Cerita Mengumpat.

Ini entry ketiga aku untuk cerita-cerita “Bedtime Stories bersama Gua”. Sebenarnya aku sengaja buat slot ini sebab aku tak ada modal sangat nak menulis tentang kisah hidup aku. Tak ada apa yang menarik berkisarkan hidup aku. Entry ini segar dari ladang, cerita yang baru aku dapat pada petang tadi. Aku dapat ilham, aku terus tulis.



Hidup segan, mati tak mahu. Beginilah ibaratnya gua setelah diberhentikan kerja setengah jam yang lalu. Baru sahaja gua mendapat kerja sebagai seorang jaga tujuh hari yang lepas, gua sudah diberhentikan kerja. Tapi semua ini berpunca dari gua. Gua sebagai seorang jaga seharusnya sentiasa dalam keadaan berjaga, namun gua selalu berada dalam keadaan tertidur. Apa kejadahnya? Terngiang-ngiang suara Wan Kamaruddin daripada rancangan Edisi Siasat di NTV7. Wan Kamaruddin merupakan salah seorang selebriti Malaysia yang gua minat selain Nasir Bilal Khan. Tiz Zaqyah dahulunya masuk senarai juga, namun selepas cinta gua ditolak mentah-mentah, gua sedar siapa diri gua. Gua kecewa, namun gua tidak menangis. Gua hanya menangis sewaktu melihat cerita Cinta Si Penggali Kubur. Gua menangis melihat seorang yang terencat akal mampu menggali kubur dengan tersenyum. Apa kejadahnya? Sekali lagi suara Wan Kamaruddin muncul di dalam ruang minda gua.

"Eh, awal kau balik hari ni? "

Gua sedikit terkejut apabila disapa oleh makcik yang menyewa di sebelah rumah gua. Gua terkejut kerana selama ini beliau tidak pernah menegur gua, hanya gua yang menegur anak gadisnya.

" Awallah sikit, saya tak berapa nak sihat makcik. "

Pandai gua berdalih. Padahal gua dipecat, diberi notis berhenti 24 jam. Minat gua yang mendalam terhadap lakonan Nasir Bilal Khan membolehkan gua berlakon di hadapan makcik ini dengan selamba.

" Tak sihat? Tak sihat la. Dah kena buang kerja, nak sihat macamana ye tak? "

Gua terdiam. Macamana makcik ini dapat tahu gua kena buang kerja. Jika makcik ini menggunakan Google, gua belum pasti ada blog-blog menyiarkan kisah gua dibuang kerja. Gua bukan artis.

"Eh, bila pula saya kena buang kerja makcik. Ada-ada je makcik ni bergurau. "

Gua tersenyum, masih menafikan perihal gua dibuang kerja. Gua memang pandai dalam bab nafi-menafi.

"Makcik tahu la. Semua orang dah bercakap pasal kau kena pecat dari jadi jaga flet kawasan ni."

Gua tidak dapat menafikan lagi kenyataan gua dibuang kerja setelah gua mendengar kenyataan makcik tersebut.

"Cepat makcik tahu ye. Saya baru nak sorokkan dari orang lain. Malu."

Gua cuba menutup malu dengan muka gua yang tidak beberapa malu setelah tembelang gua terbongkar. Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman.

"Tak payah malulah, makcik tahu semua benda yang terjadi dalam kawasan flet ni."

Jawab beliau sambil tersenyum nipis ke arah gua. Namun gua sedikit sekali tidak jatuh hati terhadapnya.

Gua kagum dengan kehebatan makcik tersebut. Namun begitu, perasaan ingin tahu membuak-buak dalam fikiran gua apabila memikirkan sumber yang diperolehi oleh makcik ini dalam mendapatkan sesuatu maklumat. Didorong perasaan ingin tahu, gua akhirnya bertanya kepada beliau akan sumber yang beliau gunakan dalam mendapat maklumat yang sahih, tepat, lagi jitu. Makcik itu menguak pintu rumahnya, kemudian dimuncungkan mulutnya menunjuk ke arah sesuatu di dalam rumahnya.

" Tuuuuuu. "

Di dalam rumahnya, gua dapat lihat sekumpulan makcik yang jika dihitung, sebaya semuanya dengan makcik yang berbual dengan gua tadi, sedang duduk bersimpuh membuat bulatan. Di tengah bulatan tersebut, terdapat sepinggan kuih gulung dan lepat pisang disertai gelas-gelas berisi air teh.

Gua akui, mengumpat merupakan salah satu media massa terpantas.

2 comments:

Post a Comment