Rungut.

Sang kura berang lagi. Sakit hatinya.

Sang kura hanya meminta diadakan lagi lumbanya dahulu dengan sang arnab. Sang arnab takut, sang arnab enggan. Kuasawan belantara yang punya kuasa, yang ada pengaruhnya, semua enggan. Semua tidak mahu diadakan lagi, perlawanan bersih diminta sang kura yang bisa menjatuhkan kuasa pantas sang arnab. Yang dingumamnya hanya satu, perlawanan seperti biasa, setiap tahun, yang kita ada, itulah paling bersih, paling suci, apa lagi yang tidak kena?

Jelata semua memandang.

Arnab malu.

Arnab gentar.

Ya, sang kura tahu. Tapi sang kura punya dalilnya. Sang kura enggan ditipu seperti sebelumnya. Sang kura inginkan yang adil, bersih, sama seperti waktu menangnya dahulu. Sang kura inginkan perubahan. Sang kura tidak mahu kuasawan rimba bersikap bengkok. Selekohnya sahaja, lurusnya hilang. Hanya kerana sang kura pernah kalahkan arnab dahulu? Sekali sahaja wahai sang arnab! Sekali sahaja! Lebihnya banyak ditipu diperdaya.

Kalah sentiasa.

Sang kura berkeras.

Sang kura pulang ke sarangnya. Mencari dan mengilhamkan sebuah sehabis daya. Dihantar segala barang, segala utusan ke semua kuasawan rimba, mereka hanya berkata, ya, ya, ya. Seperti tiada apa satu yang berubah, hanya sama. Sang kura sabar, yang benar selalu akan menang, kuasa tuhan. Itu pasti.

Murbawan rimba tahu.

Murbawan rimba sedar.

Bukan hanya sang kura, murbawan rimba tahu. Murbawan rimba sedar. Enggan lagi ditipu, murbawan rimba berhimpun. Diajaknya pelusuk sekalian rimba belantara, disuruhnya berkumpul membela sang kura. Dituntutnya perlawanan bersih kali ini, sebersih-bersihnya. Sang kura riang, sang kura tahu jelata di belakang. Sang kura arif, jelata kini mula memandang. Kuasa tuhan! Kuasa tuhan!

Sang arnab berang.

Sang arnab bantah.

Apa ini? Apa himpun? Apa ini? Sang arnab bukan daripada yang perongos. Sang arnab hanya gilakan kuasa. Kuasa yang bisa merubah dunia. Dunia indah belantara. Disuruh segala kuasawan rimba, membuat onar kepada jelata. Siapa yang turun? Siapa yang himpun? Siapa semua? Ku tangkap, ku bikin rosak semua.

Jelata tidak lagi buta, murbawan tidak lagi gila, sang kura masih lagi ada.

Himpun tetap akan ada, demi bersih, sebersih-bersihnya.

Cerita Nanti.

Ali terlentang memandang bulan. Katanya rindukan seseorang.

Nazrin, pemandu bas Transnasionalisma yang berjaya merangkap sahabat karibnya yang setia hanya memandangnya dengan mata yang tajam, umpama memahami penderitaan Ali yang melampau-lampau dan mengada-ngada tersebut. Ali mengeluh lagi. Kali ini sudah masuk lapan kali Ali mengeluh, tidak terkira sendawa dan pelbagai lagi bunyi pelik yang keluar daripada rongga mulutnya yang busuk dan sentiasa berbau rokok itu. Buku 555 Nazrin penuh dengan contengan, tanda mengira bunyi keluhan Ali.

"Nazrin, aku betul-betul rindukan Zainab. Kau rasa dia dah lupakan aku ke?"

Tanya Ali kepada Nazrin.

Nazrin hanya memandangnya dengan perasaan geram bercampur-baur. Ya, Zainab mungkin sudah lama meninggalkannya, tetapi tidak mungkin Zainab dapat melupakannya dalam masa yang begitu singkat. Sikap tidak suka menanti seseorang yang ada pada Ali seolah-olah membuatkan Nazrin dapat merasakan, bahawa Ali sememangnya seorang yang sangat suka melampau dalam menyatakan perasaannya.

"Tu, Zainab dah keluar tu, dahlah mengelamun tu syaitan, kita terus baliklah, nanti lambat pulak sampai ke Terengganu."

Teguran Nazrin mematikan lamuan Ali. Sewaktu membuka pintu bas sebelah pemandu, Nazrin dapat mendengar dengan jelas perbualan sahabatnya bersama isterinya Zainab di dalam bas Transnasionalismanya yang dipandu beliau.

" Kenapa lama sangat sayang, I sangka U dah lupakan I, takut I tadi tau."

"Alah, abang pun, Nab kan cirit tadi. Memangla lama, nasib baik Nazrin member kita kan bang, boleh Nab duduk dalam jamban lama-lama."

Nazrin menekan pedal klac dengan perasaan geram. Dalam hatinya hanya mampu menyumpah-nyumpah.

"Celaka betul aura pengantin baru."

Jawi.

Ini cerita berlaku zaman dahulu kala.

Sewaktu aku masih lagi kecil dan kiut. Well, sekarang masih lagi kiut, cuma orang lain tak notis, aku saja yang notis bila duduk depan cermin. Fulsetop, nanti ade je yang iri hati bagi aku makan epal beracun. Ingat aku Snow White ke ape? Cindarella la beb, Cindarella. Stokin kaca aku tak jumpa-jumpa lagi sebelah kanan. Puteri raja manalah yang rembat buat tutup lubang aircond dalam bas. Aircond rosak, sejuk melampau-lampau aku dalam bas.

Ceritanya begini, sewaktu aku sedang membuang masa, tenaga, keringat, peluh dan sebagainya di kedai bapak gua dengan bekerja, ada seorang pak cik ni datang nak beli barang. Pakcik ni digelar orang kampung sebagai Haji Deris.

Dengar namanya pun dah gerun kan?

Tapi orangnya baik. Dia ni, kalau datang kedai, tulis list barangan dia dalam tulisan Jawi. Pekerja kedai aku tak ada yang pandai baca, kalau aku ada, aku yang baca. Itu ajelah ceritanya. Menarik ke, tak menarik ke, biarlah. Yang penting aku update belog ni.

Nota kaki : Rasa sedih apabila melihat kebanyakan remaja Melayu kurang mahir membaca Jawi, tidak mustahil jika ada di antara anak-anak mereka yang bakal lahir pada masa akan datang tidak mampu mengeja dan membaca sebarang tulisan Jawi walau satu patah perkataan. Sayang seribu kali sayang.

Syair Lebai.

Mengah terandah renungkan khalayak,
tanpa bertilik nasib sendiri,
luluh hancur badan merosak,
namun bertetap ampuh di hati.

Hancur qalbunya mengenang jatuhnya,
khalayak dahulu diagung segala,
ditutur bahasa sekalian para,
kini rosak hancur binasa.

Menungnya membawa sedih di hati,
kenangkan perihal saudara sendiri,
dek hanya sekangkang tanah berpadi,
putus silah usrah bernadi.

Pada sayang berubah benci,
hanya dalam sekelip hari,
dahulu katanya sampaikan mati,
Kini tergantung terputus janji.

Pikirlah akannya memerah keringat,
akan masalah yang rakus menyengat,
diambil kertas, kalam, dan dakwat,
maka ditulis sepucuk surat.

Mulai kanda dengan bersyukur,
daripada diam duduk bertekur,
sekapur sirih usai dilayur,
pemula khabar pembuka tutur.

Inilah surat pujuk ku utus,
harapkan tali tidak terputus,
dengarlah dulu hatiku getus,
rayuku ini jangan kau rakus.

Wahai dindaku jangan begini,
kita beradik usah membenci,
jauh dendam hasad di hati,
rosak fasad sukar dibaiki.

Ingatkah kamu kecil dahulu,
tanganmu kecil memeluk jariku,
dahimu ku cium setiap waktu,
sisihkan daku tergamakkah kamu.

Usah diturut hatimu dinda,
yang berhak itu jangan dilupa,
usah dilawan jangan ditanda,
milikmu hartamu bagai umpama.

Kandamu ini tiada berharta,
dagang harta dagang asalnya,
ambillah rebutlah apa yang ada,
kerna hartaku kamulah segala.

Akhir kalamnya dengan menangis,
sedih hatinya kian berkudis,
marah dan benci ditepis-tepis,
dek sayangnya tiada bertapis.

Usai kalamnya lebai berganjak,
beralih arah ke satu teratak,
tugas digalas dirangkul erat,
muazzin kecil sekalian umat.

Birapantai, 22 Jun 2011.

Berlakon.

Itu hari aku ada balik homtown.

Pagi tu pergi Setiu jap, mandi-manda dekat Lata Payung. Cantik tempatnya, airnya boleh tahan jernih, orangnya pun tak ramai sangat. Macam selamat sikitlah bila nak mandi kat bawah. Tak la rasa geli sangat. Kalau budak-budak ramai kat atas aku geli sikit nak mandi kat bawah. Budak-budak, kaki kencing. Kencing betul-betul punya. Dalam air pulak tu.

Celaka betul.

Tempat tu dah kira cantiklah. Tapi abang kesayangan aku cakap, Lata Cengkih lagi cantik. Aku tak ingat jugak, Lata Cengkih tak silap aku. Tak tahulah kalau Lata Buah Pelaga ke, Lata Bunga Lawang ke, Lata Kulit Kayu Manis ke, Lata Jintan Manis, Jintan Putih ke, tapi yang pasti nama rempah ratus. Tempat ni memang lagi cantik abang aku cakap, tak ada orang mandi sangat. Time dia datang tu, ada biawak je 4 ekor mandi manda.

Biawak pun berkelah beb.

Biawak sekarang dah boleh rilek dah. Cicak tokek dah turun harga, dah tak popular. Tak adalah nak jeles sangat dengan cicak tokek. Apa? Ibrahim Ali? Kita cakap pasal biawak ni brader, bukan Ibrahim Ali. Ceh.

Setel mukadimah, ceritanya begini.

Balik dari Setiu, gua lepak dekat kedai koboi bawah jambatan Sultan Mahmud. Seronok lepak-lepak buang masa, tenaga, duit dan sebagainya, tiba-tiba member aku cakap, "Pis, kau ade bakatlah berlakon."

Ondeway balik, gua pandu kereta sambil tiru gaya mimik muka Nasir Bilal Khan depan side mirror.

Kutuklah, kutuklah.

Alhamdulillah.

Semalam, Terengganu menjuarai Piala FA 2011.

Alhamdulillah.

Gua ucapkan tahniah.

Dan sebagai seorang rakyat Terengganu, gua rasa berbangga jugak sikit-sikit. Walaupun bukan gua yang main, bukan gua jadi pengadil dan pegang mana-mana jawatan dalam perlawanan semalam, tapi gua rasa hepi dan bangga jugak sikit. Tapi tak adalah sampai nak canang-canang bangga gua dengan orang lain. Negeri orang lain pun pernah menang jugak. Cuma tahun ni, negeri gua menang.

Bukan apa, kadang-kadang rasa macam malu bila sahabat-sahabat gua bercakap, menulis, macam negeri gua saja baru pernah menang.

Rilekla beb.

Tenang itu indah.

Melampau-lampau ni buatkan orang jaki dengan kita.

Terkenang.

Itu hari gua ada baca buku 'Growing Up in Trengganu' karya Awang Goneng. Buku ni memang best. Untuk mereka yang bergelar rakyat Trengganu, bacalah buku ini, nescaya, gua jamin, lu sume mesti fikir Trengganu ini negeri yang unik jugak. Kaya dengan bermacam benda yang boleh buat negeri lain tertarik nak merasainya berbanding nak jadik hebat dalam merempit, meminah rempit yang sekarang ni tengah menjadi wabak macam wabak malaria kat Trengganu sekarang ni. Gua boleh layan lagi mat-mat rempit.

K-Pop, pergh, gua persetankannya.

Dalam buku ni ada bilang, "the sounds you grow up with always remain, no matter how far you've travelled, how changed your life may be."

Ayatnya biasa, tapi kesannya mendalam.

Sejak gua kecil sampai besar gedabak macam sekarang, gua tak pernah lupa bunyi angin pantai tepi rumah gua yang selalu bunyi 'fuuuuuu, fuuuuuuu' bila bergesel dengan celah tingkap rumah yang tertutup.

Bilik gua kat universiti gua ni ada kipas berdiri tu. Budak lama yang tinggal kat bilik gua ni ada tinggalkan kipas tu. Gua tanya geng dia nak pakai, dia kata pakaila dulu. Itu hari gua nak cepat pergi Bentong, gua sangkut baju di kipas tu bagi kasi cepat kering. Biasalah, tak ada bini. Hidup tak terurus.

Sekali angin bergesel dengan baju, keluar bunyi sama macam bunyi angin pantai tu.

Gua sentimental beb.

Nota kaki : semalam Trengganu kalah bola, nanti final Piala FA gua doakan Trengganu menang.

Gampang Hamba Mengkuang Layu.

Gua bengang betullah.

Gua tahu lu duduk KL lama daripada gua. Gua tahu mulut lu memang lembut, boleh tinggal loghat Terengganu senang, cakap KL mudah-mudah. Gua tahu lu ada rupa, muka hensem, ada harta. Gua tahu lu kena cakap loghat KL bagi orang mudah paham apa yang lu nak cakap. Gua tahu jugak lu takut orang boo bila lu tersalah keluar loghat Terengganu bila lu bentang apa-apa tajuk dalam kelas. Gua tahu lu ayu, lu kena jaga keayuan lu, kalau terkeluar loghat Terengganu, terkasar sikit, orang anggap lu tak ayu, jadi macamana sekalipun, lu kena bertatatertib cakap loghat KL.

Tapi kamonla.

Takkan dengan gua nak cakap KL jugak.

Gampang Pak Malau gampang bertempat, gampang hamba mengkuang layu.

Panas Betul.

Gua bangun awal pagi ni.

Hajat gua, mulai hari ini,ingin belajar bersungguh-sungguh. Gua memang dah lama nak ubah tabiat buruk gua, malas datang kelas, lewat datang kelas, kadang-kadang terponteng kelas. Gua bangun awal, sarapan, makan roti canai 2 keping, teh tarik satu gelas, gua ready.

Gua ready ke kelas.

Kelas gua start pukul 10. Gua dah ada kat kelas, awal. Semangat beb, semangat. Yang ada dengan gua, 2,3 ekor lagi sahabat-sahabat kamceng gua yang gua tengok pun macam ready, bersedia, bersemangat tak tentu hala macam gua.

Pukul 10.30, pensyarah gua tak datang lagi.

Pukul 10.35, semangat gua hilang. Ini mungkin sebab gua teringat lirik lagu Semangat Yang Hilang dendangan XPDC.

Gua pun balik.

Esok gua dah tak semangat, spoil betulla pensyarah ni.

Tikus.

Gigi tikus keras.

Tikus mampu menggigit apa-apa sahaja sehingga barai.

Ini bukan cerita pasal tikus. Ini kisah pasal sedar diri. Kisah ini berlaku sewaktu gua sedang menikmati cuti semester. Kisah ini juga berlaku di kedai borong bapak gua yang ala-ala kekampungan. Gua duduk lepak-lepak di kedai bapak gua, sambil-sambil borak dengan pekerja-pekerja, gua tengok customer.

Tengah asyik bersembang, adalah seorang customer masuk ke dalam kedai, datang nak beli air, mungkin dalam perjalanan jauh nak pergi ke mana-mana. Orangnya perempuan, cantik, lawa, nampak ada harta, memang tak padan langsung dengan gua mahupun pekerja gua. Tapi cinta itu buta. Ingat tu. Cinta itu, buta. Se K-Pop-K-Pop gua, gua masih layan lagu Ahmad Jais.

Persetan sama K-Pop dan M-Pop.

Lama gua melangut, melihat ciptaan tuhan, ayah gua datang menyapa dengan ayatnya yang melukakan jiwa.

"Mung dua ekor macam tikus tengok besi la bile tengok pompuan ni, nok kerit dok lut."

Oh bapakku, oh bapakku.

Gua mengeluh dalam keadaan separa sedar.

Tembak.

Satu kebiasaan sekarang, semua orang mahu pakai DSLR. Dulu zaman muda-muda, zaman gua sekolah menengah, orang berlumba-lumba pakai handphone canggih-canggih. Gua pakai 3310 sudah dikira canggih pada zaman tersebut. Mahu saja gua canang-canang telefon bimbit gua tersebut kepada semua rakyat jelata di kampung gua. Biar semua jaki sama gua.

Tapi gua ingat pesan ustazah gua, "Apis, kita ni belajar agama, kena tawadhuk, rendah diri."

Ceh, sekali kadang-kadang je gua ingat, gua pun berlagak jugak. Kurang ajar betul gua ni. Biasala, manusia, takkan ingat semua perkara. Ada jugak yang kita tak ingat. Lagipun ram kepala otak gua tak kuat sangat. Setakat game Red Alert boleh la main dalam kepala gua, kalau Modern Warfare kompem tersekat-sekat.

Berbalik kisah DSLR, kat tempat gua, bila sebut pasal ambil gambar, semua orang dah tak sebut ambil gambar. Orang panggil tembak, menembak, menembok, banyak lagi lah istilah-istilah yang dulu gua rasa sejuk bila guna, sekarang gua rasa macam malu nak guna. Gua dah jadi malu nak guna bila gua ada jumpa kawan lama gua, junior gua yang pernah gua buli dulu tegur gua.

"Engkau main kamera sekarang, asyik menembak jela ye dak?"

Gua tiba-tiba jadi macam sentimental.

"Ces, ingat gua pemburu haram ke apa."

Semester Pendek.

Gua ambik short sem. Ini bahasa budak-budak universiti gua. Gua panggil semester pendek, orang lain panggil short sem. Gua terbiasa panggil semester pendek sebab masa balik kampung baru ni, semua universiti lain cuti, universiti gua nak buat short sem.

Bila dah jadi gitu, orang kampung gua banyak tanya, kenapa nak pergi lagi lah, kenapa tak sama cuti lah, pergi kerja kat sanakah, macam-macam. Jadi bila gua jawab, gua nak ambik short sem, orang kampung gua tak paham. Kadang-kadang dia buat-buat balas sms, angguk-angguk, kadang-kadang dia buat tak tahu. Berlakon macamana pun, gua tahu diorang tak tahu.

Gua tak kisah kalau diorang tak tahu short sem itu apa.

Tapi gua kisahkan diorang kena tahu sebab apa gua tak duduk cuti di rumah, kerja dengan bapak gua elok-elok di rumah. Jadi gua belajar daripada kesilapan, gua tak lagi jawab short sem, tapi gua jawab semester pendek.

Gua ambik dua subjek semester ni.

Gua baru tahu zaman Tamadun Indus dulu dah ada sistem paip bawah tanah nak salur sisa buangan. Tapi gua tak tahu pekerja-pekerja diorang yang buat tu dipanggil apa. Indah Water, kompem bukan. Tu untung gua belajar History.

Lagi satu subjek, gua ambik subjek komputer. Gua seorang saja lelaki dalam kelas, yang lain semua perempuan. Termasuk pensyarah gua. Kadang-kadang gua rasa macam Cindarella pulak bila time gua masuk kelas, semua orang jeling-jeling, tengok-tengok. Nak kata gua pakai kasut kaca, gua pakai Jack Parcel murah aje. Kadang-kadang gua sauk selipar cap Bowling saja bila gua terlajak tidur, lewat ke kelas.

Walaupun gua malu, tapi gua persetankan sahaja kerana gua kenal siapa gua. Lelaki tak malu.

Fulsetop, gua nak sembahyang Maghrib.

Karut-Marut.

Itu hari gua ada pergi surau. Biasalah, orang macam gua, walaupun bukan hari-hari, jarang-jarang sekali sudah cukup baik buat gua. Hari esok lebih baik dari semalam. Semua orang bilang sebegitu.

Tapi celaka betul.

Selalunya hari esok lebih buruk dari semalam, lagi-lagi bila masuk hidup gua.

Gua layan surau sekarang pun sebab gua terbangun awal pagi tu, gua terlayan rancangan agama yang gua lupa tajuknya. Walaupun gua berjiwa K-Pop, gua juga suka layan rancangan tu, lagi-lagi bila ustaz tu mengaji irama Pakistan. Lagu Pakistan. Gua rasa mahu belajar tarannum dengannya, tapi gua malu.

Persetan sama K-Pop dan M-Pop.

Cerita ini bukan pasal gua di surau. Cerita ini selepas gua balik surau. Gua balik saja dari surau, gua bukak periuk nasi, gua menyenduk nasi-nasi yang masih ada di dalamnya sedaya upaya gua. Beras banyak lagi di dapur, tapi biasalah, hidup bujang dan merantau, perlu berjimat cermat. Tambahan lagi harga gula sudah naik, keh keh keh, kerajaan.

Setelah segala nasik yang ada di dalam periuk tersebut berjaya ditarah gua, gua makan dengan bersederhana. Ustaz-ustaz dalam televisyen selalu bincang hal sebegitu, makan kena sederhana, pakai kena sederhana, kalau ada masalah, bersabar, bertawakkal kepada Allah, tapi jarang-jarang benar ustaz-ustaz di televisyen bincang isu semasa. Keluar satu isu, rakyat pening, nak nikah dalam masjid ni boleh ke tak boleh, dalam pada masa yang sama beli gula harga RM2.30. Ceh, pandai la hang kerajaan. Nasib baik gua khatam buku Ilmu Hayat dan Manusia.

Selesai gua makan, gua tidur.

Perut kenyang, selesa tidur.