tarik satu."

Selamba gua membuat pesanan. Sudah tentu gua selamba, sudah 3 tahun gua sarapan di tempat sama. Bangla penebar roti pun dah kenal gua. Namun beliau kenal gua sekadar pelanggan sahaja. Gua tak pernah ajak beliau datang rumah gua, sembang-sembang, tengok bola, makan nasi lauk sardin untuk makan malam mahupun main Play Station bersama-sama. Gua kenal beliau sebagai peniaga roti canai yang rajin, beliau kenal gua sebagai pelanggannya yang paling bergaya. Beliau pernah menyarankan gua menukar gaya rambut gua seperti Rajni Khan. Gua hanya mengangguk sahaja. Mungkin Rajni Khan kacak di mata beliau. Gua tak faham tapi gua tak kisah.

Sedang gua asyik membaca akhbar, gua didatangi seorang lelaki. Gua nak kata beliau ini pengemis, di tangannya ada sekeping akhbar Harian Metro. Namun dari segi pemakaiannya yang berjubah, berselipar Jepun, berjanggut lebat, dan sedikit comot, dapat gua rumuskan, beliau ini ahli tabligh agaknya. Beliau memilih kerusi di sebelah gua untuk duduk. Gua tak faham, kenapa watak-watak dalam cerita gua selalu berdamping dengan gua.

"Selalu makan kat sini ke?"

Beliau bertanyakan gua soalan cepumas. Gua menutup helaian akhbar dengan perlahan kemudian menjawab soalannya dengan penuh kelembutan.

Ya bang, selalu makan kat sini. Abang dari mana? Tak pernah nampak pulak saya abang selama ni?"

Beliau tersenyum sahaja apabila aku menanyakan soalan kepadanya. Dalam hati gua, gua bermonolog sendirian apabila melihat senyumannya yang menguntum itu. Agaknya abang ini tengok gua buat-buat ramah.

"Abang datang dari jauh dik. Adik dah makan? Makanlah, abang belanja."

Gua tersenyum dalam hati. Abang ini nampaknya nak berdakwah dengan menggunakan cara belanja makan. Sejak dari gua kecil, bapak gua selalu berpesan bahawa rezeki jangan ditolak.

"Saya dah order makanan tadi bang, abang order la makanan abang dulu kalau nak belanja pun."

Beliau ketawa mendengarkan kenyataan gua. Beliau terus memesan nasi lemak dua pinggan dan teh tarik segelas. Gua sedikit takjub melihat selera makan abang tersebut. Nasi lemak dua pinggan, memang mantap. Tak lama kemudian, makanan gua dan abang tersebut sampai. Sewaktu makan, abang tersebut hanya diam sahaja dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap makanannya. Gua agak hairan, selalunya para tabligh suka bercakap dan berpesan. Gua pikir beliau nak berdakwah selepas makan agaknya. Selesai makan, beliau memandang gua lalu bertanya,

"Adik ada rokok? Mintak rokok sebatang."

Gua yang masih rakus melahap roti canai terus mencapai rokok dalam poket seluar dan memberikannya kepada abang tersebut. Gua fikir apalah sangat sebatang rokok jika makanan gua beliau yang bayar. Pekerjaan menguntungkan.

"Bayar ni."

Gua terkejut. Kenapa cepat sangat, gua belum habis makan beliau dah nak bayar. Tapi elok juga sebab gua perlu ke pejabat pula. Waktu sudah agak lewat. Pekerjaan gua sebagai jaga terlatih memerlukan gua sampai ke pejabat pada waktu yang tepat. Be punctual, bak kata bos gua.

Sesampainya bangla tersebut ke meja kami, beliau menghulurkan resit kepada abang tersebut lalu bertanya,

" Bayar sekali dengan dia ke?" sambil tangannya menuding ke arah gua.

"Yelah, bayar sekalilah, takkan aku nak bayar makanan aku seorang saja. Berapa semua?", Abang itu bertegas.

"Tujuh ringgit semuanya encik."

Laju bangla itu menjawab. Gua tahu, kalau pasal duit, semua laju. Jika kambing mampu menyimpan duit di bank, sudah tentu kambing di kampung gua kaya-raya. Gua melihat abang tersebut menyeluk poket jubahnya lalu mengeluarkan syiling 20sen.

"Aku bayar 20sen dahulu, nanti tahun 2012 aku jadi wakil rakyat, aku bayar semuanya. Sekarang ni aku nak cepat, ada mesyuarat, helikopter aku dah tunggu."

Bangla itu merenung ke arah gua, gua merenung kembali ke arahnya sambil mulut gua terus mengunyah roti canai dengan pantas. Bangla itu mengisyaratkan supaya gua membayar. Mata gua berair. Dalam hati kecil gua berkata,

"Celaka, gua layan orang gila rupanya."

Cerita Sembahyang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersama aku lagi dalam rancangan " Bedtime Stories bersama Gua".



" Gua benci betul lah! "

Herdikan Abang M dari sebelah dapat gua dengar dengan jelas sejurus dia menghempaskan punggungnya di kerusi sebelah gua. Sambil menyedut asap rokok Gudang Garam di tangannya, beliau mendengus kemarahan. Gua terkejut, tapi gua buat-buat selamba. Manusia sememangnya tak suka menunjukkan ketakutan mereka di khalayak ramai. Mereka lebih suka menunjukkan keberanian mereka di khalayak ramai, sebab itu mereka merempit.

" Gua benci betul dengan mat rempit zaman sekarang ni! Haish! Dulu masa zaman gua main motor, gua tak ada ragut-ragut orang, jadi samseng jalanan macam zaman sekarang! "

Sekali lagi Abang M menjerit, berteriak meluahkan perasaan marahnya sambil menghentak-hentak meja di hadapannya. Gua tak paham, kenapa perlu Abang M menjerit, suara beliau yang sengau itu seolah-olah membingitkan telinga gua. Abang M merupakan salah seorang 'old timer' di kawasan gua dalam bahagian permotoran secara haram ini. Kedudukan dan pengaruh beliau yang luas dalam bidang ini menyebabkan ramai orang takut kepadanya. Tambahan lagi, Abang M ini juga terkenal dengan samsengnya. Khalayak di warung seakan membiarkan sahaja Abang M membebel keseorangan. Dalam keadaan khalayak terpinga-pinga, tiba-tiba kedengaran suara dari jauh bertanyakan soalan kepada Abang M.

" Kenapa pulak ni M? "

" Eh, Abang Haji. Tak adalah Abang Haji, saya marahkan budak-budak yang tengah merempit kat jalan hujung tu. Bising Abang Haji! Bini saya nak tidurkan anak pun susah! "

Gua lihat Abang Haji tersenyum sahaja. Mungkin sikapnya yang lembut dan bersabar itu memungkinkan beliau tenang menghadapi apa-apa situasi. Berpuluh-puluh orang di warung itu, tidak ada seorang pun yang berani menegur Abang M sewaktu beliau marah. Namun Abang Haji dengan selamba menegur Abang M sambil tersenyum. Gua kagum melihat cara Abang Haji menangani situasi.

" Oh, kamu dari rumahlah ni ye? Alang-alang kamu dah keluar ni, mari ikut aku ke masjid, Isyak pun dah nak masuk ni. "

Tenang Abang Haji mengajak. Abang M tersenyum malu apabila diajak Abang Haji ke masjid. Beliau seolah-olah kaku sebentar. Terdiam dan tersengih sambil kepalanya melilau-lilau mencari sesuatu.

" Orang tak azan lagi tu Abang Haji. Nanti orang azan saya pergilah. "

Beliau mengelak. Gua tahu, beliau memang sengaja berkata sedemikian supaya Abang Haji itu pergi dahulu ke surau dan tidak menganggu beliau dalam melampiaskan nafsu marahnya. Nanti bila azan, gua yakin Abang M tak akan ke surau.

" Marilah pergi sekarang. "

Suara Abang Haji berbunyi keras. Gua tahu, Abang Haji serius kali ini. Abang M terdiam sekali lagi. Suasana sunyi sebentar sebelum Abang M bangun dari kerusinya dan berjalan ke arah Abang Haji.

" Kalau Abang Haji dah bersungguh-sungguh ajak saya tu, saya ikutlah. "

Fuh, lega. Gua kelegaan apabila Abang M bangun dari kerusinya dan mengikut Abang Haji ke surau. Khalayak mula hingar kembali. Namun belum sempat gua lega sepenuhnya, gua sekali lagi diserang bimbang dan malu apabila Abang Haji berkata sesuatu terhadap Abang M.

" Dalam banyak-banyak orang dalam warung ini, engkau jugak yang ikut aku ya M. Samseng-samseng engkau, sembahyang jemaah juga. "

Gua yang duduk di atas kerusi diam mendengarkan kenyataan Abang Haji itu. Tak lama kemudian, gua memanggil salah seorang pelayan warung tersebut.

" Bayar ! "

Gua pun mahu ke masjid.

Kerja Terus-Terusan.

Ini minggu peperiksaan. Tidak ada kelas bagi aku dan sahabat-sahabat mahupun semua pelajar di UIAM ini. Orang lain sibuk dengan mengulangkaji pelajaran, aku sibuk dengan blog. Sibuk sekejap sahaja. Bukannya lama. Lagipun waktu-waktu macam ini lah idea banyak mencurah-curah ke dalam otak aku ini. Jika Pantai Timur kini dilanda banjir, otak aku juga dilanda banjir juga. Kebanjiran idea. Namun sifat aku yang suka berkongsi idea ini tidak menjadikan aku seorang idealis. Sewaktu membaca nota pun pun aku boleh terpikir macamana mahu edit header blog sampah ini bikin jadi lagi lawa. Kalau tak lawa pun, gua peduli apa. Ini blog saya, jadi saya punya suka lah. Sebenarnya aku sengaja memvariasikan kata ganti diri untuk aku. Saya, gua, dan aku. Tapi tolonglah, aku tak reti menggunakan ana anta. Reti sedikit sahaja.

Aku punya laman facebook aku. Dalam laman facebook aku, aku sudah tentu punya kawan. Semalam, sedang aku asyik melayari facebook dengan khusyuknya, aku ada terbaca status kawan aku mengenai satu cerita. Cerita berkenaan seorang sahabatnya, gadis jelita ayu lenggoknya.

Shabat aku ini punya satu sahabat. Sahabat beliau sama jantina dengan beliau. Sahabat beliau ini datangnya dari negeri yang sama dengan beliau dan belajar jua di tempat yang sama. Tapi masalahnya, sahabat beliau ini punya dua identiti berbeza. Satu di tempat belajar, satu lagi di kampung.

Jika di tempat belajar, beliau lebih sosial. Ini tidak bermaksud beliau adalah seorang sosialis, mencintai ajaran Karl Marx atau sebagainya. Sosial di sini adalah, beliau tidak gemar bertudung. Beliau free hair bak kata orang-orang muda di zaman ini. Merokok dan sebagainya. Jika di kampung halaman pula, beliau bertudung. Beliau kekal gadis ayu dengan lenggok kampungnya. Nak kata hipokrit, itu memang hipokrit.

Tapi bagi aku, tak penting kalau kita nak persoal kehipokritan beliau. Sebab beliau memang hipokrit. Aku rasa kalau kita terus persoalkan kehipokritan beliau, beliau akan berubah menjadi teruk. Jika beliau hanya membuka tudung di tempat belajar dan memakai tudung di kampung, kemungkinan besar beliau akan membuka tudung terus di kedua-dua tempat jika kehipokritannya dipersoalkan.

Aku rasa beliau lebih baik daripada mereka-mereka yang langsung tidak bertudung. Jika aku tulis macam ni, mesti ada yang kata,"Alah, ingat perempuan pakai tudung baik sangat ke? Ada jugak yang kena tangkap basah, bercouple dan sebagainya." Aku nak nyatakan di sini, bukan semuanya baik. Namun mereka yang bertudung sekurang-kurangnya telah menjalankan syariat Islam secara sedar atau tidak sedar. Daripada yang langsung tidak bertudung. Yang buruk itu batang tubuh mereka, bukan pensyariatan tudung yang diwajibkan ke atas mereka.

Berbalik pada cerita aku tadi, apa yang perlu kita persoalkan bukan kuatnya kehipokritan beliau, tetapi lemahnya istiqomah beliau dalam bertudung.

Jam Loceng.

Hidup secara berjamaah ini sememangnya banyak kelebihan dan banyak kekurangan. Antara kelebihan yang aku dapat dalam kehidupan berjemaah ini adalah kemudahan meminta pertolongan. Walaubagaimanapun, kesusahan juga ada dalam kehidupan secara berjamaah ini. (Aku rasa aku sudah menyebut frasa 'hidup berjemaah' berulang-ulang kali). Aku memang suka menulis secara berulang-ulang. Barulah nampak panjang entry aku. Tak begitu Said?

Aku punya sahabat, sahabat aku punya jam loceng, dan beliau ada kisah tersendiri dengan jam loceng beliau. Mahu baca lebih lanjut? Klik iklan di tepi. Bersama membawa keberuntungan. :8) (ini smiley gorila, lubang hidungnya cantik bukan?)

Ini gorilla betul.

Ceritanya begini, sewaktu sebelum tidur, beliau akan menetap waktu untuk bangun di jam locengnya, sekitar pukul 5 suku atau 5 dua puluh minit pagi begitu (bukan main awal, bagus betul). Setelah menetap waktu jam locengnya, beliau akan menyambung kerjanya, iaitu bermain DOTA. Ya, mainan anak-anak universiti. Jarang sekali aku melihat di kalangan sahabat-sahabat aku bermain polis sentri ataupun sorok-sorok. Mungkin tidak ada masa, terlalu sibuk dengan assignment.

*Jika tidak sibuk dengan assignement, aku dapat merasakan pasti ada di kalangan kami yang bermain sorok-sorok di sekitar UIAM. Dengan guard pun jadi.

Menyambung cerita sebelumnya, setelah puas bermain, beliau akan tidur. Sekitar pukul 3 atau 4 pagi beliau akan melabuhkan tirai untuk tidur. Lewat? Ya, lewat. Tapi jangan bimbang, cerita belum habis. Aku sudah tidur pada waktu begini. Kenapa aku boleh menceritakan cerita ini dengan detail adalah kerana aku mendapat sumber-sumber yang sahih tentang waktu beliau tidur dari sahabat-sahabat terdekat.

Oh ya, aku mempunyai 3 sahabat untuk satu bilik. Dan ketiga-tiganya memakai jam loceng. (WTF?)

Apabila tiba waktu yang ditetapkan, apakah yang akan terjadi? Ya, jam loceng akan berbunyi. Tugas jam loceng adalah untuk mengejutkan pemiliknya. Dan terima kasih kepada jam loceng tersebut, aku sebagai bukan pemiliknya pun mampu bangun untuk sembahyang Subuh. (Tapi kadang-kadang waktu cuti aku tak terkejut juga.)

Apa yang ingin aku highlightkan adalah kondisi 3 sahabat aku yakni pemilik jam-jam loceng tersebut bilamana jam-jam loceng itu berbunyi.

Haram mereka tidak bangun barang sedikit.

Dan bunyi jam loceng itu tersangat menyakitkan hati.