Mak Jenab menjerit-jerit memanggil nama Maimun. Maimun hanya diam sahaja semenjak tadi, sepertinya ada masalah yang dimenungkannya. Mungkin beliau memikirkan masalah saham air tebu yang semakin jatuh di bursa saham, ataupun memang beliau seorang yang suka mengelamun di kala petang.
Mak Jenab berang.
Ekoran daripada berangnya yang melampau-lampau itu, Mak Jenab mula mengatur langkah ke arah Maimun. Lengan bajunya dilipat-lipat, menampakkan lengannya yang hitam dan berkilat itu. Dengan langkahan kaki yang pantas, Mak Jenab meluru ke arah Maimun sambil menjerit-jerit, "Hoi Maimun, kau pekak ke? Dari tadi aku panggil engkau tak menjawab!"
Ditariknya bahu Maimun hingga terduduk Maimun dari kerusi kecilnya. Pinggan yang dipegangnya terlucut dari tangannya, mungkin disebabkan licin dek tangannya yang bersabun atau terkejut oleh suara Mak Jenab yang kasar seperti guruh itu.
"Kenapa mak inchek?"
Mak Jenab bertambah berang.
"Dari tadi aku panggil engkau, kenapa tak menjawab? Dasar anak tiri tak sedar diri!"
Sempat lagi Mak Jenab membuat ayat berima sama dalam keadaan Maimun terpinga-pinga. Dalam keadaan hingar-bingar tersebut, tiba-tiba terdengar suara dari jauh menjerkah Mak Jenab.
"Mak! Akak Maimun kan pekak!"
Mak Jenab lantas tersedar dari penyakit nyanyuknya itu.
Maimun masih terpinga-pinga.
No comments:
Post a Comment