Tepat jam 1 tengahari, Azmi mula meraban mencari kunci keretanya. Beliau ingin mengambil anak saudaranya di sekolah. Jika diikutkan hatinya, beliau boleh sahaja menyuruh adiknya mengambil anak-anak itu, tapi apakan daya, setelah seorang cikgu praktikal di sekolah tersebut mengenyit mata terhadap beliau, beliau makin galak mengambil anak saudaranya di sekolah.
Jika keadaannya terdesak, Azmi akan sengaja ke sekolah tersebut pada waktu rehat jam 10 pagi hanya dengan harapan dapat bertemu cikgu tersebut. Pada kebiasaannya, beliau akan menempah mee rebus yang berharga seringgit semangkuk, lalu dimakannya di tepi pintu bilik makan cikgu-cikgu dengan hanya memakai seluar trek Boss, baju pagoda, dan bertopi jerami. Ini semua adalah taktik penyamarannya sebagai tukang kebun agar tidak disalah erti pihak pentadbiran sekolah sebagai penculik kanak-kanak. Nasibnya baik kerana jaga sekolah tersebut merupakan kawan mengajinya sewaktu belum bersunat dahulu.
***
"Manalah pak sedare aku ni. Lambat benor sampai."
Anak saudara Azmi yang sulung mengomel-ngomel sendirian sewaktu menunggu Azmi tiba. Rakan-rakannya yang lain semua sudah pulang, hanya tinggal dia dengan adik lelakinya sahaja lagi yang belum pulang.
"Kak Chah, tengok ni Amin jumpa apa."
Ngomelnya terhenti dek panggilan adik lelakinya tersebut yang dari tadi asyik menguis pasir di dalam pasu bunga sebelah bilik koperasi sekolah tersebut. Dia tahu, adiknya pasti terjumpa cacing. Adik lelakinya itu gemar benar bermain pasir.
"Ni, taruk cacing tu dalam tapewer Kak Chah ni. Balik nanti kita laga dengan cacing Kak Cah."
Amin lantas mengambil cacing tersebut lalu meletakkanya di dalam tapewer kakaknya yang berwarna pink itu.
"Amin nak namakan dia Amri sebab dia jantan."
"Eleh, ingat bagi name Amri jadi kuatlah? Cacing Kak Chah nama Kuntum je, tapi asik menang je dengan cacing Amin. Haa, jawablah, jawablah.."
Amin mencebik geram. Bagi Amin, Kak Chah hanya menamakan semua cacing-cacing yang ditemuinya dengan nama perempuan walhal cacing-cacing tersebut ada di antaranya cacing jantan.
"Kak Chah cacing jantan pun bagi nama perempuan jugak. Such an ignorant.. Blueerrrkk...."
Kak Chah yang dari tadi memprovok Amin akhirnya diprovok kembali oleh Amin dengan jawapan yang sangat selamba dan menyenyeh. Kini kedua-duanya bersedia ingin bertikam lidah.
"Mana Amin tahu cacing tu betina, cacing tu jantan? Cacing mana ada alat sulit. Ha jawablah jawab!!"
Oleh sebab mereka sering berbalah tentang bab jantina cacing semenjak mereka dikenalkan dengan sukan laga cacing oleh Azmi, Amin sudah dapat menjangka Kak Chah akan bertanyakan soalan tersebut. Walaupun dia tampak tidak memberikan perhatian terhadap soalan Kak Chah melihat daripada tingkah lakunya pada waktu itu yang nampak asyik mengikis cat dinding sekolah, sebenarnya dia telah bersedia.
"Kan Amin dah cakap nama dia Amri, mestilah dia jantan!!!"
****
Cikgu Putri Mardiana Puspa yang dari tadi asyik mundar-mandir di hadapan motor EX5nya itu tampak betul resah. Beliau yang seharusnya sudah pulang ke rumah sewanya masih lagi dilihat berkeliaran seperti kambing di kawasan parking motor sekolah rendah tersebut. Helmetnya yang dipakai dengan tidak semenggah itu menunjukkan beliau sedang khusyuk memikirkan sesuatu.
"Manalah Azmi ni, aku dah nak balik dah nie.... Isk."
"Hai, Cikgu Putri Mardiana Puspa tak balik lagi ke?
Sapaan daripada Cikgu Halim yang bertugas selaku ketua disiplin sekolah tersebut mematikan lamunan Cikgu Putri Mardiana Puspa. Beliau sebenarnya agak takut untuk berhadapan dengan Cikgu Halim kerana beliau berperwatakan garang. Misainya yang lebat itu bukan sahaja menakutkan murid-murid, bahkan ada khabar angin mengatakan tukang kebun sekolah pernah menangis meminta maaf dengan Cikgu Halim kerana cikgu tersebut mengatakan tukang kebun tersebut menghisap ganja bersama makcik kantin di dalam semak belakang tiang gol padang sekolah sebelah parit. Hakikatnya tukang kebun tersebut, Pak Najib, hanya bermain sorok-sorok dengan makcik kantin yang bernama Makcik Rosmoh itu.
"Takyahlah bercikgu-cikgu sangat dengan saya yang lawa ni, panggil Pus je."
Cikgu Putri Mardiana cuba berbasa basi dengan Cikgu Halim bagi mengelakkan dirinya dilempang.
"Ha yelah Pus, dok balik lagi ke?" Balas Cikgu Halim sambil membuat isyarat love dengan tangannya ke atas kepala, seperti awek-awek Korea selalu buat dalam televisen. Cikgu Putri Mardiana yang cuba menahan loyanya melihat Cikgu Halim bertingkah sedemikian dengan pantas memalingkan mukanya terhadap raga motor Pak Najib dan memuntahkan isi perutnya ke dalam raga tersebut.
Pak Najib yang sedang mengasah cangkulnya terkejut melihat tindakan Cikgu Putri Mardiana Puspa yang muntah dalam raga motor C70 itu. Tapi kejutannya itu hanya sementara. Beliau tidak kisah sangat pasal muntah-muntah, yang penting cangkulnya tajam, dan Mak Cik Rosmoh gembira.
"Cikgu Halim ni bodoh sangat kenape, saya ada kat sini lagi, tak balik lagilah.. Apakebodohnya soalan. Cikgulah sangat, bodoh tak bertempat. Kalau nak jadi cikgu, biarlah cerdik sikit. Macam bangang.. Hmm.. Bodoh betul.."
Cikgu Halim tersenyum mendengarkan jawapan Cikgu Putri Mardiana Puspa yang mencacinya dengan selamba itu.
"Eh senyum pulak, ingat cantik sangatlah tu senyum. Muka macam ungka nak senyum-senyum. Pegi mampuslah.."
Cikgu Halim yang tersenyum itu mula bertindak mengangkangkan kakinya dengan luas, lantas diangkat kepalanya ke atas seperti pemain-pemain silat warm up sebelum latihan. Cikgu Putri Mardiana Puspa yang hairan melihat tingkahlaku Cikgu Halim tersebut mula tersedar beliau telah terlajak kata.
"Maafkan saya setan, saya tersalah caci tadi. Eh, Cikgu Halim. Maafkan saya.."
"Tak apa, saya memang dah biasa kena maki dengan orang. Tak jadik kudis gatal punn.."
Cikgu Putri Mardiana tersenyum mendengarkan kata-kata Cikgu Halim. Hati beliau lega, Cikgu Halim tidak memarahi atau berkecil hati dengannya. Benarlah kata cikgu-cikgu lain, Cikgu Halim ni baik orangnya, cuma mukanya sahaja yang buruk yang menyebakan tidak ramai wanita menyukainya.
****
Vroom! Vroom!
Bunyi enjin kereta Kenari turbo Azmi yang power itu akhirnya kedengaran di pekarangan sekolah rendah tersebut. Azmi merupakan salah seorang samseng kampung tidak bertauliah itu memang gemar memarkir keretanya di hadapan bendera tempat murid-murid sekolah berhimpun pada hari perhimpunan. Pada kebiasaanya, apabila Azmi turun dari keretanya, beliau akan menyanyikan lagu Negaraku dan Allah selamatkan Tuanku Sultan sebagai tanda respek beliau terhadap bendera di hadapan keretanya.
"Mana Amin? Jomlah balik. 3 saat dah aku tunggu engkorang berdua ni. Berpeluh ketiak Pak Hamid tunggu."
Azmi cuba melawak dengan anak saudaranya yang sulung itu dengan mengutarakan lawak Pak Hamid, sisi gelap Azmi. Azmi berpendapat Pak Hamid adalah sisi gelap dirinya dengan berkelakuan seperti seorang tua yang gemar mengambil tanah orang, melempang anak-anak dara yang cantik, dan memeras ugut penjual aiskrim kampungnya. Walaubagaimanapun, Pak Hamid yang merupakan sisi gelapnya itu tidak pernah mendaftar di Jabatan Pendaftaran untuk mendapatkan IC. Ini kerana Azmi sudah punyai IC. Azmi adalah Pak Hamid, Pak Hamid adalah Azmi.
"Amin ntah mana perginya.. Tadi ada duduk sepak-sepak pasu bunga depan koperasi."
Azmi menghela nafasnya panjang-panjang. Beliau risau dengan sikap Amin yang agresif tersebut. Ada sahaja barang-barang yang ingin dipecahkannya.
"Ayah Anjang! Tunggu Amin!"
Amin tiba-tiba muncul dengan membawa sepotong mesin ketam kayu di tangannya. Azmi tahu, mesin tersebut mesti diambil Amin di bilik KHB sekolahnya.
"Apakejadahnya kau bawak mesin tu kat tangan? Letak balik, letak balik!"
Azmi yang panas kepala kerana menunggu Amin sehingga mencecah 6 saat tersebut mula berang. Sudahlah tidak dapat melihat Cikgu Putri Mardiana Puspa, anak saudaranya Amin ini pula buat hal.
Prit Prit! Prit Prit!
Azmi dengan pantas berpaling ke belakang apabila mendengarkan hon motor yang kuat tersebut. Dilihatnya Cikgu Putri Mardiana di atas motor, mengenyit matanya sekali lagi terhadap Azmi dari jauh. Azmi yang tunduk dan melihat dari celah kangkangnya itu terkejut, lantas beliau jatuh tergolek-golek hingga sampai ke tongkat motor Cikgu Putri Mardiana Puspa.
"Hai Azmi...."
****
Bersambung....