Sahabat Tertua

Kadang-kadang saya lihat mereka tidaklah semuanya jahat kepada awak. Ada di antara mereka yang jahat, tapi tidaklah saya mahu katakan kesemua daripada mereka. Hanya sebahagian, ya, sebahagian daripada mereka. Hampir setiap kali sebahagian daripada mereka sakiti awak, hati saya geram, jiwa saya mencebik; sakit, sakit hati ini. Mahu sahaja saya terajang mereka, biar mereka sama-sama rasakan kesakitan yang awak rasa itu.

Tapi awak masih begitu, bersabar.

Saya pernah nampak seorang lelaki ini, sampah dibuang olehnya sesuka hati. Sampah pula pelbagai jenis, ada yang boleh dikitar, ada yang tidak. Yang bakar-bakarkan sampah pun ada, itu hari, seorang wanita tua, boroi perutnya, terkedek-kedek asyik membakar sampah di laman rumahnya. Saya lihat awak terbatuk-batuk, mungkin pedih barangkali terkena asapnya.

Tapi awak, saya lihat awak senyum sahaja. 

Air mata awak jarang-jarang sekali mengalir. Lebih-lebih lagi buat masa ini, sudah lama saya tidak lihat awak menangis. Hanya di bulan puasa, awak ada alirkan air mata. Itupun barangkali kerana terlampau panas. Mungkin awak rasa lega dengan menangis. Mereka pun tampak lega, walaupun dalam keadaan mereka tidak tahu mereka lega kerana awak menangis.

Awak, saya sayangkan awak.

Saya membesar bersama awak, awaklah sahabat tertua saya. Sakit hati saya melihat mereka sakiti awak. Awak jangan bimbang, walau apa yang terjadi, saya akan tetap menjaga awak. Walaupun mereka kata saya gila, tidak bersepatu, berjalan ke-sana ke-mari, mencium-cium kulit-kulit awak tanpa segan-silu, ketahuilah, saya sedikit pun tidak malu. Saya merasakan kebahagiaan dengan sedemikian. Mereka tidak tahu nikmat meraba-raba awak dengan berkaki ayam, menggosok-gosok debu-debu yang ada di kulit-kulit awak, mencium nafas awak yang segar ini. Lagi pula, ke mana saya ini mahu pergi jika saya tidak bernafas lagi? Saya kembali kepada awak juga, bakalan dirangkul kemas, disimpan rapi di tembolok awak.

Janji dengan saya, awak tidak himpit saya sekemas-kemasnya nanti.


No comments:

Post a Comment