Beras Cap Rambutan.



Jika anda pernah mendengar jenama beras 'Cap Rambutan', anda akan tidak mengalami masalah membaca entry berbentuk peribadi ini. Entry ini seraus peratus berkait dengan beras 'Cap Rambutan'. Pernah dengar lagu beras ini? Jika belum pernah mendengarnya, gua saran, buka radio, putar siaran Hot FM, tunggu iklannya. Lagunya boleh tahan menarik. Tapi gua belum pernah karaoke lagu ini di mana-mana pusat karaoke. Oh ya, dah tengok cerita 2 Alam? Gua Belum tengok, sebab gua tak termakan cara pemasaran dR Rozmey. dR Rozmey, gua tetap kagum dengan anda. Biasalah jika malu sikit-sikit.

Begini ceritanya. Suatu petang yang damai, gua menaiki kereta gua dengan niat untuk bersiar-siar di sekitar Kuala Terengganu. Di samping itu, gua ingin ke bandar Kuala Terengganu untuk meninjau harga sedikit aksesori kamera gua. Dalam perjalanan ke sana, gua bertemu banyak lampu isyarat. Sudah tentu banyak lampu isyarat yang gua ketemu, kerana gua dalam perjalanan ke bandar Kuala Terengganu, bukannya dalam perjalanan ke mana-mana ladang kelapa sawit atau getah di sekitar felda-felda masyhur di semenanjung Malaysia. Jika itu yang gua tuju, sudah tentu gua hanya bertemu dengan tenggiling-tenggiling yang laris dicari untuk dibuat makanan eksotik. Namun begitu, publisiti tenggiling kini makin merudum setelah kemunculan cicak tokek penawar AIDS.

Sesampainya gua di persimpangan lampu isyarat di sekitar Gong Badak, gua berhenti kerana lampu merah. Jika gua melanggar lampu merah, gua sudah dikira pesalah jalanraya, jadi gua berhenti. Sewaktu berhenti, radio kereta gua memainkan sebuah lagu yang gua kira, sungguh rancak dan menarik. Kenapa gua berkata sedemikian? Ini kerana gua terbawa-bawa hingga menyanyi sama lagu tersebut. Suara gua yang agak sumbang ini terus berkumandang bersama-sama dengan lagu tersebut. Bergerak seiringan. Gua berasa sungguh puas dapat menyanyikan lagu tersebut dengan nyaring, kuat dan sesumbang yang gua mampu. Tersengih gua kepuasan.

Dalam keadaan gua tersengih, gua merasakan seseorang sedang memerhatikan tingkah laku jijik gua sebentar tadi. Berpaling ke kanan, tiada kereta atau kenderaan lain, berpaling ke kiri, nah, wujud sebuah skuter, dan penunggangnya adalah seorang gadis cantik, membonceng seorang lagi gadis yang gua kira juga cantik. Yang di belakang sedang ketawa berdekah-dekah menepuk bahu yang di depan, yang di depan pula tersenyum sambil melihat gua. Gua dapat mendengar suara si pembonceng ketawa dengan jelas dek cermin tingkap gua yang terbuka. Gua tak paham kenapa mereka tersenyum dan ketawa melihat gua.

Bukankah lagu beras 'Cap Rambutan' cukup catchy?

Gua tak rasa gua 'lame' bila menyanyikan lagi tersebut dengan bersungguh-sungguh.

No comments:

Post a Comment