Keldai.

Sewaktu makan tengahari baru-baru ini bersama kawan-kawan, saya ada terbuka cerita mengenai buah getah, hanya disebabkan melihat tempe dalam ayam penyet, saya serta merta teringat, getah, pokok getah, dan juga buah getah. Saya tak tahu apa kaitan tempe dan buah getah, maaf.  Mungkin kerana sewaktu kecil dahulu saya ada terbaca bahan bacaan mengatakan tempe diperbuat daripada buah getah ataupun, itu cuma igauan saya sendiri.

Yang menariknya, kawan-kawan saya turut tampak bangang, jahil dan tidak tahu, tempe diperbuat daripada apa. Jadinya, saya pulang ke hostel, saya cuba mencari maklumat mengenai tempe, dan ia diperbuat daripada biji keledai. 

Biji keledai.

Kah kah kah! Saya blur. Apa benda biji keledai?

Saya melihat skrin laptop saya untuk beberapa minit, cuma berfikir, apakah biji keledai? Lima minit, sepuluh minit, hampir masuk lima belas minit, saya fedup. 

Biji keledai, biji keledai, biji keledai.

Jadi, saya cuba melihat gambarnya. Saya taip biji keledai, saya buka paparan gambarnya, dan saya hampa. Saya masih lagi tidak tahu apa iti biji keledai. Saya tilik lagi, saya lihat lagi dan akhirnya!

Saya terbayang keldai. Keldai, keledai, mereka nampak berjiran dalam susunan abjad. Cumanya keldai kurang sebiji huruf. Tapi still, keledai dan keldai masih dua benda yang berbeza. Keledai sayuran, keldai pula binatang.

Oh ya, biji getah.

Sewaktu saya darjah 2, saya pernah mengikuti abang saya beraya pada hari pertama, awal pagi, sebelum manusia-manusia Islam lain sembahyang raya. Bapak saya dah larang, saya degil, berkeras nak pergi. Jadi, dipendekkan cerita, saya jatuh basikal dengan abang saya, betul-betul bersebelahan semak, tempat saya biasanya mencari buah getah dengan sepupu saya.  

Kesudahannya, saya beraya dengan sepasang baju melayu kuning susu, berseluar koyak, di lutut.




Jamal Pasir.

Suatu pagi yang indah, Jamal berjalan kaki dari rumahnya ke arah pantai dengan membawa dua beg plastik berisi pasir. Oleh kerana Jamal seorang lelaki yang baik lag berbudi pekerti, beliau menegur ramai makcik-makcik jalanan yang tengah sibuk beratur membeli sayur di kedai sayur Mat Akil. Makcik-makcik jalanan itupun yang kebanyakan mereka dilahirkan peramah, seringkali membalas teguran Jamal disertai dengan isyarat tangan tanda rock.

"Hai Jamal, banyaknya pasir kat tangan tu, nak buat apa pagi-pagi ni bawak pasir?"

Bab tanya-menanya ni memang makcik-makcik kampung Jamal terer-terer. Sepatutnya, dalam mengorek rahsia, PDRM sepatutnya memanggil makcik-makcik di kampung Jamal untuk sesi interrogation. Mereka memang power dalam mengorek rahsia dan membocorkannya. 

"Goreng buoh minja mok cik." Jawab Jamal sambil berlari-lari anak.

"Ada lagi orang makan buoh minja zaman sekarang. Makan la nasik, makan buoh apa barang, dok payoh susoh cari pasir." Sindir Mak Cik Saodah sambil mengangkat beras cap Rambutan yang dibelinya dengan hanya menggunakan sebelah tangan.

Jamal tersenyum manis. Sindiran Mak Cik Saodah umpama gigitan nyamuk di celah betis sahaja bagi Jamal. Ini kerana Jamal merupakan seorang lelaki yang tahan sindiran, kalaulah disindir sehari, Jamal masih tidak bergerak. Lagi pula, Jamal meminati muzik-muzik tradisional, tidak hairanlah beliau ampuh disindir; dari Tingkatan 2 lagi beliau sudah diejek muka pembunuh hati berbunga oleh rakan-rakan, hanya kerana masuk pementasan Ulik Mayang.

"Tak susah cari pasir ni makcik. Mati besok-besok rumah pasir jugak kita ni. Saya ni muda baguslah dah reti kenal pasir. Ni yang tua ni, tak kenal pasir, bahaya makcik.."

Mak Cik Saodah tersedak kuih koci mendengarkan jawapan Jamal. Sedakannya begitu kuat hingga menyebabkan Mak Cik Ronah termakan sedikit apa yang dibatukkan Mak Cik Saodah.

Nota : Buah minja adalah buah malinja.

Hajat yang Tidak Kesampaian

Satu persatu; jiwamu luruh, matamu bengkak
menangis kerana hatimu retak;
usahlah menangis lagi, airmatamu gasak,
membunuh, menikam, mengoyak,
menyiat-nyiat isi dagingku berselerak,
"Aku lepaskanmu," anggukku tdak berkudrat,
Cukuplah membentak.

Apakah kamu mengira tanaman sayang ini
tidak ku hargai? Yangku baja seluruh hati;
hingga pernah kamu mengangguk, tersenyum sendiri;
"Tangisan gembiraku memonopoli!" Ingatkah ini?
Dalil kebahagiaan engkau kecapi,
mengayuh dayung dalam perahu dunia ini,
berhajatkan sampai ke sana bersama; tidak sendiri.

Seperti sepotong sutera yang lembut lemah;
engkau mudah sekali koyak dan rebah,
"Maafkan aku," tuturku tidak gagah:
"Aku tidak mahu kamu berubah,"
"Menjadi derhaka, hak mereka nyata tidak pernah goyah,"
Walau sekalian ronggaku mengeluarkan darah
berhajatkanmu; hati mereka tidak sesekali berubah.

"Cukuplah tangismu, sayang!" Sinisku
bersama tangisan yang turut menitis laju;
Kamu bahkan lebih bahagia dengan izinMu,
aku yakin dalam doa tulusku.
Usah dihitung keadaan lelaki itu,
dia sedang menulis untukmu,
sehingga jari-jemarinya kaku
tersusun dalam sebuah kotak kayu,
berlapikkan tanah tidak berbatu.

Berlari-lari Jauh.

Pecah berantak keluargamu
dek tindak dan tandukku
bukannya ini kemahuan
juga tidak keinginan
dari seketul jiwa
yang inginkan
penyatuan.

Hamba.


Kamu derhaka, ingkariNya,
kamu bilang kamu cinta
zahirmu
ini bahkan aneh.

Dibatini zauq cinta
melahiri tindak taat
jalan seorang
hamba berjaya.

Kromo Ingin.

Kabut malam ini berselindung,
di balik asap-asap,
kretek membakar.
Ah, sukar, inilah dia.

Apa ini ertinya? 
Jua ini patinya?
Kaku makna barangkali,
dinilai ditimbang,
mata sudut begini.
Ah, menancap tajam hikmahmu.

Setahun ia datang,
sebulan bertahan,
datang hari ini.
Hari ekspresi? 
Riang bersukahati?
Mungkin juga luahan,
kemenangan diri,
atau mungkin ratapan,
tangisi pemergi.

Kudrat keringatmu,
sebelum-sebelum,
secelaka dirimu.
Apakah layak,
kamu girang-girang,
di hari hasil?

Kamu masih bertatih,
kamu belum berpenat jerih.
Hari ini kamu ria?
Bangsat dirimu.
Sebangsat amalanmu.

Warkah dari Imah.

Dia masih terpana. Alam sekelilingnya seolah ikut pana, diam, termangu. Hanya angin pantai yang berdesir halus di telinganya seolah membisikkan sesuatu yang ganjil, "Kau tikam hatinya, kau bius hatinya!"

Dia kemudiannya tersentak, dihayun langkah kakinya yang longlai menuju ke arah lelaki lanjut usia tersebut sedang kudratnya dikumpul sedaya upaya untuk menuturkan beberapa kalimat, "Maafkan Ajim, pakcik!"

********

Dia duduk menghadap tingkap biliknya yang terbuka luas. Kepalanya dibenamkan sekuat hati menerjah angin pantai yang laju bertiup menampar-nampar mukanya. Dia sepertinya gembira bercampur sedih, gembira kerana kerunsingan yang dialaminya beberapa hari yang lepas seakan mati tersadai sebaik sahaja kakinya menjejak pasir-pasir halaman rumahnya yang memutih atau juga sedih kerana pulang ke rumah yang tidak lagi berpenghuni. Berapa tahun, fikirnya. Seingatnya mungkin sepuluh, atau sebelas tahun. Ah, yang penting dia pulang!

Soal malu akan cerita lama itu harus ditutup. Itu harus ditutup. Ya, simbah sahaja sebarang jenis peluntur, agar ia hilang tidak melekat di benak otaknya lagi. Ini kehidupan baru, dia harus pulang. Tempatnya lahir, tempatnya bermain segala macam permainan waktu kecilnya, tempat mula dia mengenal kawan, tempat mana disuruh tunjuk huruf-huruf Quran bermula alif sampai kepada ya, tempat itu juga bersemadi segala macam waris saudaranya, bahkan tempat itu juga maruah dirinya ditelanjangkan!

Dia harus pandai berwatak pemaaf.

Dia harus jiwai watak pemurah.

Rumahnya kosong, rumah peninggalan keluarganya itu tidak lagi berpenghuni. Hanya mengharapkan Pak Usop, jirannya selaku sahabat arwah bapanya itu sahaja yang membersihkannya. Itupun hanya jarang-jarang. Setelah diberitakan kepada Pak Usop akan kepulangannya hari inilah yang membuatkan rumahnya disusun atur kembali dengan bantuan Pak Usop dan anak-anaknya. Khabarnya Pak Usop sekeluarga terhutang budi pada bapanya hinggakan kematian ibu bapanya juga tidak manghalang Pak Usop dari terus berkhidmat kepada rumahnya.

Dia menatap sayu melihat dinding-dinding kayu rumahnya itu yang tidak berwarna, kusam, hapak, baunya. Dipandang contengan-contengan di dinding yang tertera pelbagai kenangan waktu kecilnya itu, waktu beliau masih lagi jauh pada erti cinta seorang wanita ajnabi! Hatinya sebak. Dipandang halaman luar rumahnya yang  dahulunya sarat dengan pelbagai tanaman, ada kunyit, ada serai, ada ulam raja, ada segalanya, kini kontang tanaman. Terbayang arwah ibunya tersenyum memandangnya dari halaman tersebut, sambil di tangannya beberapa helai daun kari. Rindunya kepada yang tiada semakin memuncak. Umpama potongan wayang gambar, kenangan lamanya tertera di hadapan mata hitamnya sedikit demi sedikit. Puas dielak, semakin galak. Dia akur. Tunduk menyerah, dibiarkan sahaja wayang sejarahnya berputar kembali.

Sambil matanya melorot air, jernih, tepat keluar dari soket matanya.

********


"Mu balik kali ning berape lama? Duduklah lame siket, lepas mok mu meninggal, mu dok balik kapong lasung. Baliklah jenguk kubor mok. Deduk bandor nun pun tak dok bende jugok."

Sepertinya Pak Usop mengharap, bermata tajam memandang ke arahnya. Mata Pak Usop itu sekejap tajam, sekejap sayu umpama sebuah bahasa isyarat menandakannya marah dan simpati pada masa yang sama. Dia hanya tersenyum memandang Pak Usop. Kisah hidupnya suatu masa dahulu itu benar diketahui oleh Pak Usop sendiri. Bait ke bait, rangkap ke rangkap, semuanya dalam genggaman Pak Usop mata dan ilmu Pak Usop. Beliau mengetahuinya lebih pada warga masyarakat setempatnya yang lain, yang hanya bergantung kepada khabar dari mulut, itupun sekadar menjengah khabar, tidak bersungguh mengetahui yang tepat. Khabar angin! Itulah sikapnya!

"Jenguklah jugok 'orang tua' tu. Kesianlah ke dia. Dulu masa tu dia tersaloh, dia terlajok."

Dia hanya menyudutkan badannya ke dinding pagar apabila mendengarkan kata Pak Usop itu. Pemaaf itu darah yang jarang mengalir dalam keturunannya. Kalaupun ada, hanya untuk telingkah kecil. Telingkah ini? Mungkin boleh jadi ada darah pemaafnya, mungkin tiada. Hanya yang dia tahu, sepuluh, ah, mungkin sebelas tahun ini, hanya darah amarah. Darah amarah yang laju ligat mengalir. Setahun menjaga ibunya yang jatuh sakit sekaligus penyebab kematiannya dek tamparan hebat fitnah 'orang tua' itu dan sepuluh, ah, mungkin sebelas tahun hidup sepi, terbuang di kotaraya, sambil dikelek bersama bungkusan berisi harta sehelai sepinggang dan juga segunung dendam.

********

Azan Asar berkumandang, sayup didengarinya dari ruang tamu rumah sunyinya itu. Biarlah rumah ini kekal begini. Dia tidak berkehendakkan rumah ini mahupun tanah yang mendokong rumah ini hampir tujuh dekad. Semenjak kematian bapaknya sewaktu dia masih lagi bertatih ke dapur, ibunyalah yang membesarkannya dari kecil. Hanya berupahkan wang siang ikan di sebuah bangsal membuat keropok, hingga kaki ibunya dipenuhi kudis-kudis dan sisik-sisik ikan, namun ibunya masih mampu menyekolahkannya. Anak tunggal, belanjanya tidak seberapa. Ibunya cantik, hitam manis orangnya. Sewaktu dia remaja, ada sahaja yang ingin mengahwini ibunya, namun ibunya tidak berkenan, tidak mahu. Dia selesa jika ibunya berkahwin lagi dan dia beroleh bapa tiri. Tidak mengapa kata hatinya. Namun ibunya tidak berganjak, tidak mahu beralih walau sedikit cintanya terhadap suaminya.

Ibunya cinta benar akan bapaknya. Almari bapaknya sentiasa kemas, bajunya sentiasa bersih, tidak dihinggapi habuk. Lagak ibunya menjaga peninggalan bapaknya seperti arwah masih hidup, Kata ibunya, "Ayoh mung lah teman mok, atah dunia pun dia, akhirat kekgi pun mok nok die jugok." Hatta sehingga hari kematiannya, ibunya tidak pernah lekang bercerita tentang bapanya, baik keramahannya, baik hatinya, mahupun keberaniannya yang ingin menyara keluarga hingga hilang lemas dipukul ombak sewaktu musim tengkujuh!

Dia bangun dari katilnya, duduk sebentar, diseka air mata rindunya kepada arwah ibu bapanya. Beliau akhirnya bangun, melangkah ke arah telaga rumahnya utntuk berwudhuk. Timbanya masih ada di tepi telaga, tersusun bersih hasil jagaan Pak Usop.

"Masa untuk melepaskan rindu pada Yang Tak Akan Mati pula.."

Allahu Akbar!

********

Buat Abang Ajim yang dikasihi,


Cukuplah ketiga kali sudah Imah utuskan surat kepada abang mengharapkan balasan. Imah sememangnya ingin bertekur sujud memohon ampun kepada abang Ajim dan bonda atas kesilapan ayahanda Imah kepada abang Ajim dua beranak. Ampunkan Imah, abang..


Ketahuilah abang, hati Imah ini tidak pernah menaruh rasa benci kepada abang, sepanjang selepas berlakunya kejadian tersebut, tidak pernah Imah tidak sesali walau sedikitpun. Abang Ajim, Imah tidak pernah tahu kesudahannya bakal menjadi begini. Kalaulah Imah jangkakan semua ini dari awal, sudah tentu Imah tidak akan pernah meminta abang masuk melamar Imah dari awal.


Janganlah kiranya abang manaruh rasa dendam terhadap ayahanda, semua ini hanyalah berlaku dek kerana silap Imah sendiri. Apa yang Imah pinta, usahlah abang percaya bulat-bulat khabar angin mengatakan semua ini berlaku kerana darjat. Tiada apa yang berdarjat antara kita wahai abang Ajim yang ku kasehi. Itu hanyalah buah mulut orang yang diusung masyarakat. 


Pinta Imah ini harapnya sudilah abang Ajim penuhi, lupakanlah silap ayahanda kepada abang dua beranak. Ayahanda cumalah ingin memelihara dan menjaga anak gadisnya sahaja. Walaupun pilihannya mencari yang berada itu tidaklah tepat, namun sebagai anak yang lahir dari sulbinya, tidaklah Imah mampu melawan melainkan akur taat padanya sebagai bapa. 


Ketahuilah abang, Imah ini tidak pernah merasa bahagia walau sesaat selepas berlakunya segala macam musibah ini. Sudilah kiranya abang membalas warkah ini, mungkin ini yang terakhir kerana Imah bakal menjadi isteri orang tidak lama lagi.


Imah juga mendoakan semoga bonda abang Ajim kembali sembuh. Usahlah dikenang benar peristiwa itu, kalaulah resah bonda itu berlarutan, bahaya laratnya wahai abang Ajim. Semoga abang Ajim tabah.


Yang mengharap, 
Kasihmu Imah.

Tidak berbalas, sehingga saat tiba surat terakhir Imah ini, ia tidak pernah dibalas. Itulah yang terakhir, dia tidak lagi menerima surat daripada Imah. Dia juga tidak mengambil tahu, apa Imah sudah beranak-pinak, bahagia dengan keluarganya.

Dia melipatnya kembali, rapi dan kemas. Kemudian diselitkannya kembali ke dalam beg duitnya yang kusam itu.

********

Ombak pantai itu dibiarkannya menjamah kakinya, lembut. Buih-buih ombak itu memutih, pekat. Seluarnya basah, lencun, manakala kepalanya masih tepat memandang horizon kaki langit. Terpana, gamam dan diam. Namun otaknya masih ligat berfikir. Kakinya tenggelam sedikit demi sedikit ke dalam pasir pantai yang dijamah ombak. Lemas kesan pasir itu seolah-olah juga menjerut leher dan rongga pernafasannya. Perkhabaran yang sangat meruntun jiwanya yang didengarinya sebentar tadi dari Pok Dir seolah-olah memakunya terus diam, berdiri memandang horizon, dan terus kelu seribu bahasa.

Perkhabaran tentang hal sebenar, hal Imah.

Hal kematiannya sebelum kahwin, dua hari sebelum kahwin, sakit naluri wanitanya, dek rindu pada kasihnya yang terputus, yang ditanggung berbulan-bulan, bahkan suratnya berjilid tiga tidak berbalas walau satu, semua itu umpama pisau, menikam-nikam jasad wanita yang lemah lembut itu hingga tangannya yang dahulu mampu memegang pena memahat kata, kini lemah dan sakit hingga deritanya memakan nyawa!

Imah! Imah! Ampunkan abang!

Dia teresak-esak. Titis air matanya mencurah keluar, hilang diseka ombak. Terbang dan hanyut ke lautan, saksi derita pelbagai kasta.

********


Dari bangsal kayu-kayu dan daun kelapa itu, jelas ternampak sosok tubuh seorang lelaki lanjut usia sedang khusyuk menggulung-gulung daun rokoknya sambil kakinya berlunjur ke arah laut. Kepalanya tidak lagi dipenuhi rambut, yang ada hanyalah kain batik yang dililit kemas menutupi kepalanya. Sosok itu sangat dikenalinya, yang menyambung sisa-sisa hidup selepas kematian anak gadisnya. Sosok itu juga berteleku di hadapan laut, saksi deritanya.

Dia ke hadapan sedikit, kakinya dilangkah perlahan, diatur bersama rasa bersalah. Lelaki tua tersebeut menyedari kehadirannya lantas bangun. Melihatkan wajah orang tua tersebut, dia makin bertambah gamam. Mendekatinya semakin tidak mudah, semakin dekat semakin menebal rasa bersalah. Hatinya makin sayu, makin sebak melihat orang tua itu melibas-libas baju pagoda lusuhnya ke atas pangkin di sebelahnya sambil tersenyum ke arahnya, dan matanya, matanya, berkaca dan berair mengisyaratkannya duduk di sebelahnya!

Dia masih terpana. Alam sekelilingnya seolah ikut pana, diam, termangu. Hanya angin pantai yang berdesir halus di telinganya seolah membisikkan sesuatu yang ganjil, "Kau tikam hatinya, kau bius hatinya!"

Dia kemudiannya tersentak, dihayun langkah kakinya yang longlai menuju ke arah lelaki lanjut usia tersebut sedang kudratnya dikumpul sedaya upaya untuk menuturkan beberapa kalimat, "Maafkan Ajim, pakcik!"

*******
kerana cinta, dua jiwa terpisah
kerana cinta, dua jiwa berubah!
cinta itu...
ganjil wataknya!

Angan.

Kalau kita ini pemalas, jangan sangka semua benda kita mampu capai. Apa kita ingat senang nak capai kalau kita pemalas? Kalau kita pemalas, tapi nak capai macam-macam, itu angan-angan. Mat Jenin!

Tapi setiap orang ada angan-angan dia.

Macam saya, suka saya angankan yang satu hari nanti saya bakal menjadi seorang yang kaya. Kaya-raya, bukannya kaya bodoh-bodoh, cikai-cikai, tapi kaya betul-betul.

Tapi itu masa kecil-kecil, zaman tidak berbulu di mana-mana. Sekarang dah macam gorilla sikit, tidak timbul lagi rasa mahu kaya. Sekarang ini timbul angan-angan lain.

Mahu jadi orang berilmu.

Amacam?

Boleh kan? Insyallah boleh kalau saya usaha. Tapi saya tak usaha. Itu yang jadi masalah. Sekarang ni saya duduk lepak dekat kedai, makan roti jala cicah kari belakang UIA.

Pehhh, sedap betul, tapi kejadah apa kan petang-petang kedarah roti jala lagi? Hidup dekat KL ni biasalah. Kena faham dan teliti. Alert!

Jadi sekarang ni, saya nak bayar roti jala dulu. Angan-angan saya itu sepertinya bakal kekal angan-angan.

Tapi doakan saya.

posted from Bloggeroid

Mengaji.

Bagi penduduk Terengganu, 'mengaji' merupakan suatu perkataan yang memberi maksud yang pelbagai. Makna dari segi bahasanya adalah mengaji Al-Quran. Perkataan ini ada juga digunakan untuk memberi maksud belajar atau menuntut ilmu.

"Doh guane gamok doh mung lening?"
Apa khabar engkau sekarang?

"Ambe mengaji pondok lening."
Saya belajar di pondok sekarang.

Ceritanya, saya sewaktu kecil, saya mengaji Al-Quran dengan guru mengaji saya yang dipanggil Chik Mang. Arwah merupakan seorang guru mengaji yang oleh saya kategorikan sebagai tegas. Kalau mengajinya tidak lancar, maka tidak akan dialih hari itu kepada mukasurat baru. Selagi tidak lancar di muka surat itu, selagi itulah anda berada di takuk yang sama.

Itu mengaji di waktu pagi.

Waktu malamnya, saya berguru dengan abang kepada arwah Chik Mang. Beliau dikenali dengan Pok Teh Kor. Siang dengan adiknya, malam dengan abangnya. Itu adalah antara rutin harian saya dalam mengaji hingga tamat semuanya.

Ini cerita mengaji Al-Quran.

Lain pula dengan cerita mengaji dari segi menuntut ilmu. Ustaz saya bilang dalam kelasnya semalam, kalau anda pelajar Bahasa Arab belajar semata-mata kerana inginkan kerja, berhentilah belajar, meniaga lagi bagus. Ustaz saya ini orang Kedah, kata-katanya lembut, tapi isinya tepat menikam kalbu. Bunyinya ada macam begini :

"Kita belajaq bahasa Arab sebab nak tuntut keredhaan Allah, bukan carik duit. Hangpa kalau belajaq Bahasa Arab semata-mata nak kerja, nak carik duit, baik hangpa berenti jugak la ni, hangpa juai aiskrim lagi baguih. Satu tong dapat 75 ringgit. Dua tong dapat 150 ringgit satu hari."

Saya ingat-ingatkan balik, dahulunya saya tidak tahu sebab apa saya belajar. Saya hanya sepertinya menurut perintah emak dan bapak. Dibilangnya pergi ke sekolah, saya pergi, masuk universiti, saya masuk. Saya kosong.

Sekarang saya tahu.



Lok.

Saya selalunya ikut diam apabila kawan-kawan yang rapat dengan saya berada dalam situasi yang dipanggil 'kemarahan'.

Ada di antara mereka yang marah-marah dengan menghempas barang, menumbuk dinding, menggunakan pendekatan jerkahan menggunakan suara, mengherdik, memaki-hamun, mencarut, dan yang paling ramai adalah dengan menggunakan pendekatan diam. Orang putih menggelarnya sebagai "silent treatment".

Bagi saya, sebagai rakan kepada seseorang yang sedang marah, saya ikut diam. Jika dia marahkan saya, saya diam, jika dia herdik saya, saya ikut diam. Dahulu sewaktu kecil-kecil, saya ikut mengherdik, masing-masing sama mengherdik sehingga pertelingkahan beralih hingga ke tahap menggunakan kaki dan tangan.

Itu sewaktu kecil.

Sewaktu hati ini masih mempercayai para Ultraman sebenarnya terdiri daripada adik beradik. Ultraman Taro yang paling sulung, diikuti Ultraman Seven. Selalunya saya fikir, sewaktu mereka berdua masih kecil, semestinya mereka pernah bergaduh sesama sendiri berebutkan coklat atau apa-apa sahaja, jadi saya ibaratkan saya dengan kawan, adik beradik saya seperti adik beradik Ultraman apaila bergaduh dan bertumbuk. Masing-masing adalah hero.

Tapi ingat, saya yang paling hero.

Kini apabila saya meningkat dewasa, saya merasakan menjadi Ultraman bukan lagi cita-cita saya. Saya lebih suka diam. Orang Terengganu rata-ratanya memanggil pendekatan ini sebagai 'lok'. 'Lok' ini maksudnya sama seperti membiarkan, biarkan, lupakan, jangan hiraukan atau seumpamanya.

"Lok ke dia lah jangan duk carre ke die, biar die ngajuk sorang diri."

"Biarkan dia, jangan hiraukan dia, biarkan dia merajuk seorang diri."

Emak saya selalu mengutarakan ayat tersebut sewaktu saya kecil, tika saya merajuk akan sesuatu lantas membuatkan saya duduk menyorok di sebalik almari pinggan rumah saya untuk beberapa minit. Biasanya teknik merajuk saya ini hanya mampu bertahan sebentar, ini kerana bapa saya tidak suka 'lok' saya merajuk. Beliau lebih menggunakan teknik 'kutil','cekit', 'piat' atau rodang'.

Saya rindu emak dan bapak saya.

Masa.

Saya pernah duduk asrama penuh.

Banyak tabiat-tabiat manusia yang saya belajar sewaktu saya menduduki asrama penuh suatu masa dahulu. Ada yang suka mandi telanjang tanpa kain basahan, ada yang gosok gigi tanpa ubat gigi, ada juga yang gosok gigi dengan ubat gigi menggunakan jari, dan pelbagai lagi tabiat pelik yang ada. Yang paling tak boleh blah, ada yang suka bermain kentut kepal dengan sahabat-sahabat.

Saya yakin anda tahu apa itu kentut kepal, bukan?

Kalau tidak tahu, anda memang lame. Orang Malaysia memang suka main kentut-kentut kepal ni. Suami isteri pun ada yang mengamalkannya secara rahsia daripada mertua-mertua mereka. Sedangkan mertua-mertua mereka mungkin bermain kentut kepal juga.

Ok, enough dengan kentut kepal.

Apa yang saya nak ceritakan tadi, sewaktu di asrama, saya selalu sahaja dengar senior-senior mengatakan kepada saya bahawa sewaktu beliau sebaya dengan saya, zamannya ketika itu di asrama merupakan yang terhebat, terbaik, terbest, terenak dan seumpamanya yang menunjukkan kegembiraan hati senior saya yang sesuai dengannya.

Itu sewaktu saya masih di Tingkatan 1. Sewaktu saya masih cuba membelah tengah rambut saya sedangkan rambut saya berkerinting yang sangat kuat kerintingnya seperti spring. Saya hanya mendengar cerita hati senior saya itu dengan disusuli oleh anggukan kepala tanda setuju.

Realitinya, kenyataan senior saya itu menyebabkan saya berasa gundah gulana. Ini kerana sebagai seorang junior yang boleh tahan poyo, saya merasakan menjadi senior merupakan perkara yang paling best waktu itu. Pelbagai benda boleh dilakukan oleh senior, boleh suruh budak-budak macam saya basuh baju, beli rokok, ambil air dekat dewan makan, mintak biskut, maggi kari atau tomyam, dan sebagainya.

Kenapa senior saya lebih sukakan zamannya ketika beliau menjadi junior? Saya tak tahu dan saya malas nak tanya banyak-banyak. Karang dilempangnya saya, saya juga yang terkedu. Nak lempang balik kompom tak berani.

Kini saya berumur 22 tahun.

Saya baru tahu, tidak kisahlah apa yang saya mahu atau apa yang saya rasa lebih seronok daripada masa silam atau masa akan datang, saya perlu sedar satu perkara.

Masa sekarang terus bergerak.

Jangok.

Antara perkataan-perkataan yang wujud dalam percakapan orang Terengganu yang paling saya suka adalah 'jangok'. Jangok ini bermaksud melawa, bergaya, berfesyen dan sebagainya yang sesuai.

"Jangoknye mung hari ning!"

"Jangok sangat mung ning macam ge polis Batu Rakit!"

Itu antara contoh-contoh ayat yang ada, sesuai untuk perkataan jangok.

Sewaktu saya kecil-kecil dahulu, saya suka benar menyikat rambut belah tepi. Sekali imbas, mungkin ada yang menyamakan saya seperti Hitler versi mini. Dengan kemejanya yang dibutang sehingga ke atas, rambut disikat belah tepi, beserta dengan pipi yang putih melepak disapu bedak oleh ibu saya.

Ya, saya suka berjangok.

Tapi jangok saya sekarang sudah hilang. Bila sahaja meningkat dewasa, semangat untuk berjangok semakin hilang. Semakin lama semakin selekeh, semakin lama semakin kurang jangoknya. Baju yang dipakai biasa-biasa sahaja.

Kata bapak saya, "Jangok-jangok tapi takdok pitih buat mende."

Saya fikir, urusan jangok saya nanti biarlah bakal isteri saya yang uruskan. Itupun kalau ada perempuan yang berkehendakkan.

Teringat kata Buya HAMKA :

"Badan yang besar dan gagah, pakaian yang perlente dan mahal, tetapi kosong daripada ilmu adalah laksana guni (karung) besar tertegak sedang isinya hanya debu. Ilmu yang dalam, fikiran yang lanjut tetapi badan yang sakit-sakit adalah laksana lilin menyala. Orang lain dierinya terang, sedang dirinya terbakar."


Insaf Nak Mampus.

Itu hari ondaway saya nak pergi UIAM untuk memulakan pengajian pada semester baru, saya ada berhenti dekat R&R di Temerloh.

Jadi sampainya dalam pukul 6 lebih, saya semayang Asar dulu dekat sana. Lepas semayang, terus pergi kafe cari makanan. Sudah-sudah makan nasik dalam 2,3 pinggan, lepak-lepak dulu tunggu Maghrib. Selang 2,3 minit, terus azan Magrib.

Bila dah azan Maghrib, terus pergi solatlah ye dak? Kejadah apanya duk lepak lagi macam kambing kan? Cakap nak kejayaan. Jadi, kena rajin solatlah.

Sampai dalam surau di R&R tu, saya terkesima.

Ada seorang anak duk pimpin bapak dia yang buta. Start daripada masuk surau, sampai kat mana letak selipar, sampai kat tempat air sembahyang, sudah sembahyang, cari selipar balik, jalan kaki ke kereta, semua anak dia ada, pimpin tangan dia. Anak itu dalam lingkungan sekolah rendah lagi.

Sayangnya dia kat bapak dia.

Allahu Rabbi.

Saya sudah berumur 22 tahun, saya masih terfikir apa benda yang pernah saya buat untuk menggembirakan hati bapak saya. Bukan, bukan menggembirakan, cukup saya katakan, membolehkan bapak saya fikir dia telah berjaya mendidik anaknya yang sorang ni.

Saya sayang bapak saya, tapi saya susah nak tunjuk.

Rugi, rugi.

Rugi 22 tahun.

"Mitok maaf banyok ayoh ehh!"

Kisah Cinta Azmi.

Tepat jam 1 tengahari, Azmi mula meraban mencari kunci keretanya. Beliau ingin mengambil anak saudaranya di sekolah. Jika diikutkan hatinya, beliau boleh sahaja menyuruh adiknya mengambil anak-anak itu, tapi apakan daya, setelah seorang cikgu praktikal di sekolah tersebut mengenyit mata terhadap beliau, beliau makin galak mengambil anak saudaranya di sekolah.

Jika keadaannya terdesak, Azmi akan sengaja ke sekolah tersebut pada waktu rehat jam 10 pagi hanya dengan harapan dapat bertemu cikgu tersebut. Pada kebiasaannya, beliau akan menempah mee rebus yang berharga seringgit semangkuk, lalu dimakannya di tepi pintu bilik makan cikgu-cikgu dengan hanya memakai seluar trek Boss, baju pagoda, dan bertopi jerami. Ini semua adalah taktik penyamarannya sebagai tukang kebun agar tidak disalah erti pihak pentadbiran sekolah sebagai penculik kanak-kanak. Nasibnya baik kerana jaga sekolah tersebut merupakan kawan mengajinya sewaktu belum bersunat dahulu.

***

"Manalah pak sedare aku ni. Lambat benor sampai."

Anak saudara Azmi yang sulung mengomel-ngomel sendirian sewaktu menunggu Azmi tiba. Rakan-rakannya yang lain semua sudah pulang, hanya tinggal dia dengan adik lelakinya sahaja lagi yang belum pulang.

"Kak Chah, tengok ni Amin jumpa apa."

Ngomelnya terhenti dek panggilan adik lelakinya tersebut yang dari tadi asyik menguis pasir di dalam pasu bunga sebelah bilik koperasi sekolah tersebut. Dia tahu, adiknya pasti terjumpa cacing. Adik lelakinya itu gemar benar bermain pasir.

"Ni, taruk cacing tu dalam tapewer Kak Chah ni. Balik nanti kita laga dengan cacing Kak Cah."

Amin lantas mengambil cacing tersebut lalu meletakkanya di dalam tapewer kakaknya yang berwarna pink itu.

"Amin nak namakan dia Amri sebab dia jantan."

"Eleh, ingat bagi name Amri jadi kuatlah? Cacing Kak Chah nama Kuntum je, tapi asik menang je dengan cacing Amin. Haa, jawablah, jawablah.."

Amin mencebik geram. Bagi Amin, Kak Chah hanya menamakan semua cacing-cacing yang ditemuinya dengan nama perempuan walhal cacing-cacing tersebut ada di antaranya cacing jantan.

"Kak Chah cacing jantan pun bagi nama perempuan jugak. Such an ignorant.. Blueerrrkk...."

Kak Chah yang dari tadi memprovok Amin akhirnya diprovok kembali oleh Amin dengan jawapan yang sangat selamba dan menyenyeh. Kini kedua-duanya bersedia ingin bertikam lidah.

"Mana Amin tahu cacing tu betina, cacing tu jantan? Cacing mana ada alat sulit. Ha jawablah jawab!!"

Oleh sebab mereka sering berbalah tentang bab jantina cacing semenjak mereka dikenalkan dengan sukan laga cacing oleh Azmi, Amin sudah dapat menjangka Kak Chah akan bertanyakan soalan tersebut. Walaupun dia tampak tidak memberikan perhatian terhadap soalan Kak Chah melihat daripada tingkah lakunya pada waktu itu yang nampak asyik mengikis cat dinding sekolah, sebenarnya dia telah bersedia.

"Kan Amin dah cakap nama dia Amri, mestilah dia jantan!!!"

****
Cikgu Putri Mardiana Puspa yang dari tadi asyik mundar-mandir di hadapan motor EX5nya itu tampak betul resah. Beliau yang seharusnya sudah pulang ke rumah sewanya masih lagi dilihat berkeliaran seperti kambing di kawasan parking motor sekolah rendah tersebut. Helmetnya yang dipakai dengan tidak semenggah itu menunjukkan beliau sedang khusyuk memikirkan sesuatu.

"Manalah Azmi ni, aku dah nak balik dah nie.... Isk."

"Hai, Cikgu Putri Mardiana Puspa tak balik lagi ke?

Sapaan daripada Cikgu Halim yang bertugas selaku ketua disiplin sekolah tersebut mematikan lamunan Cikgu Putri Mardiana Puspa. Beliau sebenarnya agak takut untuk berhadapan dengan Cikgu Halim kerana beliau berperwatakan garang. Misainya yang lebat itu bukan sahaja menakutkan murid-murid, bahkan ada khabar angin mengatakan tukang kebun sekolah pernah menangis meminta maaf dengan Cikgu Halim kerana cikgu tersebut mengatakan tukang kebun tersebut menghisap ganja bersama makcik kantin di dalam semak belakang tiang gol padang sekolah sebelah parit. Hakikatnya tukang kebun tersebut, Pak Najib, hanya bermain sorok-sorok dengan makcik kantin yang bernama Makcik Rosmoh itu.

"Takyahlah bercikgu-cikgu sangat dengan saya yang lawa ni, panggil Pus je."

Cikgu Putri Mardiana cuba berbasa basi dengan Cikgu Halim bagi mengelakkan dirinya dilempang.

"Ha yelah Pus, dok balik lagi ke?" Balas Cikgu Halim sambil membuat isyarat love dengan tangannya ke atas kepala, seperti awek-awek Korea selalu buat dalam televisen. Cikgu Putri Mardiana yang cuba menahan loyanya melihat Cikgu Halim bertingkah sedemikian dengan pantas memalingkan mukanya terhadap raga motor Pak Najib dan memuntahkan isi perutnya ke dalam raga tersebut.

Pak Najib yang sedang mengasah cangkulnya terkejut melihat tindakan Cikgu Putri Mardiana Puspa yang muntah dalam raga motor C70 itu. Tapi kejutannya itu hanya sementara. Beliau tidak kisah sangat pasal muntah-muntah, yang penting cangkulnya tajam, dan Mak Cik Rosmoh gembira.

"Cikgu Halim ni bodoh sangat kenape, saya ada kat sini lagi, tak balik lagilah.. Apakebodohnya soalan. Cikgulah sangat, bodoh tak bertempat. Kalau nak jadi cikgu, biarlah cerdik sikit. Macam bangang.. Hmm.. Bodoh betul.."

Cikgu Halim tersenyum mendengarkan jawapan Cikgu Putri Mardiana Puspa yang mencacinya dengan selamba itu.

"Eh senyum pulak, ingat cantik sangatlah tu senyum. Muka macam ungka nak senyum-senyum. Pegi mampuslah.."

Cikgu Halim yang tersenyum itu mula bertindak mengangkangkan kakinya dengan luas, lantas diangkat kepalanya ke atas seperti pemain-pemain silat warm up sebelum latihan. Cikgu Putri Mardiana Puspa yang hairan melihat tingkahlaku Cikgu Halim tersebut mula tersedar beliau telah terlajak kata.

"Maafkan saya setan, saya tersalah caci tadi. Eh, Cikgu Halim. Maafkan saya.."

"Tak apa, saya memang dah biasa kena maki dengan orang. Tak jadik kudis gatal punn.."

Cikgu Putri Mardiana tersenyum mendengarkan kata-kata Cikgu Halim. Hati beliau lega, Cikgu Halim tidak memarahi atau berkecil hati dengannya. Benarlah kata cikgu-cikgu lain, Cikgu Halim ni baik orangnya, cuma mukanya sahaja yang buruk yang menyebakan tidak ramai wanita menyukainya.

****

Vroom! Vroom!

Bunyi enjin kereta Kenari turbo Azmi yang power itu akhirnya kedengaran di pekarangan sekolah rendah tersebut. Azmi merupakan salah seorang samseng kampung tidak bertauliah itu memang gemar memarkir keretanya di hadapan bendera tempat murid-murid sekolah berhimpun pada hari perhimpunan. Pada kebiasaanya, apabila Azmi turun dari keretanya, beliau akan menyanyikan lagu Negaraku dan Allah selamatkan Tuanku Sultan sebagai tanda respek beliau terhadap bendera di hadapan keretanya.

"Mana Amin? Jomlah balik. 3 saat dah aku tunggu engkorang berdua ni. Berpeluh ketiak Pak Hamid tunggu."

Azmi cuba melawak dengan anak saudaranya yang sulung itu dengan mengutarakan lawak Pak Hamid, sisi gelap Azmi. Azmi berpendapat Pak Hamid adalah sisi gelap dirinya dengan berkelakuan seperti seorang tua yang gemar mengambil tanah orang, melempang anak-anak dara yang cantik, dan memeras ugut penjual aiskrim kampungnya. Walaubagaimanapun, Pak Hamid yang merupakan sisi gelapnya itu tidak pernah mendaftar di Jabatan Pendaftaran untuk mendapatkan IC. Ini kerana Azmi sudah punyai IC. Azmi adalah Pak Hamid, Pak Hamid adalah Azmi.

"Amin ntah mana perginya.. Tadi ada duduk sepak-sepak pasu bunga depan koperasi."

Azmi menghela nafasnya panjang-panjang. Beliau risau dengan sikap Amin yang agresif tersebut. Ada sahaja barang-barang yang ingin dipecahkannya.

"Ayah Anjang! Tunggu Amin!"

Amin tiba-tiba muncul dengan membawa sepotong mesin ketam kayu di tangannya. Azmi tahu, mesin tersebut mesti diambil Amin di bilik KHB sekolahnya.

"Apakejadahnya kau bawak mesin tu kat tangan? Letak balik, letak balik!"

Azmi yang panas kepala kerana menunggu Amin sehingga mencecah 6 saat tersebut mula berang. Sudahlah tidak dapat melihat Cikgu Putri Mardiana Puspa, anak saudaranya Amin ini pula buat hal.

Prit Prit! Prit Prit!

Azmi dengan pantas berpaling ke belakang apabila mendengarkan hon motor yang kuat tersebut. Dilihatnya Cikgu Putri Mardiana di atas motor, mengenyit matanya sekali lagi terhadap Azmi dari jauh. Azmi yang tunduk dan melihat dari celah kangkangnya itu terkejut, lantas beliau jatuh tergolek-golek hingga sampai ke tongkat motor Cikgu Putri Mardiana Puspa.

"Hai Azmi...."

****

Bersambung....

Fesyenlah Sangat.

"Untuk menjadi seorang yang berkarisma, daya saing, maju, kite ni kena pikir setapak ke hadapan sokmo."

Kata-kata Zamri yang penuh yakin itu laju meluncur keluar daripada mulutnya sambil beliau sedang mengetuk-ngetuk batang rokoknya mengharapkan abu rokoknya jatuh.

"Jangan nak tunggu abis belajo je baru nok cari kerja. Ni, mase tengoh belajor ni, ape salohnya kerja sambil belajo. Tengok aku ni, nampak ade duit ke dok?" Zamri menyambung lagi dialognya dengan yakin. Suara serak-serak basahnya itu kadangkala mencuri perhatian orang ramai yang turut berada di kedai Awe Tomyam Power Gile Babi itu.

"Mung tengok baju aku pakai ni, abih kurang 2,3 ratus jugok. Ni sume hasil aku niage lah ni. Mu joinlah aku, jadilah pakai pagoda ni."

Azmi tersentak mendengarkan kata-kata si Zamri. Serangan peribadi nampaknya. Baju pagoida yang dipakainya mula dicium sedalam-dalamnya. Walaupun Pagoda, dibasuh dengan sabun Daia campur Softlan menghasilkan bau yang sangat wangi. Azmi lebih selesa berpagoda, lebih-lebih lagi musim panas sekarang. Nak pakai kemeja? Sweater tengah-tengah hari? Tak kuasa Azmi.

"Mu takpelah anok orang kaya. Cari modal pun senang mintok dengan mok aboh saje."

Azmi menyuarakan masalah yang dihadapinya, iaitu modal. Azmi tidak ada modal untuk memulakan perniagaan produk kesihatan yang merapu itu. Itu adalah masalah keduanya, masalah utamanya adalah beliau tidak suka sebarang jenis perniagaan MLM.

"Senang naik, senang jatuh. Macam artis zaman sekarang."

Itu adalah prinsip hidupnya dalam berniaga. Kalau terlalu cepat untung dalam berniaga, asas tidak kukuh, kabel belum lagi cukup tebalnya, niscaya kalau jatuh, sakitnya melampau-lampau.

"Rugi mu tolak peluang aku ni. Masuklah, duduk bawoh aku."

Azmi tersenyum sinis mendengarkan tutur kata Zamri itu. Sedang beliau memikirkan apa lagi alasan yang patut dikeluarkannya, tiba-tiba Azmi terlihat sesuatu di dalam beg Zamri ketika beliau sedang mengeluarkan testimoni-testimoni pelanggannya. Peluang baik mengalih topik MLM.

"Eh Zamri, itu Jonson Baby punya losyen ke tu?"

Zamri terdiam seketika. "Haah, losyen lah tu. Dah tau buat apa tanya? Sudah-sudah, ni tengok testimoni pelanggan aku ni haa.."

"Eh aku ada ,mulut, ikut suke akulah nak tanye ke tidok. Tak nak, aku tak nak tengok testimoni pelanggan mu. Kejadah apa engkau pakai losyen?"

Zamri akhirnya akur. Beliau memandang Azmi dengan penuh pengharapan, kemudian dihelanya nafas panjang-panjang seolah-olah jawapan yang diperlukan Azmi itu adalah sesuatu yang sangat berat untuk Zamri luahkan.

"Pakai losyen, baru nampak metroseksual."

Azmi mengangguk-angguk buat-buat paham. Metroseksual? Beliau tidak pernah dengar perkataan itu. Jikalau Harian Metro tahulah beliau. Itupun sekarang beliau sudah beralih ke Sinar Harian.

"Ooo.. Kejadah apa metroseksual?"

Zamri menjegilkan matanya terhadap Azmi. Bagi beliau, tanya banyak-banyak ni buat apa. Letih dia nak jawab, letih dia nak fikir jawapannya.

"Macam lelaki-lelaki kat bandar zaman sekarang la. Jaga penampilan, jaga kecantikan, kehenseman, yakin terhadap diri sendiri, up-to-date dengan fesyen dan sebagainya."

Azmi sudah dapat tangkap sikit-sikit. Tangannya mula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Patutlah si Zamri ni asyik lilit serban dekat lehernya. Biasanya orang lilit serban di kepala, umpama tok lebai-tok lebai yang ada. Seluarnya pula ketat-ketat, tengahari panas macam gurun pun boleh sauk baju kemeja lengan panjang. Tapi yang hairannya, Zamri menunggang Yamaha SS sahaja. Itupun baru upgrade. Dulunya RG Sport.

"Habih kite ni duduk kampung je. Perlu ke mu jadi metroseksual?"

Zamri pandang pelayan, kemudian dikuit-kuit jarinya memanggil pelayan tersebut.

"Bayar."

Kapellah Sangat.

Azmi pandang Roy. Roy tersenyum kelat. Azmi tahu, Roy sudah malas melayan Azmi dari tadi. Tapi Azmi tidak peduli, Roy perlu dengar semua ini. Hanya Roy yang berada dalam kereta dengannya sekarang dan hanya Roy yang mampu memahami apa yang dituturkan oleh Azmi. Azmi tidak mampu berbahasa dengan stering keretanya. Beliau pernah cuba mengajaknya berbual, tetapi stering kereta Kenarinya itu tampak tidak berminat. Hanya diam tidak berkata apa.

"Roy, aku rasa nak cari aweklah."

Roy diam lagi. Dia sebenarnya malas mendengar cerita-cerita daripada Azmi berkisar awek-awek ni. Bagi Roy, awek-awek ni adalah bullshit. Berkapel hanyalah untuk loser sahaja. Roy adalah seorang juara, Roy tidak akan menceburkan diri dalam arena awek-awek, kapel-kapel ini.

"Aku sebenornye tak tahu nok kate ape Azmi. Macam ni lah, just go with your heart."

Roy balas dengan matanya berair sayu memandang Azmi. Azmi lantas berasa tidak selesa. Dia mengalihkan pandangan ke side mirror keretanya dengan pantas. Melihat misai Roy yang lebat sebelah kanan sahaja itu dipadukan dengan mata sayu berair beliau, Azmi merasakan beliau seolah-olah telah melihat najis manusia secara close-up. Azmi loya. Azmi perlukan pemandangan indah.

"Awek-awek ni bullshit semuanya." Balas Roy lagi, masih tidak puas hati dengan isu kapel-berkapel ini. Ibu jari kaki beliau dikuis-kuis terhadap lubang aircond sebelah kanan kerata Azmi. Azmi hanya diam tidak membalas. Beliau menumpukan sepenuh perhatian terhadap jalanraya. Beliau hampir saja melanggar lampu merah sebentar tadi. Nasibnya baik kerana breknya makan nak mampus.

"Triit, triit....."

Bunyi mesej telefon Roy memecahkan kesunyian kereta. Azmi memandang Roy dengan hairan. Hairan dengan senyumannya. Roy yang tersenyum sendirian ketika membaca mesej tersebut mula tersedar dengan pandangan Azmi. Dia senyum lagi. Kini lebih gula senyumannya, sehinggakan Azmi terpaksa mencabut bulu ketiaknya secara kasar supaya bebas daripada pukauan senyuman Roy yang bermisai lebat sebelah itu. Azmi lihat Roy, Roy lihat Azmi.

"Azmi, kau rasa Wani sayangkan aku macam aku sayangkan dia tak?"

Kini Azmi pula diam.