Cerita Sembahyang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersama aku lagi dalam rancangan " Bedtime Stories bersama Gua".



" Gua benci betul lah! "

Herdikan Abang M dari sebelah dapat gua dengar dengan jelas sejurus dia menghempaskan punggungnya di kerusi sebelah gua. Sambil menyedut asap rokok Gudang Garam di tangannya, beliau mendengus kemarahan. Gua terkejut, tapi gua buat-buat selamba. Manusia sememangnya tak suka menunjukkan ketakutan mereka di khalayak ramai. Mereka lebih suka menunjukkan keberanian mereka di khalayak ramai, sebab itu mereka merempit.

" Gua benci betul dengan mat rempit zaman sekarang ni! Haish! Dulu masa zaman gua main motor, gua tak ada ragut-ragut orang, jadi samseng jalanan macam zaman sekarang! "

Sekali lagi Abang M menjerit, berteriak meluahkan perasaan marahnya sambil menghentak-hentak meja di hadapannya. Gua tak paham, kenapa perlu Abang M menjerit, suara beliau yang sengau itu seolah-olah membingitkan telinga gua. Abang M merupakan salah seorang 'old timer' di kawasan gua dalam bahagian permotoran secara haram ini. Kedudukan dan pengaruh beliau yang luas dalam bidang ini menyebabkan ramai orang takut kepadanya. Tambahan lagi, Abang M ini juga terkenal dengan samsengnya. Khalayak di warung seakan membiarkan sahaja Abang M membebel keseorangan. Dalam keadaan khalayak terpinga-pinga, tiba-tiba kedengaran suara dari jauh bertanyakan soalan kepada Abang M.

" Kenapa pulak ni M? "

" Eh, Abang Haji. Tak adalah Abang Haji, saya marahkan budak-budak yang tengah merempit kat jalan hujung tu. Bising Abang Haji! Bini saya nak tidurkan anak pun susah! "

Gua lihat Abang Haji tersenyum sahaja. Mungkin sikapnya yang lembut dan bersabar itu memungkinkan beliau tenang menghadapi apa-apa situasi. Berpuluh-puluh orang di warung itu, tidak ada seorang pun yang berani menegur Abang M sewaktu beliau marah. Namun Abang Haji dengan selamba menegur Abang M sambil tersenyum. Gua kagum melihat cara Abang Haji menangani situasi.

" Oh, kamu dari rumahlah ni ye? Alang-alang kamu dah keluar ni, mari ikut aku ke masjid, Isyak pun dah nak masuk ni. "

Tenang Abang Haji mengajak. Abang M tersenyum malu apabila diajak Abang Haji ke masjid. Beliau seolah-olah kaku sebentar. Terdiam dan tersengih sambil kepalanya melilau-lilau mencari sesuatu.

" Orang tak azan lagi tu Abang Haji. Nanti orang azan saya pergilah. "

Beliau mengelak. Gua tahu, beliau memang sengaja berkata sedemikian supaya Abang Haji itu pergi dahulu ke surau dan tidak menganggu beliau dalam melampiaskan nafsu marahnya. Nanti bila azan, gua yakin Abang M tak akan ke surau.

" Marilah pergi sekarang. "

Suara Abang Haji berbunyi keras. Gua tahu, Abang Haji serius kali ini. Abang M terdiam sekali lagi. Suasana sunyi sebentar sebelum Abang M bangun dari kerusinya dan berjalan ke arah Abang Haji.

" Kalau Abang Haji dah bersungguh-sungguh ajak saya tu, saya ikutlah. "

Fuh, lega. Gua kelegaan apabila Abang M bangun dari kerusinya dan mengikut Abang Haji ke surau. Khalayak mula hingar kembali. Namun belum sempat gua lega sepenuhnya, gua sekali lagi diserang bimbang dan malu apabila Abang Haji berkata sesuatu terhadap Abang M.

" Dalam banyak-banyak orang dalam warung ini, engkau jugak yang ikut aku ya M. Samseng-samseng engkau, sembahyang jemaah juga. "

Gua yang duduk di atas kerusi diam mendengarkan kenyataan Abang Haji itu. Tak lama kemudian, gua memanggil salah seorang pelayan warung tersebut.

" Bayar ! "

Gua pun mahu ke masjid.

No comments:

Post a Comment