Fesyenlah Sangat.

"Untuk menjadi seorang yang berkarisma, daya saing, maju, kite ni kena pikir setapak ke hadapan sokmo."

Kata-kata Zamri yang penuh yakin itu laju meluncur keluar daripada mulutnya sambil beliau sedang mengetuk-ngetuk batang rokoknya mengharapkan abu rokoknya jatuh.

"Jangan nak tunggu abis belajo je baru nok cari kerja. Ni, mase tengoh belajor ni, ape salohnya kerja sambil belajo. Tengok aku ni, nampak ade duit ke dok?" Zamri menyambung lagi dialognya dengan yakin. Suara serak-serak basahnya itu kadangkala mencuri perhatian orang ramai yang turut berada di kedai Awe Tomyam Power Gile Babi itu.

"Mung tengok baju aku pakai ni, abih kurang 2,3 ratus jugok. Ni sume hasil aku niage lah ni. Mu joinlah aku, jadilah pakai pagoda ni."

Azmi tersentak mendengarkan kata-kata si Zamri. Serangan peribadi nampaknya. Baju pagoida yang dipakainya mula dicium sedalam-dalamnya. Walaupun Pagoda, dibasuh dengan sabun Daia campur Softlan menghasilkan bau yang sangat wangi. Azmi lebih selesa berpagoda, lebih-lebih lagi musim panas sekarang. Nak pakai kemeja? Sweater tengah-tengah hari? Tak kuasa Azmi.

"Mu takpelah anok orang kaya. Cari modal pun senang mintok dengan mok aboh saje."

Azmi menyuarakan masalah yang dihadapinya, iaitu modal. Azmi tidak ada modal untuk memulakan perniagaan produk kesihatan yang merapu itu. Itu adalah masalah keduanya, masalah utamanya adalah beliau tidak suka sebarang jenis perniagaan MLM.

"Senang naik, senang jatuh. Macam artis zaman sekarang."

Itu adalah prinsip hidupnya dalam berniaga. Kalau terlalu cepat untung dalam berniaga, asas tidak kukuh, kabel belum lagi cukup tebalnya, niscaya kalau jatuh, sakitnya melampau-lampau.

"Rugi mu tolak peluang aku ni. Masuklah, duduk bawoh aku."

Azmi tersenyum sinis mendengarkan tutur kata Zamri itu. Sedang beliau memikirkan apa lagi alasan yang patut dikeluarkannya, tiba-tiba Azmi terlihat sesuatu di dalam beg Zamri ketika beliau sedang mengeluarkan testimoni-testimoni pelanggannya. Peluang baik mengalih topik MLM.

"Eh Zamri, itu Jonson Baby punya losyen ke tu?"

Zamri terdiam seketika. "Haah, losyen lah tu. Dah tau buat apa tanya? Sudah-sudah, ni tengok testimoni pelanggan aku ni haa.."

"Eh aku ada ,mulut, ikut suke akulah nak tanye ke tidok. Tak nak, aku tak nak tengok testimoni pelanggan mu. Kejadah apa engkau pakai losyen?"

Zamri akhirnya akur. Beliau memandang Azmi dengan penuh pengharapan, kemudian dihelanya nafas panjang-panjang seolah-olah jawapan yang diperlukan Azmi itu adalah sesuatu yang sangat berat untuk Zamri luahkan.

"Pakai losyen, baru nampak metroseksual."

Azmi mengangguk-angguk buat-buat paham. Metroseksual? Beliau tidak pernah dengar perkataan itu. Jikalau Harian Metro tahulah beliau. Itupun sekarang beliau sudah beralih ke Sinar Harian.

"Ooo.. Kejadah apa metroseksual?"

Zamri menjegilkan matanya terhadap Azmi. Bagi beliau, tanya banyak-banyak ni buat apa. Letih dia nak jawab, letih dia nak fikir jawapannya.

"Macam lelaki-lelaki kat bandar zaman sekarang la. Jaga penampilan, jaga kecantikan, kehenseman, yakin terhadap diri sendiri, up-to-date dengan fesyen dan sebagainya."

Azmi sudah dapat tangkap sikit-sikit. Tangannya mula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Patutlah si Zamri ni asyik lilit serban dekat lehernya. Biasanya orang lilit serban di kepala, umpama tok lebai-tok lebai yang ada. Seluarnya pula ketat-ketat, tengahari panas macam gurun pun boleh sauk baju kemeja lengan panjang. Tapi yang hairannya, Zamri menunggang Yamaha SS sahaja. Itupun baru upgrade. Dulunya RG Sport.

"Habih kite ni duduk kampung je. Perlu ke mu jadi metroseksual?"

Zamri pandang pelayan, kemudian dikuit-kuit jarinya memanggil pelayan tersebut.

"Bayar."

No comments:

Post a Comment