Lok.

Saya selalunya ikut diam apabila kawan-kawan yang rapat dengan saya berada dalam situasi yang dipanggil 'kemarahan'.

Ada di antara mereka yang marah-marah dengan menghempas barang, menumbuk dinding, menggunakan pendekatan jerkahan menggunakan suara, mengherdik, memaki-hamun, mencarut, dan yang paling ramai adalah dengan menggunakan pendekatan diam. Orang putih menggelarnya sebagai "silent treatment".

Bagi saya, sebagai rakan kepada seseorang yang sedang marah, saya ikut diam. Jika dia marahkan saya, saya diam, jika dia herdik saya, saya ikut diam. Dahulu sewaktu kecil-kecil, saya ikut mengherdik, masing-masing sama mengherdik sehingga pertelingkahan beralih hingga ke tahap menggunakan kaki dan tangan.

Itu sewaktu kecil.

Sewaktu hati ini masih mempercayai para Ultraman sebenarnya terdiri daripada adik beradik. Ultraman Taro yang paling sulung, diikuti Ultraman Seven. Selalunya saya fikir, sewaktu mereka berdua masih kecil, semestinya mereka pernah bergaduh sesama sendiri berebutkan coklat atau apa-apa sahaja, jadi saya ibaratkan saya dengan kawan, adik beradik saya seperti adik beradik Ultraman apaila bergaduh dan bertumbuk. Masing-masing adalah hero.

Tapi ingat, saya yang paling hero.

Kini apabila saya meningkat dewasa, saya merasakan menjadi Ultraman bukan lagi cita-cita saya. Saya lebih suka diam. Orang Terengganu rata-ratanya memanggil pendekatan ini sebagai 'lok'. 'Lok' ini maksudnya sama seperti membiarkan, biarkan, lupakan, jangan hiraukan atau seumpamanya.

"Lok ke dia lah jangan duk carre ke die, biar die ngajuk sorang diri."

"Biarkan dia, jangan hiraukan dia, biarkan dia merajuk seorang diri."

Emak saya selalu mengutarakan ayat tersebut sewaktu saya kecil, tika saya merajuk akan sesuatu lantas membuatkan saya duduk menyorok di sebalik almari pinggan rumah saya untuk beberapa minit. Biasanya teknik merajuk saya ini hanya mampu bertahan sebentar, ini kerana bapa saya tidak suka 'lok' saya merajuk. Beliau lebih menggunakan teknik 'kutil','cekit', 'piat' atau rodang'.

Saya rindu emak dan bapak saya.

1 comment:

Post a Comment